Menu

 

A+ A A-

WASATIYAH DAN PENDIDIKAN SEKS

Pendidikan seks menimbulkan kegusaran pada sebahagian golongan yang bimbang pada natijah buruk yang akan berlaku kepada golongan muda. Kebimbangan ini ada asasnya. Sekiranya pendidikan seks diperkenalkan dalam bentuk yang salah, maka ia akan membawa kepada kerosakan dan penyesalan. Kupasan kali ini menyorot isu pendidikan seks daripada pandangan manhaj wasatiyah.

Seks dalam Islam

Soalan :Adakah Islam ada membicarakan soal seks dan pendidikan berkaitannya?

Jawapan : Sudah tentu. Islam ialah agama yang membicarakan tentang seks namun secara suci dan bersih. Islam jauh sekali membawa penganutnya kepada seks bebas. Sebaliknya Islam mendidik umatnya supaya berinteraksi dengan seks yang dihalalkan.

Pendidikan Seks dan Nas

Soalan : Boleh ustaz sebutkan contoh-contoh nas al-Quran dan sunnah yang membawa mesej pendidikan seks?

Jawapan : Begitu banyak sekali. Antaranya ayat yang berkisar tentang penciptaan manusia daripada air mani yang bermaksud berlaku seks yang halal.

Firman Allah mafhumnya: “Bahawa sesungguhnya, Dialah yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan dari (setitis) air mani ketika dipancarkan (ke dalam rahim).” (Surah al-Najm: 45-46)

Begitu juga dengan firman Allah berkenaan pancutan air mani, antaranya ayat yang bermaksud: “Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)?

"Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?” (Surah al- Waqi‘ah: 58-59)

Dalam sunnah juga terdapat hadis-hadis berkaitan antaranya sabda Nabi yang bermaksud: “Takutlah kepada Allah berkenaan isteri-isteri kamu. Sesesungguhnya kamu mengambilnya sebagai amanah Allah. Dan dihalalkan faraj mereka dengan kalimah Allah.”

WASATIAHAkhlak Islam

Soalan : Apakah adab-adab yang wajib dipatuhi dalam memenuhi tuntutan seks?

Jawapan : Sheikh Abdul Halim Abu Syaqqah menyebutkan adab-adab ini dalam kitabnya Tahrir al-Mar’ah antaranya:

1.Menjauhi persetubuhan ketika berpuasa, haji dan beriktikaf.

2.Mengelak daripada meliwat isteri.

3.Tidak menceritakan kecantikan wanita lain secara detail kepada suami.

4.Tidak berebut-berebut dengan wanita di tempat awam.

5.Mengelakkan daripada berkhalwat dengan wanita melainkan dalam keadaan darurat seperti:

a.Berdua-duaan di hadapan orang ramai sekiranya ada hajat seperti yang berlaku di pejabat.

b.Dua orang lelaki dan wanita bertemu jika terdapat hajat.

c.Seorang lelaki berkumpul dengan sejumlah wanita yang ramai seperti menjadi imam kepada mereka.

Kitab Khas

Soalan : Kenapa ulama terdahulu tidak menulis mengenai pendidikan seks dalam satu buku khas?

Jawapan : Sekiranya kita meneliti kitab-kitab lama, memang kita dapati bahawa ulama kita tidak menulis satu kitab khas mengenai pendidikan seks. Hal ini mungkin merujuk kepada beberapa faktor antaranya:

1.Ulama dahulu menyentuh soal pendidikan seks secara terpecah dalam banyak bab tanpa memfokuskannya dalam satu bab seperti dalam bab bersuci, bab berpuasa, haji, kahwin dan sebagainya. Hal ini kerana mereka tidak mahu menimbulkan syahwat. Dari sudut lain pula, dengan pendekatan itu akan terdidik sifat malu dan beretika dalam kalangan umat.

2.Mungkin pada zaman dahulu tidak berhajat kepada pembukuan seperti pada zaman ini kerana wujud pembelajaran secara langsung daripada orang tua-tua atau budaya malu dalam kalangan masyarakat.

Di Sekolah

Soalan : Apa pendapat ustaz tentang isu pendidikan seks ini di sekolah?

Jawapan : Bagi saya, ia perlu diperkenalkan tetapi mestilah dalam bentuk diikat dengan syariat berdasarkan al-Quran dan sunnah. Inti patinya mestilah yang menjuruskan kepada interaksi berkaitan isu seks dengan hasrat membangun masyarakat ke arah nilai mulia dan mengelakkan daripada maksiat.

Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, 2004. Mendapat Sijil Kemahiran Fatwa, Darul Ifta’ Mesir, 2008. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir, Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Kini sebagai Pegawai Perhubungan Korporat dan Penasihat Syariah Pelima Media Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas