Menu

 

A+ A A-

HIDUP UNTUK PEPERIKSAAN?

MENJELAJAHI ratusan sekolah bersama puluhan ribu remaja dan kanak-kanak, bermacam-macam ragam manusia saya temui. Ada yang malas belajar, kemaruk bercinta, ponteng kelas, bodek cikgu dan seribu satu lagi masalah remaja.

Cuma di sini saya ambil satu contoh daripada kebanyakan masalah mereka iaitu yang hidup untuk peperiksaan.

hidup-untuk-peperiksaan-1

Dengan kata lain, golongan yang hidup untuk peperiksaan ini, 100% percaya bahawa kejayaannya disebabkan keupayaan dan usaha sendiri. Mereka terlupa bahawa yang menciptakan kejayaan itu adalah Allah. Mereka lupa bahawa yang meminjam nikmat kemenangan itu adalah Allah. Dan mereka lupa bahawa yang menguji dengan kegagalan itu juga adalah Allah.

Hasilnya, golongan ini langsung tidak membina hubungan yang baik dengan Allah. Apa yang Allah suruh, disanggah. Apa yang Allah larang, dilanggar. Mana mungkin sikap ini mampu mengundang kejayaan yang hakiki! Sebenarnya, dari segi realiti dan juga rohani, perkara yang utama kita perlu lakukan adalah berbuat baik dengan pemberi kejayaan yakni Allah s.w.t.

hidup-untuk-peperiksaan-2

Buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang. Seiringkan usaha kita dengan doa, kemudian bersyukur. Itulah perkara yang paling asas. Sebelum bercakap pasal solat hajat, qiamullail dan solat duha, molek kiranya kita muhasabah solat yang lima. Sebelum berbicara tentang surah-surah pilihan yang elok dibaca sebelum menghadapi ujian, molek kiranya kita muhasabah sama ada al-Quran dipegang dan dibaca.

Ini adalah kerana Allah s.w.t. tidak akan bertanyakan tentang keputusan peperiksaan kita di dunia ini. Subjek utama yang Allah s.w.t. hendak periksa adalah solat kita. Selain itu, perkara syariat yang telah dipandukan melalui al-Quran. Mungkin kita boleh menggondol semua ‘A’ dalam mata pelajaran di dunia ini tetapi akhirnya apabila diperiksa di akhirat, tiada ‘A’ dalam jiwa: akhlak buruk; akidah lemah; dan semangat selembut lalang ditiup angin.

hidup-untuk-peperiksaan-3

Jadi kita perlu balik ke jalan yang benar! Jangan terlalu obsess dengan usaha untuk mencapai kejayaan sehingga tidak terjaga hubungan dengan Allah s.w.t. Ingat, kejayaan yang sebenar ialah kesungguhan kita berusaha untuk mencapai kejayaan dan bertawakal kepada Yang Maha Esa.

Rafakkan kesyukuran setinggi-tingginya ketika menyambut kejayaan dalam peperiksaan. Keseronokan yang dikecapi dibayar dengan amal ibadat yang semakin berkualiti. Insya-Allah kejayaan yang dikurniakan itu bakal mewarnai masa depan dengan kehidupan yang lebih bahagia.

Akhir kata, kita perlu sedar sedalam-dalamnya bahawa peperiksaan yang terpenting adalah peperiksaan yang bakal dihadapi oleh setiap manusia tatkala berdepan dengan Allah selepas hayat meninggalkan badan.

Semua orang tahu tentang peperiksaan di Padang Mahsyar. Perhitungan amalan akan dilakukan dan keputusan sama ada ke syurga atau neraka akan diumumkan. Tetapi betapa ramainya manusia hari ini yang terus leka dan lalai serta langsung tidak bersedia untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan penting tersebut.

Tanyalah diri sendiri, adakah kita hidup untuk peperiksaan? Dan jawapan akan tetap YA. Cuma sekurang-kurangnya hari ini kita sedar, bukan sahaja peperiksaan akademik sahaja yang penting, bahkan peperiksaan amalan akhirat lebih penting yang sepatutnya kita sentiasa bersedia menghadapinya.

Jom kita bersedia untuk menghadapi ujian terbesar hidup ini! Jom kita bersedia untuk menduduki peperiksaan terpenting di alam ini! Jom kita skor ‘A’ dalam peperiksaan sebenar! Q


Ahmad Badrul Sani Baharudin
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2

 


 

Ahmad Badrul Sani Baharudin

Master Trainer Az-Zahrah - Multi Intelligence Academy

Kembali ke atas