Menu

 

A+ A A-

KEMAHIRAN BELAJAR

Sebelum memasuki sebarang bidang pekerjaan, seseorang itu harus memiliki kemahiran mengenai skop pekerjaannya. Barulah ia dapat menjalankan kerjanya dengan baik, licin dan penuh profesionalisme.

Bukan itu sahaja, ia akan berupaya menghasilkan produk yang terbaik, berjaya dan cemerlang. Dia dinamakan pekerja mahir. Sekarang, apa pekerjaan anda? Bukankah belajar. Kalau begitu, anda harus memiliki kemahiran belajar. Barulah anda akan dapat menghasilkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Belajar atau proses pembelajaran mengandungi banyak komponen yang perlu anda kuasai dengan baik.

1. Kemahiran Mendengar

Inilah kemahiran pertama yang perlu anda kuasai. Ia tidak memerlukan banyak peralatan kecuali jika anda memang menghadapi masalah pendengaran. Jika itu kesnya, anda perlu berjumpa doktor atau memakai alat pendengaran elektronik.

Dengarlah apa yang disampaikan guru dengan berhati-hati. Jika anda menghadapi masalah semula jadi kurang pendengaran, jalan penyelesaiannya anda perlu duduk pada posisi barisan hadapan dalam kelas, berhampiran dengan guru.

Untuk meningkatkan kemahiran mendengar lakukan tip berikut:

  • -Lihat muka guru atau lebih tepat lagi mulut  guru, ketika dia mengajar.
  • -Fahamkan ayat, isi dan konsep yang dituturkan guru.
  • -Fikirkan tentang apa yang didengar
  • -Gambarkan (visualise) secara positif apa yang didengar.
  • -Jaga kesihatan telinga.
  • -Elakkan pandangan muka guru terhalang.
  • -Minta guru ulang percakapan yang terlalu perlahan, tidak difahami atau terlalu laju.
  • -Jangan terpesong dengan daya tarikan lain misalnya apa yang berlaku atau berbunyi di
  • luar kelas.

2. Kemahiran Konsentrasi

Mendengar sahaja tidak memadai. Anda harus tumpukan perhatian atau fokus dengan apa yang disampaikan guru. Proses ini dipanggil kemahiran konsentrasi.

Konsentrasi berupaya menghasilkan tenaga yang kuat. Lihat apa yang berlaku apabila cahaya matahari ditumpu ke suatu titik focus di atas kertas atau daun kering dengan menggunakan kanta cembung. Tenaga cahaya itu boleh menghasilkan api yang membakar. Begitu juga dengan kuasa konsentrasi anda.

b1Bagaimana meningkatkan kemahiran konsentrasi?

  • -Timbulkan minat yang mendalam terdapat subjek berkenaan.
  • -Jangan sekali-kali mengelamun atau berangan-angan (day dreaming).
  • -Abaikan gangguan persekitaran.
  • -Wujudkan dorongan yang kuat terhadap sesuatu subjek.
  • -Jangan dedahkan pancaindera kepada rangsangan lain.
  • -Hidupkan semangat ingin tahu.
  • -Buat kerja dengan pantas tetapi teratur untuk mengelakkan tumpuan tersasar kepada perkara lain.
  • -Khususkan sasaran (target).
  • -Yakinkan diri pada apa yang anda boleh faham.
  • -Belajarlah dengan terancang.
  • -Postur fizikal tubuh mesti tegak supaya darah boleh berjalan lancar.
  • -Biasakan tersenyum ketika belajar.
  • -Tanamkan dalam hati, ”Saya seronok belajar.”
  • -Gunakan sepenuhnya kekuatan otak kanan dan otak kiri serentak.

3. Kemahiran Mencatat dan Membuat Nota

Jika pembelajaran disampaikan dalam bentuk ceramah atau syarahan, pelajar harus membuat atau mencatat nota sendiri.Tiga aktiviti serentak iaitu: Mendengar, konsentrasi dan mencatat; akan membolehkan pelajar memahami dan mengingat bahan pelajaran dengan lebih berkesan.Sebahagian besar pancaindera terlibat dalam proses pembelajaran.

Fungsi Nota 

bukku kuBerbeza dengan status buku teks dan buku rujukan, buku nota adalah penghasilan dari usaha diri anda sendiri. Usaha ini sesuatu yang harus anda banggakan. Tulisan harus kemas dan teratur. Anda harus menyimpannya dengan selamat dan dapat digunakan pada bila-bila masa yang diperlukan. Adalah amat berkesan jika buku nota dapat dimanfaatkan oleh orang lain.

Antara fungsi nota ialah:

  • -Meningkatkan daya ingatan.
  • -Menambah konsentrasi dan kefahaman.
  • -Menajamkan daya berfikir.
  • -Mengukuhkan pencapaian.
  • -Melazimkan tindakan segera.
  • -Mendokumenkan maklumat.
  • -Menjadi bahan ulang kaji cepat sebelum peperiksaan.

Ciri-ciri Nota yang Baik

  • -Isi padat tetapi tidak bermakna tulisan terlalu kecil dan rapat.
  • -Isi lengkap dan tidak meninggalkan maklumat penting.
  • -Tulisan cantik, jelas dan boleh dibaca dengan mudah.
  • -Bahasa mudah.
  • -Tersusun dan teratur.
  • -Guna singkatan dan simbol.
  • -Menarik – gunakan warna.
  • -Isi berturutan.
  • -Mudah difahami.
  • -Mudah dibawa.

Peta Minda

Peta minda ialah salah satu jenis nota yang baik. Peta minda bukan sahaja digunakan oleh pelajar malah semua golongan masyarakat dan ahli profesional. Cuma bentuk dan kegunaannya berbeza-beza.

Ketika membuat peta minda kita menggabungkan aktiviti kaedah belajar, mendengar, konsentrasi, membaca, mencatat nota dan mengulang kaji sekali gus. Fungsi otak kiri dan otak kanan juga digabungkan.

Antara faedah peta minda ialah:

  • -Menjimatkan 50-95% masa mencatat nota.
  • -Mencergaskan pembelajaran.
  • -Memudahkan ulang kaji.
  • -Merangsang daya ingatan.

b24. Kemahiran Membaca

Membaca selalu dikaitkan dengan aktiviti belajar yang paling popular. Namun anggapan ini tidak tepat kerana membaca sahaja tidak berkesan. Anda harus menggabungjalinkan dengan aktiviti lain. Kalau anda membaca buku Matematik, contohnya, anda telah salah guna teknik belajar.

Tetapi kalau anda membaca buku Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu, anda juga telah tersilap teknik belajar kerana mempelajari bahasa juga anda perlu:

  • -Membuat nota.
  • -Membuat peta minda.
  • -Merujuk kamus.
  • -Membuat ayat.
  • -Menambah perbendaharaan kata.
  • -Menyebut secara oral.

5. Kemahiran Mengulang Kaji

Sebilangan pelajar menganggap mengulang kaji adalah kerja rumah. Anggapan ini salah sama sekali kerana anda juga boleh mengulang kaji di sekolah, dalam kelas ketika guru tiada aktiviti mengajar atau duduk di pusat sumber. Jangan tunggu masa sampai di rumah baharu hendak mengulang kaji. Ahli psikologi berpendapat:  “Ulang kaji sebelum berlalu 24 jam. Jika tidak, 80% maklumat pembelajaran akan hilang.”

Teknik Mengulang Kaji

  • -Membuat latihan lebih berkesan dari membaca sahaja.
  • -Permudahkan nota yang ada supaya menjadi semakin ringkas.
  • -Kuiz dengan kawan-kawan atau adik-beradik.
  • -Mengulang kaji secara kumpulan lebih berkesan.
  • -Jawab soalan ramalan.
  • -Ikut jadual yang anda telah tetapkan.
  • -Gunakan waktu prima untuk subjek yang susah.
  • -Biarlah pendek waktu mengulang kaji tetapi istiqamah.

Mengulang kaji Untuk Peperiksaan

  • -Mengulang kaji hendaklah lebih intensif apabila peperiksaan semakin hampir.
  • -Jangan mengulang kaji hingga lewat malam.
  • -Teruskan mengulang kaji ketika hari-hari rehat antara subjek peperiksaan.

6. Kemahiran Mengingat

Kemahiran mengingat adalah gabungan antara anugerah semula jadi yang Tuhan beri kepada seseorang dengan kemahiran yang dipelajari secara sistematik mengikut kaedah tertentu, seperti:.

  • -Berdoa penerang hati.
  • -Lama masa belajar.
  • -Selalu diulang-ulang secara oral (sebutan) atau di dalam hati.
  • -Latih tubi untuk mengingat secara aktif.
  • -Cari kata kunci.
  • -Gambarkan sesuatu idea melalui contoh, visual, gambaran dan imaginasi.
  • -Guna pelbagai kaedah mengingat yang didapati melalui kursus, kem dan sebagainya.

Kesimpulan

Untuk mencapai kejayaan dalam pembelajaran, buangkan sifat malas, putus asa dan mudah kecewa. Tidak ada kerja yang senang. Kerja yang susah pada mulanya akan menjadi senang apabila kita telah terbiasa.

Pepatah Melayu ada menyatakan:

-Kalau tak pecah ruyung manakan dapat sagunya.

-Belakang parang diasah lagikan tajam

 

 

Hj. Muhammad Zakaria

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8


 

 

 

Haji Muhammad Zakaria

Lulusan University of Tasmania dan University of Newcastle, Australia, berpengalaman sebagai pendidik, pensyarah, CEO kolej swasta, master trainer, kolumnis, penulis, editor dan usahawan. Beliau kini menjawat sebagai Pengerusi Yayasan Antarabangsa Sri al-Ain-Aceh, Presiden Persatuan Belia Sri al-Ain (BERSAMA), Timbalan Presiden Persatuan Usahawan dan Pengurusan Islam Malaysia (URUS) dan Mudir Tahfiz Sri al-Ain. Sering muncul di kaca tv sebagai perunding motivasi, antaranya TV3, RTM1 dan juga Radio Ikim.fm. Beliau juga sering ke luar negara mengetuai misi kemanusiaan, antaranya ke Aceh, Jakarta, Kemboja dan juga masyarakat orang asli.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas