Menu

 

A+ A A-

JANGAN SAMPAI TERPESONG DARI JALAN ILMU

SEORANG wanita datang kepada Abu Nasr al-Sijzi. Beliau adalah Ubaidullah bin Said al-Waili al-Bakri (w.444H), seorang ahli hadis dari Sijistan. Beliau sangat rajin menuntut ilmu hadis, dan telah pergi ke pelbagai kota seperti Hijaz, Syam, Iraq dan Khurasan untuk mencari ilmu ini.

Wanita yang datang itu sangat tertarik dengan ketekunan beliau. Di hadapan Abu Nasr, wanita ini lalu memberikan wang 1000 dinar. ia berkata: “Gunakan wang ini untuk keperluan kamu.”

Abu Nasr bertanya: “Apa maksud di sebalik pemberian ini?” Perempuan tadi menjelaskan: “Aku ingin engkau menjadikan aku sebagai isterimu. Aku tidak berhajat menikah, namun aku hanya ingin berkhidmat kepadamu sahaja.”

Abu Nasr menolak. Beliau lalu menyuruh wanita itu mengambil kembali wang dan pergi meninggalkannya. Beliau berkata: “Aku keluar dari Sijistan dengan niat menuntut ilmu. Apabila aku menikah, maka gugurlah niat ini. Padahal tiada yang lebih aku sukai daripada pahala menuntut ilmu.”

Kisah ini diceritakan oleh al-Hafiz Abu Abdillah al-Dzahabi dalam kitabnya ‘Siyar A’lam al-Nubala’.

Niat Terpesong

Kisah Abu Nasr menunjukkan kepentingan niat dalam diri seorang pemuda yang bergelar “pelajar”dan “penuntut ilmu”. Hal ini kerana jalan ilmu ini sarat dengan dugaan dan godaan.

Tanpa niat yang kuat, langkah kita akan mudah terpesong dari jalan yang penuh berkat ini.

Zabid bin Harith al-Yami (w.122H) berkata: “Aku suka agar niat selalu mengiringi semua aktivitiku, termasuklah apabila aku hendak makan ataupun tidur.” Diriwayatkan oleh Ibn al-Mubarak dalam kitab ‘al-Zuhd’.

Perkara-perkara yang dapat memesongkan niat para pelajar sangat banyak. Salah satunya ialah rasa cinta dan hasrat untuk menikah. Cukup ramai para pelajar universiti Islam yang meminta pandangan saya berkenaan hasrat mereka untuk bernikah ketika masih belajar. Malah, sesetengah daripada mereka baru pada tahun awal pengajian.

Saya selalu memberitahu mereka: “Bukan begitu sikap para ulama salaf soleh kita. Sebaliknya, mereka terkenal dengan kesungguhan dan ketekunannya. Sekali mereka melangkah ke jalan ilmu, seolah-olah mereka telah mewakafkan diri hanya kepada Allah s.w.t.. Mereka menjadi terlalu sibuk dengan ilmu dan ibadah sehingga tidak memiliki masa untuk perkara yang lain, walaupun untuk ahli keluarganya sendiri.”

Imam Sufyan bin Uyainah (w.198H) berkata: “Apabila seorang pemuda terdahulu mulai menuntut ilmu hadis, ahli keluarganya seolah-olah telah mengikhlaskan beliau.”

Al-Khatib menjelaskan, maksudnya: “Pemuda ini menjadi sangat tekun beribadah, sehingga pertalian antara dirinya dengan ahli keluarga seolah-olah terputus. Pada saat itu, ahli keluarganya seolah-olah telah ikhlas dengan ‘kehilangan’ beliau.” Demikian dalam kitab ‘al-Jamik li Akhlaq al-Rawi’.

jangan-sampai-terpesong-dari-jalan-ilmu-1

Hasrat Bernikah

Ketekunan menuntut ilmu menyebabkan sesetengah ulama terlambat menikah. Bahkan, ada juga yang tidak sempat menikah sama sekali. Itu kerana tanggungjawab besar sebagai suami ataupun isteri sering kali menyibukkan seseorang daripada menuntut ilmu. Lebih-lebih lagi, setelah mempunyai anak.

Berkata Sufyan al-Thauri: “Sesiapa (pelajar) yang menikah, seolah-olah ia sedang berlayar di tengah lautan. Apabila melahirkan anak, maka pecahlah kapalnya.” Diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam kitab ‘al-Jamik li Akhlaq al-Rawi’.

Oleh sebab itu, setiap pelajar sangat dianjurkan untuk menepis hasrat menikah seboleh mungkin kerana ilmu sangat sukar untuk diraih. Ia tidak pernah memberikan seluruh dirinya kepada seseorang, meskipun orang itu menyerahkan diri sepenuhnya kepada ilmu. Apatah lagi, jika orang itu tidak bersungguh-sungguh dan tekun menuntut ilmu.

Berkata Ibn al-Jauzi: “saya memilih bagi orang yang baru mula menuntut ilmu agar ia menolak hasrat menikah sedaya upayanya. Sebab Imam Ahmad bin Hanbal tidak menikah sehingga beliau berusia 40 tahun. Beliau ingin memfokuskan fikiran (hanya untuk ilmu).” Demikian ucapan beliau dalam kitab ‘said al-Khatir’.

Nasihat buat Penuntut Ilmu

Akhirnya, nasihat saya kepada para pelajar, terutama para mahasiswa di kolej-kolej ataupun universiti-universiti Islam, fokuslah pada pelajaran anda. Jangan biarkan sesuatu pun memalingkan perhatian anda daripada ilmu. Sebab ilmu ini hanya boleh diraih pada masa muda. Setelah tua nanti, ia hampir mustahil diraih. Maka gunakan masa muda ini sebaik-baiknya. Jangan takut hilang kesempatan.

Gerbang pernikahan selalu terbuka lebar setiap saat. Ingat, jodoh anda yang hakiki akan datang kepada anda pada saat anda benar-benar telah bersedia untuk menikah nanti. Selain orang ini, ia hanyalah ranjau syaitan yang berusaha memesongkan langkah anda dari jalan ilmu. Wallahu a’lam.

Ustaz Umar M Noor

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas