Menu

 

A+ A A-

SURI IKHLAS

NANGKA seulas sama bidara

Enak rasa si buah manggis

Orang yang ikhlas azam membara

Kalah tak kecewa, gagal tak menangkis

Salam pertemuan untuk para pembaca yang saya muliakan. Semoga berada dalam lindungan Allah S.W.T. yang Maha Kuasa kepada Dia tadahkan tangan agar hidup tenang sentiasa.

Tidak ada insan yang suka dipaksa. Tidak ada insan yang suka didera. Tidak ada insan yang suka dicerca. Tidak ada insan yang suka dipersenda.

Begitulah sedikit gambaran yang dapat saya coretkan sebagai permulaan bicara kita kali ini. Saya yakin dan percaya, setiap dari kita memiliki kelebihan tertentu yang dianugerahkan kepada kita. Kelebihan itu kita kenali sebagai bakat. Bakat boleh jadi sedia terlihat dari kreativiti seseorang dan ada pula bakat yang ditemui selepas digilap.

suri-ikhlas-1

Contohnya bakat melukis dan menyanyi. Sekalipun kurang berbakat, kita masih ada minat yang membolehkan kita mengikuti sesuatu aktiviti. Lihatlah pula berapa ramai yang duduk bersama-sama di tepi tasik untuk memancing. Sesetengah orang merasakannya bosan. Tapi tidak bagi penggemarnya. Mereka ikhlas dan sabar menunggu.

Bagi saya sendiri, saya merasakan Allah menganugerahkan saya bakat menulis, berpantun dan mengacarakan majlis. Syukur pada-Nya. Anda pula bagaimana? Saya pasti ramai memiliki kebolehan yang tidak ada pada saya. Barangkali anda bijak menunggang kuda, berenang atau mungkin bermain catur. Itu semua nikmat yang diberi oleh Allah, bukan? Kita pasti merasai keseronokan dan kepuasan melakukan apa yang kita minati.

Kalau anda cintakan kucing misalnya, anda pasti bahagia berdampingan dengan si comel setiap masa. Kalau anda gemarkan melancong, anda pasti tersenyum menikmati pemandangan indah di lokasi yang anda kunjungi. Itu semua persoalan minat. Saya pasti, apa yang kita lakukan itu bukan kerana paksaan. Jika dipaksa, alamatnya kita akan bermuram durja dan bersedihan sepanjang melakukan aktiviti berkenaan.

suri-ikhlas-2

Bagi warga pelajar yang masih muda, anda perlu tahu minat dan kebolehan anda. Jangan mengharap pada kawan. Jangan mengikut kawan. Serapat mana pun anda, pasti ada titik perbezaan. Ali mungkin minat bermain bola. Abu pula cenderung bermain tenis. Jika Abu dipaksa bermain bola, Abu akan jemu dan tidak selesa. Malah boleh mendatangkan rasa malu akibat ditertawakan jika tidak pandai bermain bola. Lama-kelamaan, terjadilah pergaduhan atau rasa marah pada rakan-rakan lain. Untuk apa kita marah-marah dan memaksa diri pada usia yang masih muda ini? Wajah yang ‘suci’ itu usah dicemarkan dengan perkara-perkara yang negatif.

suri-ikhlas-3

Kita ada hak untuk merealisasikan minat dan bakat kita. Jangan malu-malu. Jika ada ujibakat atau pertandingan di sekolah, rajin-rajinlah daftarkan diri. Apabila kita seronok dengan sesuatu aktiviti yang bermanfaat kepada kita, kita akan lakukan dengan penuh minat dan daya usaha. Soal menang atau kalah, bukan lagi matlamat. Yang penting, dari mata turun ke hati kita dapat ilmu dan dapat bersahabat dengan rakan lain yang memiliki minat yang sama. Sebagai contoh, saya sukakan pidato. Bila sesi ujibakat dilakukan, saya seronok dapat bertukar-tukar idea dan pengalaman dengan rakan lain. Menarik! Kita berada dalam kelompok manusia dengan minat dan bakat yang sama.

Semuanya satu kepala! Saya melakukan dengan sepenuh kerelaan. Masa saya juga tidak terbuang dengan aktiviti tidak berfaedah. Ia juga membantu penguasaan Bahasa Melayu dalam pelajaran. Seronok, bukan? Itulah yang kita cari pada usia remaja. Hidup tidak kosong. Kita ada sesuatu untuk kita luangkan waktu. Jika anda gemarkan sukan, ayuh…laksanakan dengan penuh minat. Bila minat diletakkan sebagai asas, maka keriangan jelas terpancar dan hati kita tidak tertekan. Biarpun ia meletihkan, namun tidak mendatangkan masalah kepada kita. Itulah kuasa keikhlasan!

Ahmad Fedtri Yahya

Sumber artikel daripada majalah Gen Q Isu Perdana


Ahmad Fedtri Yahya

Ahmad Fedtri Yahya merupakan seorang pengacara Malaysia Hari Ini. Beliau juga merupakan personaliti TV3. Beliau juga pernah berlakon dalam filem Dunia Baru The Movie sebagai pelakon cameo. Antara program lain yang pernah dihoskan beliau ialah Dari Masjid Ke Masjid, Madrasah, Scoreboard, Kafe Aktif, Keluarga Bijak Everyday, Khurafat, Sebalik Malam dan pelbagai lagi.

Beliau ialah lulusan Sarjana Muda Komunikasi ( Filem & Penyiaran ) USM dengan minor Pengajian Islam. Beliau menerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor USM ketika istiadat Konvokesyen USM 2003.

Beliau juga aktif menjadi pengacara pelbagai majlis dan menulis buku bertajuk 'Haruman Puisi Cinta' dan 'Pantun Penyeri Pengantin'. Beliau juga aktif menulis dalam majalah seperti Remaja, Gen-Q dan Tunas Cipta. Beliau ialah salah seorang bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh iaitu Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (SMSKS) atau lebih dikenali sebagai KUSESS.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas