Menu

 

A+ A A-

MEMAFKAN DALAM PERSAHABATAN

CUTI hujung minggu yang dihabiskan di rumah memberikan saya peluang untuk menggunakan masa yang berkualiti bersama anak-anak. Melayani kerenah si adik dan si abang ada kalanya melucukan dan ada kalanya saya beristighfar panjang menahan kesabaran bagi meleraikan pergaduhan antara mereka.

Walaupun seorang lelaki dan seorang perempuan, namun mereka berlawan, bergusti dan melompat. Sekejap mereka ketawa bersama dan ada ketikanya salah seorang menangis. Ketika itulah saya terpaksa menjadi hakim menilai hujah-hujah mereka. Dan kebiasaannya sesiapa yang didapati bersalah akan meminta maaf dan saya akan memastikan mereka bersalaman antara satu sama lain.

Memaafkan Lebih Baik

Tetapi satu pengajaran yang saya pelajari daripada tingkah laku mereka. Mereka berupaya meminta maaf antara satu sama lain. Dan yang lebih baik, mereka juga begitu cepat dan mudah berbaik-baik semula! Itulah antara kelebihan kanak-kanak. Saya terfikir adakah ini akan berlaku apabila mereka meningkat remaja dan dewasa kelak?

Perhatikan di sekeliling kita, berapa ramai yang bersikap begitu? Berupaya memaafkan, berbaik-baik semula dengan orang yang pernah menyakiti dan melupakan kesalahan yang pernah dilakukan. Begitulah seharusnya yang perlu diamalkan dalam apa sahaja perhubungan terutama sekali dalam persahabatan.

Saya pernah terbaca ungkapan yang diucapkan oleh Nabi Isa a.s., maksudnya: “Usahlah melihat kesilapan orang lain seolah-olah anda seorang bangsawan. Sebaliknya, lihatlah kesilapan sendiri seolah-olah anda seorang hamba.”

Kita bukanlah paling hebat, kerana ada lagi orang yang lebih hebat daripada kita. Kita juga tidaklah baik sangat, kerana ada orang yang lebih baik daripada kita. Jadi mengapa kita tidak memaafkan sahabat atau orang lain atas kesilapan mereka, kerana kita juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Setiap anak Adam pasti melakukan kesilapan, dan yang paling baik antara mereka adalah yang bertaubat.” (Riwayat al-Tirmizi)

SAHABAT

Diangkat Darjat

Bukan itu sahaja, malah Islam turut mengajar kita untuk memaafkan walaupun mereka tidak meminta maaf. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Maka disebabkan rahmat dari Allah, kamu bersikap lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekeliling kamu. Oleh sebab itu maafkan mereka, mohonlah ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu.” (Surah Ali ‘Imran 3: 159)

Subhanallah. Mampukah kita memaafkan mereka atas kesalahan yang mereka telah lakukan terhadap kita? Namun itulah yang harus kita cuba lakukan kerana setiap perkara daripada Allah itu, ganjarannya pasti lumayan! Namun, saya mengakui ia juga tidak mudah untuk saya lakukan. Sedangkan yang meminta maaf juga sukar kita maafkan, inikan pula yang tidak meminta maaf, semudah itu sahaja kita perlu memaafkan dan melupakan sahaja kesalahan mereka. Astaghfi rullah.

Tetapi itulah proses betapa Allah mahu melembutkan hati kita. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang itu bersedekah, hartanya tidak akan berkurangan, jika seseorang itu memaafkan orang lain, Allah akan memuliakannya, dan jika seseorang itu merendahkan diri demi Allah, Allah akan meningkatkan darjatnya.” (Riwayat Muslim)

Wah, untuk mendapatkan kemuliaan daripada manusia pun sukar, inikan pula daripada Allah. Allahuakbar. Memang rugi jika kita tidak merebut peluang ini. Jom, tidak terujakah kita?

 

 

                     Zarita Hj Kasim

       Sumber artikel daripada Majalah GEN-Q Isu 09

 


 

Zarita Hj Kasim

Merupakan kolumnis di Telaga Biru untuk majalah Gen-Q serta Fellow PPLI di Institute of Islamic Understanding Malaysia (IKIM). Pernah memegang jawatan sebagai pensyarah separuh masa (Media Elektronik) di IIUM serta produser dan DJ di IKIM fm.

 

Kembali ke atas