Menu

 

A+ A A-

JALAN DAKWAH JALAN SUSAH

DI MANAKAH kita sekarang ini? Adakah kita berada di atas jalan dakwah atau masih berada di tepi-tepinya atau sedang memilih jalan bermalas-malasan dan berseronok-seronok? Hanya insan-insan luar biasa sahaja yang terpilih memikul amanah berat di atas jalan dakwah ini. Lumrah, Allah membuat pilihan terhadap para hamba-Nya. Hamba yang menyerahkan usaha dan kekuatan untuk membantu Islam sudah tentu mendapat pandangan istimewa di sisi Allah.

Amat sedikit manusia yang sanggup bersabar untuk terus berada di atas jalan dakwah. Persiapan yang diperlukan untuk berada di atas jalan itu tidaklah sedikit. Selain itu, beberapa aspek perlu diberi penekanan.

Misi yang Jelas

Rasulullah s.a.w. dibekalkan dengan misi yang bersepadu seperti mana difirmankan Allah s.w.t: “Sebagaimana Kami telah mengutus bagi kamu seorang rasul, yang ia membacakan ayat-ayat Kami, membersihkan (jiwa) kamu serta mengajarkan kamu (ilmu) al-kitab dan hikmah dan mengajarkan kamu (apa-apa) yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah:151)

Ayat ini menggambarkan bahawa Rasulullah s.a.w. melaksanakan misinya melalui tiga pendekatan iaitu:

1. Membacakan dan memberi pemahaman tentang ayat-ayat al-Quran, agar umat Islam mengenal dan mengetahui hakikat hidup di dunia ini secara jelas dan tepat. Mereka tahu mana yang Islamik mana yang tidak, walaupun di dalam perkara-perkara yang halus.

2. Membersihkan jiwa umat Islam dari unsur-unsur syirik seterusnya menyucikan hati dari sifat-sifat terkeji dan berusaha mengisi dengan sifat terpuji dan akhlak yang baik.

3. Mengajarkan ilmu dan hikmah, yang mana ianya hanya dapat diperolehi melalui apa yang
Allah turunkan melalui al-Quran dan dijelaskan oleh sabda Nabi s.a.w.

Kefahaman yang Benar dan Asli

Di dalam surah Ali Imran ayat 191, Allah s.w.t. berfirman: “(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk dan berbaring serta berfikir mengenai penciptaan langit dan bumi (oleh Allah), Ya Tuhan kami tidaklah Engkau ciptakan (semua ini) dengan sia-sia.”

Allah s.w.t. telah menggambarkan persepaduan antara zikrullah dengan berfikir dapat menunjukkan pengenalan kepada Tuhan secara tepat. Persepaduan zikir dan fikir yang sesuai akan menghantarkan seseorang kepada pengenalan Tuhan dan alam semesta dengan tepat dan kemudian ia dapat memanfaatkan alam dan seisinya dengan petunjuk wahyu. Kefahaman yang benar dan asli dari zikir dan fikir akan mampu menunjukkan kepada jalan yang benar.

Tidak Mudah Futur

Futur secara bahasa bermaksud “menurun” seperti mana disebut di dalam hadis Rasulullah:
“Sesungguhnya setiap amal ada masanya naik (rajin) dan setelah itu ia akan turun (futur). Barang siapa yang turun (amalnya) masih dalam (batas-batas) sunnahku, sungguh ia dalam petunjuk (Allah). Dan barang sesiapa yang turun (amalnya) ia telah keluar dari sunnahku sungguh celaka ia.”

Secara istilah, futur bermaksud: “Sikap mengabaikan amal sehingga meninggalkannya.”

Peribadi daie yang lemah dan sistem dakwah yang lemah mudah mencampak seseorang ke lembah futur. ¤


Fatimah Syarha Mohd Noordin
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana


 

Fatimah Syarha Mohd Noordin

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Fiqh dan Psikologi) dan Ijazah Bacaan Quran Bersanad dan Daurah Bahasa Arab dari Universiti Syeikh Ahmad Kiftaro, Syria. Kini menyambung pengajian Sarjana di UIAM. Berpengalaman menjadi Peer Tutor, Naqibah Study Circle, fasilitator dan Ketua Pengarah Kumpulan Panel Editor UIAM dan ustazah di Sek. Ren. Ibn Kathir, Gombak. Pernah dinobatkan sebagai novelis Sayembara Mengarang Novel Remaja DBP 2006. Mula berkarya dengan Telaga Biru Sdn. Bhd. pada Disember 2005.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

 

Kembali ke atas