Menu

 

A+ A A-

KEMBARA SPIRITUAL REMAJA

APA khabar iman anak-anak semua? Diharapkan status iman kita sentiasa berada di paras tinggi supaya mampu mendidik jiwa hamba tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. Kali ini, Ummi akan berbincang beberapa persoalan asas yang sering berlegar di minda remaja. Sebelum itu, eloklah Ummi berkongsi hasil pembacaan Ummi berkenaan penemuan terbaru kajian saintifik mengenai otak remaja.

Tahukah anak-anak, otak remaja mengalami banyak perubahan menjelang usia balighnya? Banyak kajian saintifik membuktikan adanya bahagian otak remaja yang masih belum matang dan aktif berkembang secara biologikal. Kesannya, anak-anak ummi sukar membuat keputusan dengan baik, suka mencuba dan mengambil risiko, berfikiran pendek dan sukar mengawal diri.

Rupa-rupanya otak remaja sedang pesat berkembang dan belum mampu membuat pertimbangan tanpa panduan dan bimbingan. Kasihan anak-anak, berkecamuk fikiran dan emosi bukannya sengaja mengada-ngada, tetapi boleh jadi kebingungan dan keliru.

Anak-anak Ummi yang sentiasa didoakan kesejahteraannya,

Tidak hairanlah jika remaja banyak diburu beberapa persoalan asas yang perlu dicari jawapannya. Ketika ini, anak-anak mula bertanyakan soalan-soalan berikut:

  • Dari mana saya datang sebelum saya wujud di muka bumi ini?
  • Siapa yang menciptakan saya?
  • Apakah tujuan saya diciptakan?
  • Ke mana saya akan pergi selepas mati?

kembara-spiritual-remaja-2

Sebelum dilahirkan, kita semua berada di alam roh. Allah s.w.t. menciptakan manusia dan alam semesta. Tujuan utama manusia diciptakan untuk menyembah Allah. Selepas mati, kita akan dihidupkan semula pada hari kiamat untuk dihisab semua amalan. Mudahnya, bukan? Kalau ditanya semasa peperiksaan, memang ada peluang untuk skor 100%!

Soalan tersebut bukan calang-calang soalan. Itulah sebenarnya persoalan untuk memulakan langkah kembara spiritual manusia mencari makna hidupnya. Ketika seorang manusia mencecah usia baligh dan menjadi remaja, soalan-soalan itu banyak bermain-main di kepala. Bagi mereka yang berusaha mencari jawapannya, dia akan menggunakan segala keupayaan berfikir secara kritis. Akhirnya dia pasti akan bertemu kebenaran.

Sayang sekali bagi kebanyakan yang menjadi Muslim baka. Sejak lahir, persoalan penting ini tidak lagi dihiraukan kerana beranggapan sudah cukup arif dan mempunyai segala jawapan! Malangnya, apabila kita tidak berusaha memahami hakikat penciptaan manusia di atas muka bumi, tahap keimanan yang meyakini kebenaran sentiasa berada di tahap rendah. Bak kata orang, iman senipis kulit bawang, keyakinan seperti lalang di padang; amat mudah dikopek dan dikupas, sentiasa berubah mengikut arah tiupan angin yang berhembus!

Anak-anak Ummi yang dikasihi,

Kembara spiritual ini ibarat satu perjalanan mencari Tuhan. Walaupun kita sudah tahu semua jawapannya, anak-anak sekarang perlu menggunakan akal pemberian Allah s.w.t. untuk terus meyakinkan diri dengan jawapan yang telah diajarkan kepada kita. Jangan bimbang untuk terus bertanya dan bertanya. Apabila sudah yakin dengan kebenaran jawapannya, hati menjadi tenang dan keimanan semakin mantap.

Al-Quran merakamkan dialog antara Allah s.w.t. dengan Nabi Ibrahim a.s. yang mengajar kita agar sentiasa berusaha mencari jawapan kepada semua persoalan. Mafhum ayat ke-260, surah al-Baqarah: “Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: ‘Ya Tuhanku, perlihatkan kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang yang sudah mati.’ Allah berfirman, maksudnya: ‘Adakah engkau belum percaya?’ Dia (Ibrahim) menjawab: ‘Aku percaya, tetapi aku mahukan agar hatiku tenang (mantap).’”

Tidak ada sumber ilmu yang lebih hebat daripada al-Quran al-Karim yang merupakan wahyu Allah yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. untuk memandu manusia ke arah kebenaran. Anak-anak perlu membongkar al-Quran untuk mencari jawapan jitu bagi setiap persoalan yang datang menerpa kotak minda.

Bacalah dengan teliti ayat ke-172, surah al-A’raf untuk mengetahui pengakuan roh manusia tentang ketuhanan Allah sebelum dia dilahirkan ke dunia.

kembara-spiritual-remaja-1

Hayatilah kembara spiritual Nabi Ibrahim a.s. semasa remajanya, bagaimana akhirnya baginda mendapat kebenaran hakikat Pencipta yang sebenar dalam mafhum surah al-An‘am, ayat 74 hingga 79. Jangan lupa menyemak surah Maryam ayat 42 hingga 45, yang merakamkan nasihat Nabi Ibrahim a.s. kepada bapanya mengenai hakikat ketuhanan, mempersoalkan kewajaran bapanya menyembah berhala iaitu sesuatu yang tidak mendengar dan melihat serta tidak dapat menolong manusia sedikit pun!

Ummi berharap anak-anak dapat mencari jawapan bagi semua persoalan asas dan memulakan kembara spiritual anak-anak sekarang juga. Carilah makna dalam kehidupan. Kemudian simpulkan keazaman untuk mara meningkatkan potensi diri menjadi hamba Allah yang berguna. Jadilah remaja yang mantap iman dan aqidahnya. Insya-Allah, hampir pasti anak-anak akan menjadi golongan dewasa yang hebat!.

Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.8


Prof Madya Harlina Halizah

Ketua Unit Perkembangan Kendiri & Profesionalisme UKM

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Terkini daripada Prof Madya Harlina Halizah

Kembali ke atas