Menu

 

A+ A A-

SUBURKAN RASA PERCAYA DAN CINTA

SEORANG remaja termangu sendirian, menangisi nasib diri kerana dikhianati oleh seorang kawan. Seorang sahabat akan kecewa apabila janji yang disepakati telah dikhianati. Fitrah membuktikan bahawa tiada manusia sanggup disakiti dan dikhianati dalam sebuah perhubungan.

Setiap insan mahu dihormati dan dilayani dengan harga diri seorang manusiawi. Kerana itu, Rasulullah sangat cermat dalam mengajar umatnya etika pergaulan. Dalam maksud sabda Rasulullah yang jelas, Baginda mengungkap: “Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia menyayangi saudaranya seumpama mengasihi dirinya sendiri.”

Melayani sesiapa pun perlu setara ataupun lebih baik daripada melayani diri sendiri. Subhanallah, sungguh indah ajaran islam. Jika mahu dihormati, maka kita harus belajar memuliakan orang. Jika mahu disayangi, kita perlu belajar bersikap ihsan. Jika mahu dihargai, kita dahulu yang perlu pandai berterima kasih. Jika mahu difahami, kita dahulu yang perlu tahu memohon maaf. Malangnya, kita sombong dan ego. Kita keras hati dan sukar mengakui kesilapan sendiri. Akhirnya kita menanggung akibat atas kesilapan sendiri.

suburkan-rasa-percaya-1

Fahamilah, sikap sombong itu racun yang sangat berbisa dalam meruntuhkan sebuah persaudaraan. Kerana Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak akan memasuki syurga orang yang bersarang sifat sombong dalam hatinya walaupun sebesar zarah.”

Formula Ukhuwah

Ukhuwah itu persis bunga daripada sepohon cinta yang tumbuh di atas sebuah kepercayaan. Ukhuwah tidak akan berputik jika cinta tidak subur. Cinta tidak akan tumbuh seandainya kepercayaan tidak mendasari sesebuah pertalian. Kepercayaan tidak akan terhasil daripada pekerti seorang hipokrit atau munafik. Kepercayaan dalam perhubungan akan terbina daripada sikap amanah dan benar. Sudah pasti sikap amanah dan benar ini bersumberkan keimanan.

Mengertilah bahawa sikap berdusta itu ialah racun yang mematikan kecintaan dalam hatimu. Sikap menipu itu membuatkan sebuah persaudaraan menjadi palsu dan mereput di bawah sedar. Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya:

“Sesungguhnya bersikap benar itu akan membawa kepada kebajikan, kebajikan akan membawa kepada keredaan Allah. Sesungguhnya dusta itu membawa kepada kekejian, kekejian akan membawa kepada kemurkaan Allah.”

suburkan-rasa-percaya-2

Selagi kamu tidak tahu memegang janji, selama itu kamu tidak akan menemui sahabat sejati. Selagi kamu tidak pandai mengotakan kata-kata, selagi itu kamu tidak akan bertemu teman setia. Allah itu Maha Adil dan Allah tidak akan pernah berbuat zalim.

Kadang-kadang kita hairan, mengapa seseorang Muslim masih sanggup menipu saudaranya? Kita juga hairan, mengapa seorang rakan yang tahu dosa pahala mampu bercakaran kerana berebut harta dunia? Kita bertambah hairan apabila remaja yang tahu menunaikan solat sanggup mengkhianati sahabatnya demi kepentingan peribadi.

Bina Ukhuwah dengan Solat Berjemaah

Barangkali semua krisis perhubungan ini berkaitan dengan suatu hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Luruskan saf-saf kamu (di dalam solat berjemaah) atau Allah akan membuatkan hati kamu saling berselisih.”

Memang ramai manusia yang bergelar Muslim, tetapi tidak ramai yang mampu berdiri dalam saf untuk solat berjemaah. Jika ada yang berjemaah sekalipun, masih ada yang menunaikan solat tanpa mahu merapatkan saf-safnya. Jika orang yang berjemaah pun masih lagi berisiko menjadi manusia bermasalah, bagaimana pula dengan orang yang sering solat sendirian? Lagi besarlah risiko yang dibawanya.

suburkan-rasa-percaya-3

Fahamilah saudaraku, Nabi ingin menyatakan bahawa orang yang gagal solat berjemaah itu berpotensi menjadi pemecah belah dalam sesebuah persaudaraan. Orang yang tidak melazimkan diri solat di masjid itu, hatinya rapuh dan amanahnya sangat lusuh. Tidak mampu bertahan jika diuji dengansesuatu konflik yang besar. semoga Allah membantu kita untuk menjadi golongan yang suka menghubungkan ukhuwah dengan beralaskan perisai iman yang kita usahakan selama ini. Insya-Allah.

A. Ubaidillah Alias
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


A. Ubaidillah Alias

Lulusan BA (Hons) Usuluddin, syukbah tafsir dari Universiti al-Azhar, Kaherah. Pernah berforum di Radio Kelantan dan menjadi tetamu di tv al Hijrah. Telah menulis banyak buku kreatif seperti novel, majalah dan buku-buku ilmiah untuk bacaan umum. Aktif dalam berceramah masjid dan sekolah. Kini bertugas sepenuh masa di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan(PKINK) sebagai pegawai latihan sumber manusia. Antara guru-guru beliau Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

Kembali ke atas