Menu

 

A+ A A-

INILAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

SOALAN: Saya mohon ustaz jelaskan siapa sebenarnya Ahli Sunnah Wal Jamaah? Sebab sejak akhir-akhir ini saya jadi keliru melihat setiap kumpulan mendakwa dirinya ahlu sunnah. Lalu setiap yang menyalahi pendapat mereka dinilai telah terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

JAWAPAN

Gelaran Ahli Sunnah Wal Jamaah memang selalu menjadi rebutan. Sejak dahulu lagi setiap kumpulan mendakwa dirinya ahlu sunnah, walaupun ia sebenarnya bukan ahlu sunnah. Ambil contoh seorang tokoh muktazilah bernama al-Qadi ‘Abdul Jabbar. Dalam bukunya yang bertajuk Fadl al-I’tizal wa Tabaqat al-Mu’tazilah, beliau menegaskan bahawa Muktazilah ialah Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang sebenar. Setiap kumpulan yang menyalahi pendapat mereka, maka dinilai bukan ahlu sunnah.

Dakwaan Muktazilah ini tentu sahaja lemah. Sebab kumpulan yang paling layak dengan sebutan Ahlu Sunnah Wal Jamaah ialah mereka yang memiliki dua kriteria. Pertama, mengikut sunnah Nabi sebagaimana yang terkandung dalam hadis-hadis sahih. Dan kedua, aliran ini merupakan ikutan kebanyakan umat Islam di dunia (sawad a’zam).

Gelaran Ahli Sunnah Wal Jamaah pada satu ketika dahulu digunakan untuk membezakan kumpulan terbesar kaum Muslimin daripada puak-puak minoriti seperti Syiah, Muktazilah, Khawarij dan Murjiah. Gelaran ini ditujukan kepada para pengikut tokoh-tokoh ulama yang disepakati kesucian akidah dan ketinggian fikahnya seperti Malik, Abu Hanifah, Sufyan al-Thauri, Abu ‘Amr al-Awza’i, al-Syafii, Ahmad bin Hanbal, al-Bukhari dan lain sebagainya.

Dalam konteks semasa, aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah menaungi beberapa aliran besar seperti Asy’ariyyah, Maturidiyah dan Salafiyah (Hanabilah). Mereka memang berbeza dalam perkara-perkara cabang, namun terikat dalam prinsip-prinsip akidah yang sama. Mereka meyakini al-Quran terjaga daripada perubahan, sama-sama menerima hadis sahih dan menolak hadis palsu, serta merujuk kepada tokoh-tokoh ulama yang sama. Justeru seharusnya semua aliran ahlu sunnah ini mengembangkan persamaan di antara mereka, bukan memperbesar perbezaan. Mereka harus berganding tangan membela akidah umat daripada serangan musuh-musuh islam seperti aliran Liberal, Syiah dan Ateis.

inilah-ahli-sunnah-wal-jamaah-2

Salaf dan Khalaf

SOALAN: Bagaimana dengan aliran Salaf dan Khalaf? Saya pernah mendengar keduanya sering berbeza pendapat dalam perkara akidah dan fiqah.

JAWAPAN

Salaf bukan sebuah aliran pemikiran, begitu juga Khalaf. Kedua-duanya ialah generasi umat Islam yang dipisahkan oleh dimensi masa dan sejarah. Salaf secara bahasa bermakna “terdahulu”. Kalimat ini lalu digunakan sebagai istilah untuk merujuk kepada generasi umat Islam pada abad pertama hingga ketiga hijrah. Generasi itu meliputi orang-orang yang hidup di zaman Nabi, para sahabat, tabiin dan imam-imam mazhab yang terkenal. Mereka ini disebut juga dengan panggilan “al-Salaf al-Saleh”.

Adapun khalaf, maka secara bahasa ia bermakna “terkemudian”. Kalimat ini lalu menjadi istilah bagi generasi umat Islam yang dating selepas generasi salaf, iaitu selepas abad ketiga hijrah. Termasuk generasi khalaf ialah para ulama besar yang sangat berjasa menuliskan ilmu-ilmu Islam dan mewariskannya kepada kita dalam kitab-kitab mereka.

Lalu, adakah generasi salaf dan generasi khalaf saling berbeza pendapat? Tidak sama sekali. Yang sebenarnya berlaku ialah generasi khalaf sangat tekun mengikuti jejak langkah generasi salaf. Setiap ucapan, perbuatan dan pandangan tokoh-tokoh salaf dikumpulkan, difahami dan diamalkan dengan sebaiknya.

Kalaupun ada perbezaan pendapat, itu bukanlah berlaku antara salaf dan khalaf. Akan tetapi antara dua ulama khalaf dalam menafsirkan pandangan ulama salaf dalam sesuatu perkara. Misalnya perbezaan yang berlaku antara al-Ghazali dengan Ibn Taymiah dalam perkara akidah. Kedua-duanya ialah ulama khalaf sebab al-Ghazali wafat pada tahun 505 H dan Ibn Taymiah wafat pada tahun 728 H. Kedua-duanya berbeza pendapat dalam menafsirkan firman Allah, sabda Nabi ataupun ucapan para ulama salaf dalam perkara-perkara tertentu.

Sebab Perbezaan Pendapat

SOALAN: Ustaz tadi menyatakan, di kalangan Ahlu Sunnah sendiri berlaku perbezaan pendapat. Saya ingin tahu apa sebab-sebab perbezaan tersebut?

JAWAPAN

Sebab-sebab perbezaan pendapat para ulama sangat banyak dan telah menjadi kajian ramai ulama. Kebanyakan sebab-sebab itu berkaitan dengan cara memahami, mentafsirkan dan mengamalkan nas-nas yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah. Ada juga yang berkaitan dengan kriteria kesahihan riwayat antara terlalu ketat ataupun terlalu longgar. Huraian untuk kesemua perkara ini sangat panjang. Kolum yang ringkas ini tidak dapat memuatkannya. Selain itu, penjelasan perkara ini melibatkan istilah-istilah teknikal yang hanya boleh difahami oleh para pelajar yang mengambil jurusan pengajian agama Islam, terutamanya hadis dan usul fiqh.

Cukup bagi kita yang awam ini untuk selalu menjaga sangka baik kepada para ulama dan imam kita terdahulu. Yakinilah bahawa mereka sangat takut kepada Allah, sangat salih, bersih hatinya dan selalu menginginkan kebaikan bagi umat Islam. Jadikanlah ilmu mereka sebagai jambatan untuk menghubungkan antara kita dan Allah, bukan malah menjadikan hati kita keras dan menjauh daripada-Nya.

Wallahu a‘lam.

inilah-ahli-sunnah-wal-jamaah-3

USTAZ UMAR MUHAMMAD NOOR

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas