Menu

 

A+ A A-

DUTA PERSAUDARAAN YANG TERINDAH

SESUNGGUHNYA, tiada kasih seindah kasih ayah dan bonda. Barangkali kita jemu mendengarnya kerana terlalu ramai yang menyebutnya. Namun, setiap kali memandang wajah ayah dan bonda, hati tidak pernah berasa puas. Betapa murninya wajah mereka. Sekalipun kelihatan garis urat di wajah yang dimamah usia, namun di situlah terpancar cahaya kasih sayang yang abadi. Anugerah Allah yang tidak boleh dijual beli.

Ada anak-anak yang menjauhi ibu bapa kerana merasakan mereka kolot dan ketinggalan zaman. Kononnya tidak sporting dan tidak memahami. Terlihat kuat mengongkong dan merimaskan. Nauzubillah, bimbang nanti tergolong sebagai anak derhaka.

Renunglah wajah mereka ketika tidur. Wajah yang kepenatan itulah yang telah menyabung untuk membesarkan anak-anak yang pelbagai ragam. Jika kamu telah hidup 15 tahun, tidak keterlaluan dikatakan jumlah “upah” yang perlu kamu bayar kepada mereka lebih daripada RM1,000,000. Itu baru jumlah minima! Jumlah sebenar, tidak terhitung dengan harta dunia.

duta-persaudaraan-terindah-1

Memelihara Ukhuwah Asas

Renungilah, ketika kita rancak menjalin ukhuwah dengan teman-teman, kunci utama mendapat kebahagiaan dalam bersahabat ialah memastikan ukhuwah asas tidak terabai. Apakah ukhuwah asas itu? Ya, memiliki jalinan yang baik dengan ayah, ibu dan ahli keluarga! Apa guna bergurau senda dengan teman-teman tetapi wajah mencuka dan hambar sewaktu berbicara dengan ibu bapa dan adik-beradik? Mulakan “syurga” itu di rumah. “Syurga” yang dibina di luar rumah tidak kekal lama andai tiada berkat dan restu kedua ibu bapa.

Lihatlah si anak yang merantau jauh mencari kehidupan, jika apa-apa berlaku kepadanya seperti kemalangan atau kematian, percayalah, teman-teman hanya banyak bersimpati dan bersedih. Ibu dan bapa itu yang rela hati dan bersabar menerima si anak walaupun keadaannya tidak sesempurna dulu. Lumpuh ataupun pulang sebagai jenazah yang terbujur kaku… syahdu bukan?

duta-persaudaraan-terindah-2

Bersyukurlah jika ibu dan bapa masih ada. Jika telah tiada, si anak yang menderhaka pasti menderita dan menyesal tidak sudah. Harapkan kawan, kawan dah jadi lawan. Harapkan isteri, isteri dah cabut lari. Harapkan anak, anak belum tentu nak! Lihat mereka sebagai dirimu sendiri.

Jika mereka sakit, pantaslah menziarahi. Jika mereka berjaya, berilah galakan dan sokongan. Pendek kata, tidak ada istilah sunyi dan menyepi. sebagai manusia, ada graf turun naiknya. Namun, kita masih mampu berusaha untuk memastikan nilai ukhuwah itu terus bersemarak setiap waktu. Anggaplah diri kita sebagai duta persaudaraan. Yang penting, niat kita kerana Allah. Kita suka berkasih sayang, Allah pasti kasih juga kepada kita. Bahagianya hidup jika Allah selalu kasih.

Duta bukan sebarang duta
Duta kecil ramah dan mesra
Sudahlah mesra prihatin pula
Orang memandang semua suka
Pandai menghibur mengambil hati
Tidak pernah dendam dan dengki
Orang berkasih murah rezeki
Apa dipinta Allah kan beri
Sungguh manis menjalin ukhuwah
Bahagia terasa melimpah-limpah
Sakit dan pening tidak sendiri
Insan di sisi menabur budi
Hargai keluarga sepanjang masa
Moga berkembang haruman pahala
Saling memberi nasihat yang baik
Akhlak yang ada pasti terdidik
Saling mendoakan setiap insan
Rahmat dan berkat Allah kurniakan
Jika menyombong, angkuh dan riak
Hendak berkawan orang tak hendak
Perkara kecil anggaplah gurauan
Lumrah manusia lakukan kesilapan
Jika Allah matlamat hidup ini
Sujudlah selalu mewangikan hati

duta-persaudaraan-terindah-3

Semoga kita mengutamakan ayah, ibu, keluarga, sanak-saudara dan pada masa yang sama menjadi sahabat mulia, jiran yang baik dan individu yang terpuji akhlak dan sahsiahnya. semoga dengan sifat muhsin ini akan memelihara kita semua daripada kobaran api neraka. Nikmatilah hidup dengan budaya kasih sayang. Besar manfaatnya agar setiap amalan kita dikira sebagai ibadah oleh-Nya.

Ahmad Fedtri Yahya
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Ahmad Fedtri Yahya

Ahmad Fedtri Yahya merupakan seorang pengacara Malaysia Hari Ini. Beliau juga merupakan personaliti TV3. Beliau juga pernah berlakon dalam filem Dunia Baru The Movie sebagai pelakon cameo. Antara program lain yang pernah dihoskan beliau ialah Dari Masjid Ke Masjid, Madrasah, Scoreboard, Kafe Aktif, Keluarga Bijak Everyday, Khurafat, Sebalik Malam dan pelbagai lagi.

Beliau ialah lulusan Sarjana Muda Komunikasi ( Filem & Penyiaran ) USM dengan minor Pengajian Islam. Beliau menerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor USM ketika istiadat Konvokesyen USM 2003.

Beliau juga aktif menjadi pengacara pelbagai majlis dan menulis buku bertajuk 'Haruman Puisi Cinta' dan 'Pantun Penyeri Pengantin'. Beliau juga aktif menulis dalam majalah seperti Remaja, Gen-Q dan Tunas Cipta. Beliau ialah salah seorang bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh iaitu Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (SMSKS) atau lebih dikenali sebagai KUSESS.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas