Menu

 

A+ A A-

BILA YANG CERDIK TETAPI TAK BAIK

SERING kita dikejutkan dengan isu pelajar yang cemerlang pencapaian akademiknya, tetapi terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat misalnya gengsterisme, pergaulan bebas dan lain-lain. Soalnya, di manakah silapnya kita? Sejauh manakah kecemerlangan dalam bidang akademik mampu menjamin pembinaan generasi remaja yang berakhlak?

Apa yang berlaku dalam kehidupan kita, sama ada baik atau buruk merupakan ‘didikan’ tersirat daripada Tuhan. Maksudnya,ada sesuatu yang perlu kita fahami, hayati dan sedari di sebalik setiap sesuatu, justeru sesuatu yang terjadi tidak sia-sia. ertinya, setiap peristiwa ada tujuan, dan kita sebagai hamba-Nya perlu mencari apakah tujuan di sebalik setiap kejadian, peristiwa dan perkembangan.

Sehubungan dengan itu, saya rasa kita perlu bermuhasabah semula tentang matlamat, pendekatan dan pelaksanaan pendidikan kita. Tidak kiralah kita sebagai ibu bapa, guru-guru atau orang yang dipertanggung jawabkan dalam institusi pendidikan.

Bagaimana falsafahnya? Bagaimana pelaksanaannya? Mungkin dari segi falsafahnya sudah tepat, tetapi kurang berkesan apabila dilaksanakan. Atau boleh jadi di peringkat falsafah pun sudah punya kelemahan. Maka seharusnya sama-sama kita bertindak membetulkannya. Ya, kita ingin melahirkan insan yang seimbang menerusi sistem pendidikan kita. Yakni insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, begitu juga cemerlang dari segi rohaninya.

Sekiranya ada pelajar yang cemerlang dalam akademik, tetapi rosak akhlaknya maka itu bererti kita gagal melahirkan insan yang seimbang. Tentu dia akan pincang dalam menghadapi cabaran dalam hidupnya kelak. Walaupun mungkin bilangan pelajar-pelajar yang rosak akhlak ini masih sedikit, namun kita seharusnya merasa bimbang kerana bilangan yang sedikit itu akan makin bertambah. Dan tentu sahaja itu satu masalah besar khususnya kepada ibu bapa anak-anak yang malang itu!

White Collar Crime

Kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin seseorang itu dapat melayari hidupnya dengan baik. Katakanlah dia dapat pekerjaan yang baik, tapi apabila tidak jujur dia mungkin menipu, terlibat dalam rasuah dan mungkin akhirnya terjebak dalam “white colarcrime”. Kita pun sudah sedia maklum betapa kadar rasuah dalam kalangan kaki tangan kerajaan juga turut membimbangkan.

Hakikatnya, kejahatan yang dilakukan oleh orang yang bijak lebih memusnahkan berbanding dengan kejahatan oleh orang yang bodoh. Mahukah sekolah-sekolah elit kita bakal melahirkan penjenayah yang profesional? Kecemerlangan akademik dan akhlak boleh dicapai secara bersepadu. Maksudnya para pelajar yang betul-betul menjaga akhlaknya sangat berpotensi untuk menjadi pelajar yang cemerlang akademiknya.

Menjaga Akhlak

Apabila dikatakan menjaga akhlak, ia bermaksud berakhlak dengan Allah dan berakhlak sesama manusia. Berakhlak dengan Allah misalnya, memiliki rasa syukur, sabar, redha dan lain-lain. Dengan rasa itu para pelajar tersebut tentulah menjaga segala suruhan Allah, seperti menutup aurat, solat dan lain-lain. Hasil mengerjakan solat jiwanya akan tenang, dan dengan ketenangan itu dia dapat menjaga hubungannya dengan kawan-kawan, guru dan ibu bapa dengan baik.

Apabila suasana hubungan sesama orang di sekelilingnya adalah baik, maka mudahlah ia menelaah pelajaran. Dia tidak bermasalah dengan ibu bapanya, dengan guru-gurunya dan kawan-kawan. Bahkan apabila akhlak baik, ibu bapa tentu akan sama mendoakan, guru-guru akan membantu, rakan-rakan akan bekerjasama. Doa ibu bapa sangat mustajab. Bila guru-guru sudah sayang, maka mudahlah mereka memberi tunjuk ajar. Kawan-kawan yang baik akan mudah diajak untuk diajak berbincang dan membentuk ‘group disscussion’ dan sebagainya.

Tegasnya, akhlak yang baik secara langsung akan membentuk suasana yang kondusif untuk para pelajar mencapai kecemerlangan akademik. Setiap sekolah memang bercita-cita melahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan cemerlang akhlak. Malangnya, kekadang motto seperti ‘ke arah melahirkan pelajar bestari dan berdedikasi’ hanya tinggal slogan. Mengapa?

Dua Perkara yang Berbeza

Perlu diingat, bahawa memberi pelajaran dan memberi pendidikan adalah dua perkara berbeza. Mungkin pelajar-pelajar berjaya menimba pelajaran. Memberi pelajaran melibatkan proses menyampaikan ilmu. Tetapi mendidik adalah satu perkara yang lain. Kekadang proses pembelajaran tercapai, tetapi proses pendidikan agak terabai. Pencapaian pelajaran boleh diukur menerusi prestasi dalam peperiksaan tetapi kejayaan mendidik jauh lebih kompleks dan abstrak. Bagaimana hendak mengukurnya?

Ukuran sama ada tercapai atau tidak proses mendidik itu adalah melalui nilaian tahap akhlak seseorang pelajar. Oleh itu para guru dan ibu bapa yang merupakan pendidik dalam institusi pendidikan yang bernama sekolah dan di rumah, harus sama-sama bermuhasabah. Apakah pelajar-pelajar di sekolah hanya mendapat pelajaran atau pada masa yang sama turut juga mendapat pendidikan?

Ya, pencapaian kita mungkin membanggakan, apabilakeputusan peperiksaan UPSR, SPM, STPM para pelajar semakin meningkat. Namun, bagaimana pula peranan sekolah sebagai tempat membina asuhan, tunjuk ajar yang baik dan didikan akhlak? Ini satu tugas yang bukan sahaja lebih mencabar, tetapi juga lebih utama. Guru dan ibu bapa perlu menjalankan dua peranan sekali gus, yakni sebagai murabbi (pendidik) dan juga mualim (pengajar). Kita tinjau dulu peranan murabbi. Guru dan ibu bapa mesti berperanan sebagai murabbi, tidak sekadar mualim. Mengapa? Ini kerana peranan mualim berfokuskan pengajaran manakala murabbi berfokuskan pendidikan.

BILA YG CERDIK TP X BAIK

Ramai orang tersilap dan menganggap mengajar (peranan mualim) dan mendidik (peranan murabbi) itu sama. Jika sudah ada mualim (para guru), maka dengan sendirinya kita sudah ada pendidik. Banyak bezanya antara murabbi dengan mualim. Mualim ialah individu yang berperanan menyampaikan ilmu kepada anak-anak muridnya.

Dia mengajar ilmu-ilmu tertentu sama ada yang berbentuk agama (fardu ain) ataupun akademik (fardu kifayah) kepada muridnya. Matlamat utama pengajar adalah agar ilmu yang diberikan itu dapat difahami dan diaplikasi semula semasa peperiksaan. Ertinya, berlaku perpindahan ilmu dari akal ke akal, yakni dari akal mualim kepada akal murid dan akhirnya murid meluahkan semula ilmu itu di atas kertas peperiksaan.

Tugas Murabbi Lebih Mencabar

Murabbi lebih dari itu. Murabbi berperanan mendidik jiwa muridnya. Supaya jiwa muridnya terkesan oleh ilmu yang diberikan. Ilmu itu kemudiannya dihayati, diyakini dan kemudiannya diamalkan dalam kehidupan. Tegasnya, tugas murabbi lebih “advance” daripada mualim kerana dia perlu memastikan sesuatu ilmu bukan sahaja difahami tetapi dihayati sekali gus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak muridnya.

Jika tugas mualim banyak berlegar pada akal, maka tugas murabbi pula adalah di dalam hati murid-muridnya. Tamsilan mualim adalah seperti orang yang mengumpulkan bahan-bahan masakan (misalnya tepung, gula, mentega, garam, gula dan air), manakala murabbi pula adalah umpama tukang masak yang mengadun, membancuh, menguli, membakarnya hingga menjadi seketul roti.

BILA YG CERDIK TP X BAIK 3

Jadi bukankah tugas murabbi tugas yang lebih mencabar? Murabbi memastikan dalam jiwa anak muridnya timbul kemahuan sedangkan mualim hanya berperanan supaya timbul pengetahuan.Kekuatan “kemahuan” sebenarnya mengatasi “pengetahuan”. Katalah murid telah diajar tentang sifat-sifat sabar, tahu apa ciri-cirinya, kategori sabar, apa unsur-unsur yang membawa kepada sifat sabar dan sebagainya.

Tetapi hanya dengan itu mampukah ia bersabar apabila berdepan dengan sesuatu yang mencabar kesabarannya? Maaf, kadangkala orang yang punyai PhD dalam bidang akhlak atau tasawuf pun tak sabar bila berdepan dengan realiti kehidupan. Tugas ini adalah tugas murabbi, justeru dia ada kemampuan untuk memastikan ilmu yang ada itu dapat diamalkan.

Produk sistem yang tidak seimbang

Cabaran utama dalam sistem pendidikan secara umumnya adalah kita mampu memberi ilmu sebanyak-banyaknya, tetapi gagal dalam memberi didikan setepat-tepatnya. Akibatnya produk sistem pendidikan tidak seimbang. Ada yang cemerlang akademik, tetapi akhlaknya kurang baik. Ini bukan sesuatu yang janggal justeru baru-baru ini kita dengan isu tentang ujudnya pengedar-pengedar dadah dalam kalangan pelajar universiti dan juga masalah kelahiran bayi luar nikah dalam kalangan siswa siswi.

Yang penting sekarang adalah bagaimana melahirkan ramai murabbi, bukan sekadar mualim dalam masyarakat kita. Atau soal yang lebih besar daripada itu adalah siapakah yang mampu mendidik para pendidik? Bagaimana keberkesanan maktab-maktab perguruan atau universiti melahirkan murabbi? Apakah kelayakan yang seharusnya ada pada seorang murabbi?

Apakah individu yang meletakkan profesion guru sebagai pilihan terakhir dan menerimanya secara ‘terpaksa’, mampu menjadi murabbi yang dedikasi? Secara ringkasnya, seorang murabbi ialah mereka yang benar-benar merasakan tugas mendidik itu ialah amanah daripada Allah. Dia sedar bahawa dia sedang memikul tugas warisan para nabi dan rasul khususnya nabi Muhammad s.a.w.

Jika jurutera berdepan dengan bahan-bahan fizikal, doktor dengan sakit fizikal, peniaga dengan barang dagangan, pilot dengan kapal terbang murabbi pula berhadapan dengan jiwa, akal, nafsu dan perasaan manusia! Ini adalah sebab utama mengapa diutus para rasul ke dunia, yakni untuk menyeru, mendidik dan memimpin manusia.

Bukan sahaja untuk sejahtera di dunia, tetapi juga di akhirat. Soalnya, apakah kita sebagai guru, ibu bapa dan pemimpin tidak kira di peringkat mana, merasakan kita sedang menjunjung dan menyambung peranan para Rasul? Jika para Rasul berdepan dengan umat seluruhnya, kita hakikatnya sedang berdepan dengan anak-anak dan pelajar kita. Ya, tugas mendidik adalah untuk mereka yang berjiwa besar, benar, tulus, amanah dan jujur ¤         

Solusi

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2

 


 

Solusi

Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.

 

Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Kembali ke atas