Menu

 

A+ A A-

PEMBONGKAR RAHSIA

CIKGU, saya pelajar Tingkatan 3. Untuk pengetahuan cikgu, saya banyak menghadapi masalah keluarga. Ibu bapa saya sering bergaduh. Saya rasa “tension” dan kadang-kadang pernah berniat untuk lari dari rumah. Ada beberapa kali saya dinasihatkan oleh guru kaunseling sebab prestasi pelajaran saya kurang baik. Saya jelaskan kepada guru kaunseling mengenai masalah saya, tapi selepas itu semua guru lain tahu hal saya. Sekarang saya lagi tertekan. Sudahlah masalah keluarga, tambah lagi dengan guru-guru dan rakan-rakan tahu hal keburukan keluarga saya. Saya malu. Apa patut saya buat cikgu?

Jawapan:

Moga Allah memudahkan perjalanan hidup adik. Bagi Cikgu, ada dua situasi di sini yang patut Cikgu sentuh, iaitu: A) masalah keluarga yang merunsingkan, dan B) perihal guru kaunseling yang tidak menyimpan rahsia.

Dalam surah al- Baqarah, ayat 286 ada menyebut, “Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” Maksudnya, setiap ujian daripada Allah ada hikmahnya. Apa yang adik alami sekarang menunjukkan betapa kuatnya hati adik untuk menempuh ujian Allah itu berbanding orang lain. Mungkin rakan adik tidak sanggup terima jika ujian yang sama itu dihadapi olehnya. Kerana, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Cuma kita perlu bersabar dalam menjalani ujian tersebut.

pembongkar-rahsia-1

Cuba adik lihat seorang bayi yang ingin merangkak menaiki tangga tinggi; atau ingin bermain pemetik api; atau ingin menepuk lipas di lantai dapur… semua perbuatan itu menarik minat bayi tersebut untuk melakukannya kerana mungkin bagi bayi tersebut perkara-perkara tersebut sangat seronok dan tidak salah.

Tapi lihat apa yang berlaku, ibu bayi tersebut terlebih dahulu melarangnya daripada berbuat demikian, walaupun belum ada bahaya yang menimpa. Kenapa? Kerana ibu itu lebih mengetahui apa yang akan berlaku kepada bayinya.

Begitu juga dengan Allah yang jauh lebih hebat daripada ibu kita. Dia mengetahui segalanya. Jadi, jangan pening kepala dan pecahkan minda serta robekkan hati dengan masalah keluarga kita.

Dalam kes ini, nampaknya ibu bapa adik kurang mengambil berat tentang “amanah” mereka. Tidak mengapa. Teruskan sabar dan berdoa. Namun percayalah, suatu hari nanti ada penyelesaiannya.

Mengenai guru kaunseling adik yang juga tidak menjaga “amanah”, sehinggakan seluruh warga sekolah mengetahui rahsia adik: ini kes berat. Mohon maaf sekiranya jawapan ini dibaca oleh para guru, tetapi atas dasar tanggungjawab, saya terpaksa jelaskan.

Seorang pelajar yang mengadu hal kepada guru kaunselor, itu merupakan satu amanah besar yang diberi oleh pelajar tersebut kepada guru. Suatu kepercayaan yang tiada tolok bandingnya. Dan sememangnya hal sebegini salah di sisi adab, salah di sisi etika dan juga salah di sisi agama.

Hal sebegini boleh diklasifikasikan sebagai “pecah amanah”. Tidak sepatutnya rahsia sebegini diceritakan kepada orang lain melainkan guru kaunselor tersebut ingin meminta pandangan pihak lain dan hendaklah tidak diberitahu nama adik kepada orang lain. Ini kerana, orang yang menjaga aib seseorang daripada diketahui oleh orang lain, Allah akan menyembunyikan aibnya di mahsyar kelak… begitulah sebaliknya.

Tindakan adik untuk meluahkan isi hati dan masalah adik kepada orang adalah sangat baik. Dalam psikologi, kaedah ini sebenarnya mampu melegakan seseorang daripada tekanan. Akan tetapi, pemilihan yang tepat perlu dibuat tentang siapa orangnya yang layak untuk kita luahkan rahsia tersebut. Layak di sini bermaksud, orang yang mampu memberi nasihat dan sanggup memahami kedukaan kita. Jangan sesekali meluahkan rahsia hati kepada orang yang tidak layak, kerana mungkin kita akan disakiti atau lebih teruk, kita akan dipengaruhi untuk melakukan sesuatu yang agak kurang cerdik.

pembongkar-rahsia-2

Bagi pendapat Cikgu, apa yang adik boleh buat sekarang ialah, cuba fikirkan begini: perkara tersebut telah pun berlalu, tidak guna berasa malu. Cikgu tidak menafikan perasaan malu itu ada, tetapi jangan biarkan perasan itu membuatkan adik lemah. Adik tidak sepatutnya lemah. Jika adik lemah, pastilah adik tidak akan menerima ujian sebegini berat.

Kejayaan seseorang pada masa hadapan boleh diukur dengan keperitan yang dilalui pada masa kini. Lagi perit hidup kita, lagi tinggi tahap kejayaan kita nanti. Ini dibuktikan sendiri dengan kehidupan Rasulullah s.a.w. Paling penting, jadikan Allah tempat mengadu pada masa suka dan duka. Pasti tidak mengecewakan. 


Cikgu Yaser Mohd Akhir
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2


Yaser Mohd Akhir

Motivator Telaga Biru Training & Consultancy

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas