Menu

 

A+ A A-

APABILA PELAJAR MENEGUR

SEBUAH mesej memasuki kantung pesanan Facebook. Sejak meninggalkan sekolah itu, pelajar-pelajar masih tetap menghubunginya menggunakan pelbagai medium. Ternyata mereka amat memanfaatkan kecanggihan teknologi itu.

“Ustazah, bagaimana mahu menegur guru-guru perempuan supaya menutup aurat dengan sempurna? Saya sukar hendak belajar apabila guru perempuan memasuki kelas. Tumpuan saya terganggu,” luah pelajar lelaki yang semakin meningkat remaja itu. “Kenapa?” Dia memohon penjelasan lanjut. “Ustazah faham-fahamlah. Saya dan kawan-kawan terpaksa memejamkan mata kerana pakaian guru yang nipis serta jarang. Jadi, untuk mengelak melihat aurat mereka, kami memerhatikan bayang-bayang tangan mereka sahaja sewaktu mengajar.”

Dia terpempan. Tidak menduga pelajar yang baru belasan tahun sudah begitu peka deria imannya.

 

apabila-pelajar-menegur-1-

Saat Ditegur dan Ingin Menegur

Sebuah hadis singgah di fikirannya. Daripada Abu Daud, al-Nasa’i dan Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Apabila Allah menghendaki sesuatu kebaikan sebagai ketua, maka Allah menjadikan untuknya seorang menteri yang jujur. Jika dia lupa, menteri akan mengingatkannya dan jika dia ingat, menteri itu akan membantunya.

Namun, jika Allah menghendaki selain daripada itu, Allah menjadikan untuknya menteri yang jahat. Jika dia lupa, menteri itu tidak mengingatkannya dan jika dia ingat, menteri itu pula tidak membantunya.” Hal ini bermakna seseorang guru itu disayangi apabila ditegur pelajarnya. Allah telah menjadikan bagi guru itu pelajar-pelajar yang baik kerana menghendaki kebaikan padanya. Dia terkenang pula peristiwa Rasulullah s.a.w. yang didatangi seorang tetamu wanita bersama seorang anak lelakinya yang agak gemuk. Si ibu meminta Rasulullah menasihati anaknya yang kuat makan itu supaya mengurangi memakan kurma.

Rasulullah bersetuju dan menyuruh mereka datang seminggu lagi. Si ibu berasa hairan kerana Rasulullah tidak terus menasihati anaknya ketika itu sebaliknya memerlukan tempoh waktu selama seminggu.

Bagaimanapun, wanita itu akur dan datang semula seminggu kemudian. Dengan lembut, Rasulullah berkata: “Wahai anak yang baik, kurangilah makan kurma.”

Jawapan sederhana itu mencetus hairan di hati si ibu, lalu beliau bertanya sebab-sebab Rasulullah memerlukan jangka masa seminggu untuk sebuah nasihat yang pendek. Rasulullah menjawab: “Benar, ibu. Tetapi sebelum menuturkan nasihat tersebut, selama seminggu ini, aku mengurangi jumlah kurma yang aku makan.” Kisah ini jelas menunjukkan, untuk menyampaikan sesuatu nasihat yang berkesan di hati, seseorang itu perlulah terlebih dahulu melaksanakan apa yang dikatanya.

apabila-pelajar-menegur-2

Nota Cinta untuk Guru

Sebagai jalan terakhir, pelajar yang menghubunginya tadi telah berpakat bersama kawan-kawannya untuk menulis sebuah pesanan bagi diletakkan di atas meja guru tersebut sebagai sebuah teguran.

“Guru, bagi kami kamulah ibu.
Meski kami bukanlah daripada kantung
rahimmu, tetapi hakikat kamu sebagai
'ibu yang mendidik' langsung tidak kami
ragui. Tanpa dirimu siapalah kami,
pasti dalam kebutaan dan kejahilan
selamanya. Terima kasih, ibu dan guru!
Tetapi, tahukah kamu, wahai ibu,
anak-anakmu ini dilanda kesedihan dan
kerisauan yang berat. Setiap kali kamu
memasuki kelas, hati kami gembira.
Namun, apabila kamu mula menulis di
atas papan putih bersih itu, kami mulai
bimbang. Bagaimana tidak, andai setiap
kali kamu mahu mencurah ilmu, kamu
turut mendedahkan auratmu yang
sepatutnya ditonjolkan hanya kepada
suami dan orang yang halal untukmu.
Meyakini kamu tidak menyedari
perkara ini, kami mengambil kesempatan
ini untuk memberitahu. Tolonglah wahai
ibu, kami menyayangimu dan tidak
mahu kamu terus-terusan “dihukum”
atas perbuatan mulia yang kamu
lakukan (mengajar). Dan, bantulah
kami agar perasaan dan hati kami
tenteram semula ketika belajar.
Wahai guru, semoga kamu dapat
menerima kata-kata anak-anakmu
ini dengan rela hati. Tidaklah kami
melakukan ini melainkan kerana
menyayangimu. Halalkanlah ilmu yang
telah kamu curahkan, wahai ibu!
Anak-anak yang menyayangimu.”

apabila-pelajar-menegur-3

Dia selaku guru hanya mampu berdoa semoga hasrat hati kaum Adam yang remaja itu menembusi dinding hati warga Hawa bergelar guru. Amin.

Juwairiah Md Jamil
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Juwairiah Md Jamil

Lulusan Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas