Menu

 

A+ A A-

SAHABAT GUA

Kerana pegangan
Engkau hadapi
Dugaan ini ya Sahibul Kahfi

Kamil!
Kalimah kebenaran telah zahir
Tak usah engkau ragukan
Kita datang dari Dia
Kita pulang pada-Nya...

KALAU nak dengar melodinya, boleh cari melalui Google ataupun di YouTube. Inilah lirik lagu bertajuk ‘Sahabat Gua’ ciptaan M.Nasir yang liriknya ditulis oleh Allahyarham Rosli Khamis atau lebih terkenal dengan nama Loloq. Seni katanya cukup jelas. Sahabat gua yang dimaksudkan diinspirasikan daripada sejarah Ashab al-Kahfi yang terakam dalam firman Allah Taala dalam surah al-Kahfi ayat 13 yang bermaksud: “Sesungguhnya merekalah para pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan ditambahkan petunjuk buat mereka.”

Petunjuk hidayah, aqidah, iman dan keyakinan terhadap akhirat yang telah menyatukan sahabat-sahabat gua ini dalam satu wadah perjuangan dan etika persahabatan. Sehingga mereka terasing daripada dunia kemanusiaan. Bukan berbulan, tetapi tahun yang bernilai ratusan. Terasing bukan dalam kancah kemaksiatan. Terasing dalam nikmat ketaatan dan keimanan, bekal menuju keredaan al-Rahman.

sahabat-gua-1

Agama dan Sahabat

Pengaruh agama seseorang itu punya keterikatan dengan nilai persahabatan. Hubungan unik antara agama seseorang itu dengan sahabatnya perlu diakui. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Seseorang itu adalah berdasarkan agama sahabatnya. Maka perhatikan seseorang itu, siapakah bakal menjadi sahabatnya.” Justeru, nilai agama perlu dijadikan syarat pemilihan sahabat agar kita juga terselamat. Bukan berniat meminggirkan mereka yang kurang penghayatan agamanya tetapi sekurang-kurangnya sahabat yang terpelihara kualiti agamanya itu dijadikan tonggak sebagai ‘target market’ untuk dakwah. Sekadar contoh, berkawan dengan 'kaki' masjid mungkin kaki kita juga akan ringan ke sana.

Namun, jika berteman dengan perokok, walau kita tidak merokok mungkin disangka merokok kerana ‘terpalit’ bau busuk rokoknya di baju kita. Jadi berteman itu biarlah bercalit wangi akhlaknya dan terlekat pula akan harum imannya.

Anda sebenarnya tahu dan boleh menilai diri anda sendiri melalui cerminan kawan yang baik atau buruk. Jika anda suka kebaikan yang ada padanya, maka itu tanda anda juga seorang yang baik. Andai sebaliknya, maka bersedia untuk berubah dan memperbaiki diri dan hati anda. Carilah sahabat yang boleh dijadikan ubat. Itulah sahabat yang kenal akhirat kerana kita nanti akan turut terpikat.

sahabat-gua-2

Terpikat bukan dengan maksiat, tetapi jatuh cinta dengan syariat. Carilah sahabat yang kuat berguru menuntut ilmu, dengan syaitan pasti berseteru. Carilah kawan yang sanggup bersusah lelah, berbakti dan beribadah kerana Allah. Cari sahabat yang sanggup menahan 'bisa' demi kita dan kita juga sanggup melakukan yang serupa buatnya. Persis Abu Bakar r.a. dan Nabi s.a.w. yang tercinta. Bersahabat dan bertemanlah hanya kerana ilahi, lestari manisnya ke alam syurgawi.

Puisi Sahabat Kanti

Kawan semangkuk sepiring makan
Kawan sebantal seketiduran
Kawan sebaya sepermainan
Bagai kuku dengan daging
Bagai aur dengan tebing
Bagai ikan dengan air
Bagai jarum dengan kelindan
Ke hulu sama ke hulu
Ke hilir sama menghilir
Yang tahan asak dengan banding
Yang tahan berpahit-pahit
Kalau koyak tampal menampal
Kalau condong sokong menyokong
Terbakar sama hangus
Terendam sama basah
Luka tak dipampas
Mati tidak diungkit
Sakit tak disebut
Salah tak ditimbang
Hutang tidak dibayar
Bagai seibu seayah kandung
Bagai kulit dengan isi
Bagai lukah dalam air
Itulah kawan yang dicari
Kawan sempit kawan berlapang
Guntingnya tidak memutus
Simpul tidak terungkai lagi

Sumber: Tenas E_ endy (Ungkapan Tradisional Melayu Riau, DBP 1989)

sahabat-gua-3

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.

Kembali ke atas