Menu

 

A+ A A-

AMANAH DIBERI, MELUNASKAN DIRI

Gambarkan di fikiran:
ANDA mahu menghantar sesuatu yang amat berharga buat rakan atau keluarga anda di kampung. Malangnya, posmen tidak amanah. Barang kiriman anda telah dirosakkan dan dicuri lantas ia tidak sampai kepada si penerima.

Gambarkan di fikiran:
Anda mengumpul 20 sen sehari selama 3 tahun untuk membeli sebuah komputer. Anda menyuruh abang anda membelikan komputer itu setelah penat lelah mengumpul wang. Malangnya, abang anda tidak amanah. Kesemua duit itu digunakan untuk membeli motosikal baru untuk dirinya.

Gambarkan di fikiran:
Anda menjual kuih-muih. Seawal 4 pagi anda bangun untuk membuat persediaan. Anda amanahkan jiran anda untuk menjaga gerai jualan kuih di pasar. Malangnya, jiran anda tidak amanah. Dia tinggalkan begitu saja gerai itu kerana asyik bergayut di telefon dengan teman lelaki. Habis kuih-muih dicuri orang.

amanah-diberi-3

Gambarkan di fikiran:
Anda terpilih menjadi ketua kelas. Semua orang percaya dan yakin dengan kepimpinan anda. Anda tampak hebat. Malangnya, anda sering membiarkan keadaan kelas huru-hara ketika ketiadaan guru. Anda kerap ponteng kelas dan selalu ke tandas untuk merokok dan keadaan kelas menjadi tidak terurus.

Gambarkan di fikiran:
Anda ingin pulang ke kampung bersama keluarga. Rumah dijaga oleh seorang lelaki yang telah diupah dengan bayaran yang agak mahal kerana tugasannya 24 jam berkawal menjaga keselamatan rumah yang ditinggalkan. Malangnya, selepas anda pulang dari kampung, anda dapati rumah anda menjadi seperti kapal yang dilanda ribut. Barang kesayangan anda sudah tiada lagi. Lelaki itu tidak amanah. Ruparupanya dia telah lari daripada tugasan sejak hari kedua.

* *

amanah-diberi-1

Anda telah baca beberapa contoh peristiwa di atas, bukan? Marah? Geram? Sakit hati? Sedih? Nak menangis? Itu baru sedikit. Bayangkan jika hidup kita dilingkungi dengan ramainya orang yang tidak amanah. Bagaimana? Kita akan sentiasa dalam ketidakpercayaan, sentiasa dalam kesedihan, sentiasa dalam kebimbangan dan sentiasa dalam keadaan syak wasangka. Tentu hidup tidak bahagia bukan? Ingatlah, amanah begitu penting. Ia bukan hanya tanggungjawab sesama manusia malah lebih penting akan dipantau dan ‘diberi markah’ oleh Allah.

Mungkin anda lupa, menjadi seorang anak dan pelajar juga adalah satu amanah. Setiap hari ibu bapa memberi wang saku ke sekolah dengan harapan anda menjadi anak yang soleh, cemerlang dan tahu mengenang jasa orang tua. Apakah anda telah melaksanakan semua itu? Atau masih leka dengan alam remaja yang melalaikan?

Bagaimana pula dengan amanah sebagai seorang pelajar? Jika kerja rumah yang diberi guru pun anda sering abaikan dan guru tidak dihormati sebagaimana yang dituntut, juga sering menimbulkan masalah kepada guru dan sekolah, maka anda telah mempersiakan satu amanah yang besar.

Diingatkan juga, amanah bermula di rumah. Jika di rumah anda menjadi anak yang degil dan tidak mendengar nasihat, bimbang nanti anda membesar sebagai ahli rasuah, pencuri, pendengki, penipu atau apa saja sifat negatif yang akan menambah dosa anda terhadap Allah s.w.t.

Baca semula kisah-kisah pendek di atas dan anda gambarkan di fikiran jika itu semua terjadi kepada anda. Jadi, ayuh kita gilap sifat amanah dan sama-sama kita bimbing rakan dan keluarga kita untuk menjaga amanah dan melaksanakan semua perkara kebaikan dalam hidup kita. Makin banyak perkara baik, makin murah rezeki dan makin molek hati dan budi, insya-Allah.

amanah-diberi-4

Amanah itu sifat mulia, jadi cahaya yang amat indah; Sifat terpuji orang berjaya, Mukmin sejati diberkati Allah. Amanah itu junjungan amal, Rasulullah jadi teladan; Sifat yang baik biarlah kekal, Saham kita di hari pembalasan.

Sehingga bertemu lagi. Q


Ahmad Fedtri Yahya
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2

 


 

Ahmad Fedtri Yahya

Ahmad Fedtri Yahya merupakan seorang pengacara Malaysia Hari Ini. Beliau juga merupakan personaliti TV3. Beliau juga pernah berlakon dalam filem Dunia Baru The Movie sebagai pelakon cameo. Antara program lain yang pernah dihoskan beliau ialah Dari Masjid Ke Masjid, Madrasah, Scoreboard, Kafe Aktif, Keluarga Bijak Everyday, Khurafat, Sebalik Malam dan pelbagai lagi.

Beliau ialah lulusan Sarjana Muda Komunikasi ( Filem & Penyiaran ) USM dengan minor Pengajian Islam. Beliau menerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor USM ketika istiadat Konvokesyen USM 2003.

Beliau juga aktif menjadi pengacara pelbagai majlis dan menulis buku bertajuk 'Haruman Puisi Cinta' dan 'Pantun Penyeri Pengantin'. Beliau juga aktif menulis dalam majalah seperti Remaja, Gen-Q dan Tunas Cipta. Beliau ialah salah seorang bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh iaitu Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (SMSKS) atau lebih dikenali sebagai KUSESS.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas