Menu

 

A+ A A-

MENYUBUR MINAT, MENUAI KEPAKARAN

SAYA bercita-cita untuk menjadi seorang pakar yang diiktiraf pada masa akan datang, insya-Allah. Namun ada banyak bidang yang saya minati dan ada kebolehan berkaitannya.

Anda perlu menyusun atur minat agar ia boleh diterjemahkan kepada kepakaran dengan kemas dan beransur-ansur. Sememangnya anda boleh menjadi pakar dalam semua bidang yang diminati. Namun senarai panjang minat itu perlu disusun dengan sebaiknya agar yang dikejar dapat, yang digendong tidak tercicir.

Saya menasihatkan anda supaya menentukan dahulu mana bidang diminati yang boleh dijadikan sebagai kerjaya asas. Fokus dan sasarkan untuk diri anda menjadi orang yang terkedepan dalam bidang tersebut terlebih dahulu. Pada masa sama, bidang-bidang diminati lain perlu juga sentiasa dikemas kini dengan maklumat baru dan perkembangan semasa yang berkaitan. Jika tidak mendalam sekalipun, perhatian tetap perlu diberikan khususnya untuk bidang diminati yang menduduki tempat kedua dalam senarai panjang anda.

menyubur-minat-1

Sebenarnya tidak mustahil untuk membuat beberapa pencapaian dalam bidang diminati yang kedua, ketiga dan keempat serentak dengan bidang utama yang anda sedang fokuskan. Saya sememangnya memberikan komitmen kepada bidang muamalat. Namun ia tidaklah sampai menghalang saya menghasilkan karya tulisan, membuat analisis dan menyampaikan ceramah dalam bidang solat, keluarga, isu semasa dan isu-isu fiqah yang lain. Namun tumpuan utama dan kebanyakan masa dihabiskan untuk mendalami kajian terkini dalam bidang fiqah muamalat.

Ada seorang pelajar memberitahu saya bahawa dia berminat menjadi penulis novel, walhal dia sedang mengambil jurusan kejuruteraan. Pada masa yang sama juga, dia begitu minat mendalami perbahasan ilmiah berkenaan Islam. Jadi kepada dia dan sahabat yang semisal dengannya, saya nasihatkan supaya menyelaraskan dengan sebaiknya antara minat dan “tugas rasmi” yang sedang berada di hadapannya sekarang. Bagi saya, first degree (ijazah pertama) mahu tidak mahu perlu diselesaikan terlebih dahulu. Ia penting sebagai back-up bagi segala kemungkinan.

menyubur-minat-2

Menjadi Pakar, Ada Jalannya

Kadangkala saya jadi keliru dalam memilih bidang yang saya ingin fokus dan jadikan sebagai bidang kepakaran utama saya. Mohon nasihat daripada ustaz.

Selepas kita menetapkan satu bidang utama yang ingin dijadikan asas kerjaya, langkah seterusnya adalah untuk mengkaji dan mengetahui cara dan kaedah bagi mencapai tujuan itu. Setiap bidang mempunyai jalannya masing-masing. Mengambil situasi pelajar jurusan kejuruteraan yang ingin menjadi novelis tadi, maka jalan yang sepatutnya dilalui untuk menjadi pakar dalam penulisan novel, tentulah seperti berikut:

1. Menggunakan waktu-waktu terluang dan kosong dengan mengasah bakat penulisan. Contohnya menghasilkan penulisan-penulisan mudah di blog sendiri secara konsisten.

2. Mengenal pasti majalah untuk menghantar karya supaya dapat mengetahui tahap kualiti penulisan sama ada sudah mencapai standard majalah atau tidak.

3. Menghantar karya ke ruangan cerpen di akhbar-akhbar.

4. Menyertai mana-mana sayembara cerpen.

5. Mula menjalin hubungan dengan persatuan penulis dan berhubung dengan penulis-penulis berpengalaman.

6. Memperbanyakkan bacaan berkenaan teknik penulisan sastera dan kaedah menjadikannya sastera berisi ilmu. Bukan sekadar sastera biasa.

7. Mencari tema cerpen yang masih kurang dalam pasaran. Elakkan cerpen cinta remaja muda mudi yang dibuai kelalaian.

8. Setelah memperoleh keyakinan diri melalui beberapa hasil penulisan yang diterbitkan, maka bolehlah menjinakkan diri dengan syarikat penerbitan buku bagi memulakan langkah seterusnya iaitu membuku sebuah novel. Begitulah seterusnya.

menyubur-minat-3

Mengorak Langkah Menjadi Pakar

Jika saya hendak menjadi pakar dalam sesuatu bidang, apakah langkah-langkah yang perlu saya lakukan untuk mencapainya?

Jika anda ingin menjadi pakar dalam bidang tertentu, pengetahuan awal beberapa perkara berikut amat penting:

1. Ilmu Asas dan Advance

Kita tidak akan menjadi pakar jika ingin terus melompat dan mempelajari ilmu advance dalam sesuatu bidang sedangkan masih tidak masak berkenaan ilmu asasnya. Sebagai contoh, seorang pakar kewangan Islam patut mengetahui setiap jenis akad, elemen haram dalam kewangan, asas sistem perbankan moden, wang, istilah-istilah biasa dalam fiqah muamalat dan sebagainya. Dia juga perlu menguasai ilmu usul fiqah dan kaedah fiqhiyyah selain nas-nas utama al-Quran dan hadis dalam bidang kewangan. Tidak boleh disangkal lagi, dia juga mesti menguasai bahasa pengantar utamanya iaitu bahasa Arab dan Inggeris.

2. Sumber Ilmu dan Maklumat

Seorang pakar digelar sedemikian kerana kedalaman dan keluasan cakupan ilmunya, pengamatan dan pengalamannya dalam bidang tersebut. Justeru, dia sepatutnya boleh mengenal pasti sumber ilmu dalam bidang ini. Adakah ia boleh didapati di perpustakaan atau di pasaran. Atau mesti diperoleh dari bilik kuliah universiti (pengajian formal) atau dari pejabat korporat dan lainnya.

3. Institusi Berautoriti

Seorang pakar mestilah mengenal pasti institusi berkaitan dalam bidangnya. Jangan pula ada seorang yang mendakwa pakar dalam bidang kewangan Islam tetapi tidak mengetahui AAOIFI dan IFSB. Ini hanya akan membuka aibnya.

4. Buku Rujukan Utama

Seorang yang bergelar pakar pastinya mengetahui semua buku rujukan wajib yang paling berautoriti dalam bidangnya hasil tulisan pakar silam dan semasa. Dalam bidang kewangan dan perbankan Islam contohnya, amat penting untuk diketahui buku al-Ma‘ayir al-Syar‘iyyah terbitan AAOIFI. Begitulah dalam bidang yang lain juga pasti ada buku rujukan utamanya.

5. Role Model

Adalah lebih baik jika anda mempunyai role model (tokoh yang menjadi inspirasi) dalam mencapai sasaran anda sebagai pakar. Dengan demikian, anda lebih mudah mengukur tahap prestasi diri, sama ada semakin mendekatinya atau sebaliknya.

6. Pelan Strategik yang Praktikal

Buatkan perancangan masa dan langkah praktikal satu demi satu. Jangan terlalu ideal dalam merancang. Ingat, sehebat mana pun sasaran anda, jangan lupa akan cabaran realiti kehidupan yang mesti anda hadapi. Isteri atau suami, anak-anak, urusan teknikal di rumah dan keluarga, masyarakat setempat dan sebagainya masih mempunyai hak ke atas diri anda. Jangan abaikan mereka. Justeru rancanglah dengan sebaiknya. Buat senarai semak tindakan-tindakan yang perlu dilakukan langkah demi langkah. Sekiranya perancangan dan senarai semak itu tidak diikuti, seseorang akan sesat di tengah-tengah jalan menuju kepakaran yang sedang dilalui. Natijahnya, sasaran entah ke mana, dia terhenti pula separuh jalan. Akibatnya, dia tidak pakar dalam semua bidang walaupun banyak bidang yang diminati dan boleh dikuasai.

menyubur-minat-4

Dr. Hj. Zaharuddin Hj. Abd Rahman

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  ptsb1444

 

Kembali ke atas