JALAN YANG LURUS
- Ditulis oleh Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed
- Kategori Al Quran
- Read 11374 times
Firman Allah dalam ayat ke 6 surah al-Fatihah, maksudnya: Bimbinglah kami ke jalan yang lurus.
Ayat ini sebenarnya merupakan suatu doa yang dipanjatkan setelah hamba-Nya mempersembahkan segala pujian kepada-Nya (ayat pertama hingga ayat ke-4) diikuti dengan pengiktirafan rasa kehambaan dan ketelusan dalam beribadah (dalam ayat ke-5). Ayat ke-7 ini adalah akuan permohonan kepada Allah, agar mendapat bimbingan.
Perkara ini merupakan keadaan yang sempurna bagi seorang hamba yang mengajukan permintaan. Setelah dia memuji Allah s.w.t., kemudian memperakui komitmennya sebagai hamba, akhirnya dia memanjatkan keperluannya dan saudara seakidah dengannya yang lain.
Jelas Ibn Kathir, pendekatan doa seperti ini sewajarnya menjadi amalan setiap individu kerana sewajarnya ia lebih senang dan diterima di sisi Allah s.w.t. Ini bertepatan dengan maksud hadis sahih: “Sebahagian untuk-Ku dan sebahagian lainnya untuk hamba-Ku, dan bagi hamba-Ku apa yang dia minta.” (Riwayat Muslim, No.904)
Selain itu permohonan yang sempurna dapat mempermudahkan pemberian yang dihajatkan itu juga berlaku apabila seseorang hamba memberitahu keadaan dan keperluannya terhadap bantuan Allah.
Contoh yang paling tepat ialah peristiwa doa Nabi Musa sewaktu melarikan diri ke Madyan. Nabi Musa a.s yang masih dihantui rasa bersalah kerana membunuh tanpa niat, berhadapan dengan tempat yang tidak pernah dikenalinya, berjauhan dari negeri asal, tanpa saudara, tanpa kenalan. Pergantungannya mutlak pada Allah.
Dalam suasana seperti itu, kata-kata yang terbit dari hati kecilnya hanyalah memohon kepada Allah bantuan ihsan daripada-Nya.
Kata-kata yang menampakkan kehambaan ini diabadikan Allah menerusi ayat ke-24 surah al-Qasas maksudnya: Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternakan mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.’”
Contoh lain, Allah mengajar pula bagaimana rayuan Nabi Yunus a.s. sebagai contoh doa yang didengari oleh-Nya. Firman-Nya dalam surah al-Anbiya ayat ke 87, bermaksud:
Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika dia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; maka dia pun menyeru dalam keadaan gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah). Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dalam kalangan orang yang menganiaya diri sendiri.”
Ayat berikutnya, ayat ke88, memberitahu bahawa Allah me mustajabkan rayuan tersebut, firman-Nya yang bermaksud:
Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia daripada kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimanaKami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang yang beriman (bila mereka merayu kepada Kami).
Berbalik kepada ayat ke6 surah alFatihah, kata kerja dalam arahan ayat ini diambil dari asal kata yang terdiri daripada partikel “ha”,“dal” dan “ya”. Dalam kamus bahasa Arab, kata hada ini membawa makna pemberian, pergantungan dan sesuatu yang bersifat menggembirakan.
Di sini kita dapat fahami bahawa petunjuk yang sebenarnya hanya datang daripada Allah s.w.t. Petunjuk yang mempunyai berbagai bentuk, sesuai dengan peranan seorang individu itu.
FirmanNya dalam surah Taha ayat ke50, bermaksud: Nabi Musa menjawab: “Tuhan kami adalah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya.”
Mentafsirkan ayat ini, Ibn Kathir menjelaskan sebuah riwayat daripada Said bin Jubair r.a bahawa Allah memberikan kemaslahatan bagi setiap ciptaanNya. Dia tidak memberikan kepada manusia apa yang diberikan kepada binatang yang melata. Dia tidak memberikan kepada binatang yang melata apa yang diberikan kepada anjing. Dia juga tidak memberikan untuk anjing apa yang diberikan kepada kambing. Pada makhluk Allah itu dikurniakan pemberian yang dipanggil naluri, menyenangkannya untuk membina kehidupan. Kepada manusia, Allah turut menjadikan akal yang membantunya membuat pertimbangan dalam kehidupannya. Demikianlah hikmah di sebalik kurniaan hidayah yang berbagai itu pada makhluk makhlukNya.
Manusia secara dasarnya dibekalkan dengan dorongan untuk mencari perkara yang diperlukan. Namun melalui naluri semata-mata tidak membolehkan manusia mencapai sesuatu yang tidak mampu dilihatnya. Justeru manusia memerlukan bimbingan Allah, agar tidak tersilap lantaran terlalu bergantung pada akal dan naluri sematamata.
Pemerhatian manusia yang cuma menggunakan akal boleh membawa kepada kesilapan. Contohnya kayu yang lurus apabila berada dalam air, ia disangka bengkok. Walaupun akal manusia itu sangat penting kerana menerusinya koordinasi maklumat menjadi hampir tepat, namun ia belum tepat sepenuhnya.
Bekas Syeikh alAzhar, Abd Halim Mahmud memberikan bandingan yang menarik tentang peranan akal di samping wahyu. Beliau mem bandingkan kedudukan akal ini laksana pelampung bagi seorang perenang. Ia secara lahir dapat memberikan jaminan keselamatan. Namun sewaktu ombak mengganas, dia memerlukan sesuatu lebih penting daripada pelampung, dan itulah yang dinamakan wahyu. Demikianlah kedudukan wahyu yang terkandung dalamnya hidayah berbanding akal yang peranannya amat terbatas.
Menurut Syeikh Muhammad Mutawalli alSya’rawiy dalam Tafsir al-Sya’rawiy, hidayah daripada Allah itu terbahagi kepada dua; petunjuk yang memberikan keterangan (hidayah al-irsyad wa al-bayan) dan petunjuk yang membawa kepada kemampuan melakukan sesuatu amalan (hidayah al-tawfiq). Sebagai contohnya kelebihan melakukan solat secara berjemaah sudah pun difahami kebanyakan Mukmin yang mukallaf. Namun persoalannya, mengapa tidak ramai yang mahu mengerjakannya?
Di sini kita seharusnya meletakkan dalam fikiran kita target agar memperoleh kedua-dua jenis hidayah itu sekali gus.
Seterusnya, kata al-Sirat pula diambil dari kata sarata. Oleh kerana huruf sin dalam kata nama ini bergandingan dengan huruf ra maka berlakulah pertukaran kepada huruf sad atau disebut juga sebagai zai dalam sesetengah qiraat yang masyhur yang lain seperti yang dinyatakan oleh alBaghawi dalam Ma’alim al-Tanzil.
Dalam beberapa tafsir yang sempat dikaji penulis, antaranya Jamik al-Bayan oleh Ibn Jarir, Tafsir al-Quran al-Azim oleh Ibn Kathir, Mahasin al-Tanzil oleh alBaghawiy, al-Jamik li Ahkam al-Quran oleh alQurtubiy dan Fath al-Qadir oleh alSyaukaniy,“Sirat al-Mustaqim” diperjelaskan seperti berikut:
1. AlFudhail bin Iyadh: perlaksanaan haji.
2. Muhammad bin al-Hanafiyah: Islam itu sendiri.
3. Asim bin alAhwal membawa pandangan dari Abul Aliyyah: jalan yang dilalui Nabi s.a.w. bersama Abu Bakar dan Umar.
4. Kemudahan melakukan perkara sunat yang dengan melaksanakannya dapat menampung perlaksanaan ibadah wajib.
5. Jalan yang membawa seseorang itu hampir dengan Allah.
6. Ali dan Ibn Mas’ud r.a.: alQuran.
7. Saeid bin Jubair: jalan ke syurga.
Mengenai kepelbagaian pandangan dalam takrif ini, Imam Abu Ja’far Ibn Jarir membuat kesimpulan: “Seluruh ahli tafsir sepakat bahawa maksud al-sirat al-mustaqim adalah jalan yang lurus tiada kebengkokan padanya. Demikianlah penggunaan yang dikenal pasti dalam penggunaan seluruh bangsa Arab. Kemudian penggunaan ini diperluaskan kepada ucapan, perbuatan dan sifat yang lurus. Seterusnya beliau mengemukakan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Ibnul Munzir, alTirmizi yang menganggap hadis ini hasan, alNasaeiy, Abu Syeikh dan alHakim. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Allah membuat perumpamaan sirat al-mustaqim seumpama dua jalan di mana terdapat dua pagar. Pada pagar tersebut terdapat pintu-pintu yang terbuka. Dan pada pintu pintu itu terdapat tirai tirai yang terurai. Di hadapan sirat terdapat seorang yang berseru: ‘Wahai manusia, masuklah kalian semua ke dalam sirat ini dan janganlah kalian belok!’ Di atas sirat ada penyeru yang mana apabila ada seseorang yang ingin membuka pintu pintu tersebut, penyeru itu akan berkata:“Celaka (hati hatilah) kamu! Janganlah membukanya! Jika engkau membukanya, nanti kau akan terperosok ke dalamnya!’ Sirat ialah Islam. Pagar pagar itu merupakan batasan mbatasan-Nya. Pintu-pintu tersebut adalah laluan-laluan ke arah melakukan perkara-perkara yang ditegah (haram). Penyeru yang dimaksudkan itu adalah al-Quran. Penyeru-penyeru di atas sirat itu pula adalah pemberi peringatan dari Allah yang ada dalam hati setiap Muslim.”
Berbezanya sirat ini jika dibandingkan dengan sabil. Sirat ini kebanyakannya digunakan dengan bersandar kepada Allah. Contohnya, sirataka (jalan-Mu), sirati (jalan-Ku) dan siratil azizil hamid (jalan Allah yang maha mulia lagi maha terpuji). Ini berbeza dari penggunaan sabil yang kadang kalanya turut disandarkan kepada golongan ahli maksiat, contohnya sabil al-taghut (jalan golongan yang zalim) dan sabil al-mujrimin (jalan golongan yang berdosa).
Kesimpulan mudah yang dapat kita buat ialah sirat lebih sinonim dengan jalan ketaatan, manakala sabil pula merujuk kepada jalan kesesatan.
Maknanya setelah kita memahami tafsiran di atas jalan yang lurus yang kita mohon agar Allah memandu kita ke arahnya untuk terus memasukinya, adalah umpama suatu lebuh raya. Jika ingin memandu di lebuh raya, seharusnya kita dalam keadaan bersedia mengharunginya. Apa yang perlu waktu kita memandu memasuki di lebuh raya tersebut? Tentunya kenderaan yang terbaik (tip-top)keadaannya, cukup bahan apinya, kondisi tayar yang sempurna dan sebagainya.
Demikianlah dengan mengharungi kehidupan; dengan harta dan rezeki yang diusahakan dari sumber yang halal, ilmu yang dicari secara ikhlas, kesihatan yang dijaga sebaiknya dan lain-lain, semuanya menyumbang dalam bentuk sebuah pakej yang sempurna ke arah kesempurnaan perjalanan dan melancarkannya.
Seorang sahabat Rasulullah berbangsa Yahudi, Abdullah bin Salam, selepas memeluk Islam, telah bermimpi. Dalam tidurnya beliau terlihat bahawa beliau diperintahkan oleh seseorang agar melalui jalan lurus yang membawanya ke suatu kebun yang damai lagi mengasyikkan keindahannya. Di hujungnya terdapat tiang yang tinggi menjulang ke langit. Setelah memanjatnya seperti yang disuruh beliau akhirnya berpegang kuat pada rantai daripada emas di bahagian atasnya.
Nabi s.a.w. telah mentafsirkan mimpi itu bahawa jalan yang lurus itu adalah jalan ahli syurga, taman itu adalah kehidupan dalam Islam, tiang itu adalah perlaksanaan rukunnya dan rantai emas itu adalah aqidah yang benar.
Demikianlah benarnya firman Allah dalam ayat ke-6 ini bahawa di hujung jalan yang benar ini terdapat reda-Nya. Di situlah juga bersemadinya rahmat-Nya dalam taman-taman syurga yang berkekalan nikmatnya.
Oleh Ust Hj Zahazan Mohamed
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7
Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed
Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.
Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.