Menu

 

A+ A A-

7 TIP MEMBACA SECARA AKTIF

JIKA anda seorang pelajar, pernahkah anda menghadap buku beberapa jam, tetapi tidak faham apa yang diulangkaji? Terasa seperti membazir masa sahaja belajar kerana sukar untuk menentukan isi penting dan idea utama?

Akhirnya, masa yang diperuntukkan di hadapan meja belajar menjadi sia-sia kerana tidak faham pun apa yang kita sedang baca. Oleh itu, cubalah membaca secara aktif, iaitu salah satu kaedah bagaimana untuk meningkatkan pemahaman kita semasa membaca.

1. Kenali diri anda

Sejauh manakah anda boleh mengingati sesuatu yang anda baca? Baiklah, katakan minggu lepas anda telah membaca satu bab dalam subjek kegemaran anda. Cuba fikirkan semula berapa banyak isi kandungan yang masih segar? Jika ditanya, bolehkah anda menjawab?

Kenalilah tabiat dan kaedah anda membaca. Kenalpasti diri anda, mungkin selama ini anda membaca seperti mencurah air ke daun keladi; tidak bertambah tidak mengurang. Namun, masih belum terlambat untuk melakukan perubahan.

2. Kenali bahan bacaan anda

Jika ingin membaca sesebuah buku, ‘berkenalanlah’ dengan buku itu terlebih dahulu. Bagaimana? Dengan meneliti mukasurat ‘isi kandungan’ dan bahagian ‘indeks’. Bayangkan apakah perkara-perkara yang akan diterangkan dalam topik-topik tersebut.

3 Berhati-hati dengan ‘bacaan tambahan’

Ada sesetengah pelajar yang disibukkan dengan buku tambahan, buku rujukan tambahan, nota tambahan, dan pelbagai lagi. Memang ianya baik, tetapi masalahnya ada yang memberi tumpuan masa kepada bacaan tambahan melebihi daripada bacaan asas. Bolehkah anda hidup dengan mengambil pil-pil vitamin dan meninggalkan makanan asasi? Mungkin boleh, tetapi belum tentu kesihatan anda terjamin. Bacaan tambahan baik untuk menyokong dan membantu, tetapi jangan sesekali mengabaikan bacaan asas, iaitu teks utama sesuatu mata pelajaran. Kalau ‘lapar’ lagi, ambillah bacaan tambahan itu.

tipbaca2

4 Buat perancangan dan sasaran sebelum membaca

Anda mestilah mempunyai ‘misi’ sebelum membuka mukasurat yang pertama lagi. Apa maklumat yang saya inginkan daripada pembacaan ini? Bahagian manakah yang saya ingin fahamkan? Tentang kegiatan ekonomi masyarakat di Afrika? Tentang proses pengklonan haiwan? Sumber-sumber perundangan Islam? Peristiwa-peristiwa penting ketika Perang Dunia Kedua? Anda juga boleh membuat sasaran yang lebih terperinci jika mampu. Apabila anda sudah membuat sasaran, otak dan mata akan menjadi lebih peka terhadap maklumat-maklumat yang diperlukan. Dalam masa yang sama, ingatan anda juga dapat dipertingkatkan.

5 Catat persoalan-persoalan yang timbul

Sepanjang pembacaan, otak akan sentiasa berfikir dan berputar. Pembacaan aktif akan menimbulkan persoalan-persoalan terhadap apa yang dibaca. Jangan biarkan ianya terpenjara di dalam otak anda. Bebaskan persoalan itu dengan menulisnya di atas muka surat buku tersebut.

6 Jadikan buku itu ‘milik’ anda

Gariskan isi-isi penting. Terangkan maklumat-maklumat yang anda rasakan menarik. Anda juga boleh menulis perkara-perkara yang perlu di tepi muka surat. Antaranya seperti peta minda, soalan-soalan dan idea anda. Tidak perlu biarkan ianya ‘putih bersih’. Jika anda benar-benar sayang buku anda, gunakanlah ia secara optimum. Jadikan ia ‘milik’ anda. (Tetapi jangan pula anda lakukan ini dalam buku pinjaman perpustakaan atau buku orang lain.)

tipbaca4

7 Buat rumusan dan kesimpulan

Sebelum anda melakukan perkara lain, luangkan masa sejenak untuk berfikir dan membuat kesimpulan terhadap apa yang telah anda baca. Soal semula soalan-soalan yang ditanya semasa anda membuat perancangan di awal pembacaan tadi. Adakah anda memperolehi jawapannya? Anda berpuas hati? Jika tidak, apa yang perlu dilakukan? Adakah anda mendapat maklumat tambahan yang lain? Apakah kaitannya? ¤

 

Ahmad Fadzli Yusuf

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu perdana


 

 

Ahmad Fadzli Yusof

Professional Trainer/Speaker di RK Training & Management. Mendapat ijazah sarjana muda dan kemudian menyambung sarjana (Master) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kini sedang menyiapkan kajian PhD dalam bidang pembangunan insan Universiti Malaya. Beliau merupakan Certified NlP Practitioner dan mendapat tauliah daripada National Federation of Neuro Linguistic Programming yang berpusat di California, Amerika Syarikat. Beliau juga adalah kolumnis tetap majalah e-Siswa dan sering muncul di tv, antaranya TV3, TV9 dan RTM. Lawati laman web beliau di www.fadzliyusof.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas