Menu

 

A+ A A-

PERCUBAAN PERTAMA

“Ala… belum try belum tahu!”

PERNAH dengar ayat ini? Ya, selalunya ia digunakan oleh rakan-rakan kita apabila ingin mengajak kita melakukan sesuatu yang baru, atau sesuatu yang belum pernah kita cuba. Ia juga dipanggil percubaan pertama.

Sebelum ni apabila sebut tentang percubaan, kita teringatkan tentang peperiksaan percubaan. Tetapi apakah kita sedar bahawa setiap perkara baru yang kita lakukan adalah satu percubaan? Dan adakah kita sedar bahawa setiap percubaan yang kita lakukan tu amat memberikan kesan kepada hidup kita hari ini dan masa depan? Untuk pengetahuan, ramai manusia berjaya dan gagal adalah hasil daripada percubaan pertama.

Kita ambil beberapa contoh sebagai asas perbincangan. Percaya atau tidak, sebahagian besar remaja pada hari ini ketagih merokok hanya akibat daripada sikap mahu mencuba. Apabila ditoleh ke kanan, nampak rakan merokok, ditoleh ke kiri, nampak bapa pula merokok. “Emm…tentu seronokkan merokok?” bisik hati kecil si remaja. Maka percubaan pertama pun dilaksana dengan jayanya! Mula-mula sebatang sehari. Kemudian sekotak sehari. Akhirnya, satu karton sehari! Hasilnya? Lahirlah seorang lagi perokok tegar.

percubaan-pertama-1

Begitulah, ini menampakkan betapa percubaan pertama itu amat mengesan hidup dan masa depan kita. Hanya dengan sekali cuba, kita mungkin terperangkap selama-lamanya dalam kepompong musibah. Begitu juga dengan percubaan pertama melakukan perkara negatif lain seperti merempit, mencuri di pasaraya, mengambil dadah, melakukan seks bebas, menonton video lucah dan seribu satu lagi maksiat! Namun di sebaliknya, bagi remaja yang matang, percubaan pertama adalah satu perkara yang menjurus ke arah kebaikan, dan bakal menikmati kesan baik yang berpanjangan.

percubaan-pertama-2

Contohnya qiamullail. Qiamullail atau bangun pada waktu malam untuk beribadah merupakan satu perkara yang masih asing bagi remaja kita masa kini. Mungkin ramai yang pernah buat tetapi boleh dikatakan masih ramai remaja yang belum amalkan. Bayangkan, pada malam ini kita melakukan percubaan pertama untuk qiamullail. Dengan niat untuk bangun malam, tidur berwuduk bersama doa agar dipermudahkan oleh Allah untuk qiamullail. Kemudian apabila jam berbunyi, kita lantas bangun mengambil wuduk dan bersolat. Dalam kesejukan malam, kemudian pipi kita dihangatkan dengan linangan air mata taubat.

Untuk percubaan pertama qiamullail, laksanakanlah dengan penuh khusyuk dan tawaduk, pasti kita dapat merasai kemanisannya dan membimbing ke arah kebaikan. Sungguh! Ringkasnya, percubaan pertama itu tidak salah. Cuma kita tidak boleh sebarangan mencuba sesuatu tanpa berfikir terlebih dahulu. Ya, berfikir. Fikirkanlah apa baik buruknya sesuatu perkara itu sebelum kita mengambil langkah mencubanya. Jika tidak mampu berfikir, bertanya dan perhatikanlah orang yang pernah melakukannya.

Ingat, adalah satu kebodohan yang cukup besar untuk seorang manusia apabila dia mengulangi kesilapan orang lain yang boleh dipelajarinya! Juga, sebelum mencuba, fikirkan apa kesan percubaan pertama tersebut kepada minda, emosi, fizikal dan spiritual kita. Adakah minda menjadi lebih cerdas? Perasaan dan kasih sayang semakin stabil? Jasad semakin sihat dan kuat? Hubungan dengan Pencipta semakin rapat? Sekiranya semua aspek ini bakal menikmati manfaat, apa tunggu lagi, cubalah! Tetapi jika ia bakal merobeknya, usah dihirau perkara tersebut.

Banyak benda lain lagi yang anda boleh lakukan! Jadi untuk menjadi remaja yang hebat, tidak salah untuk mencuba. Cuma berfikirlah sebelum mencuba. Ingat, percubaan pertama kesannya lama

Ahmad Badrul Sani Baharudin

Sumber artikel daripada majalah Gen Q Isu Perdana


Ahmad Badrul Sani Baharudin

Master Trainer Az-Zahrah - Multi Intelligence Academy

Kembali ke atas