Menu

 

A+ A A-

UJI MINDA BERSAMA GURU MITHALI

PADA suatu ketika, Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali duduk bersama sekumpulan murid-muridnya lalu bertanya: “Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?” Sebahagian daripada murid-muridnya menjawab: “Orang tua, guru, kawan, dan kaum keluarganya.” Imam al-Ghazali lantas mengatakan bahawa semua jawapan itu betul.

Namun beliau menjelaskan perkara yang paling dekat dengan kita adalah mati, kerana Allah s.w.t. menyatakan bahawa ajal itu datang secara tiba-tiba, tanpa dapat dipercepatkan mahupun dilambatkan.

Kemudian Imam al-Ghazali meneruskan pertanyaannya lagi: “Apa pula yang paling jauh daripada diri kita di dunia ini?” Antara mereka ada yang menjawab: “Bulan, matahari, negara China dan bintang-bintang.” Beliau menjelaskan semua jawapan yang diberikan benar. Tetapi yang paling benar adalah masa lalu, kerana ia semakin jauh dan kita tidak mampu untuk kembali kepada masa yang lalu itu. Oleh sebab itu, kita perlu menggunakan sebaik-baiknya hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan melakukan amalan-amalan yang sesuai dengan kehendak Allah s.w.t.

Pertanyaan ketiga ditujukan kepada muridnya: “Apa yang paling besar di dunia ini?” Mereka ada yang menjawab:“Gunung, bumi, dan matahari.” Jawab Imam al-Ghazali: “Semua jawapan itu memang benar, tetapi yang paling besar dalam diri manusia di dunia adalah nafsu. Oleh sebab itu, berhati-hatilah dengan nafsu, jangan sampai nafsu yang besar itu mampu membawa kita ke neraka.”

Imam al-Ghazali bertanya lagi: “Apa yang paling berat di dunia ini?” Ada yang menjawab: “Besi, gajah dan sebagainya.” Beliau berkata: “Semua jawapan itu juga benar, tetapi yang paling berat adalah menjaga amanah. Semua makhluk termasuk gunung-ganang yang besar dan kuat sekalipun, tidak berkuasa memikulnya apabila ditanya oleh Allah s.w.t. Akhirnya, manusia yang kerdil sanggup memikul tanggungjawab dan amanah yang besar itu.”

 

 

       Mahfuzah Omar

Sumber artikel daripada Majalah GEN-Q Isu 09

 


 

Mahfuzah Omar

B.A (HSc) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pernah bertugas sebagai editor penerbitan di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas