Menu

 

A+ A A-

KEJUTAN KUDRAT

LAILAHAILALLAH....

Waktu sudah melewati dua pertiga malam. Suntikan kopi Vietnam yang dihadiahkan sahabat masih segar terasa ditekak... nikmat. Sudah beberapa ketika mata menatap skrin komputer menyiapkan kerja. Belum ada tanda-tanda mahu berlabuh mata ini.

Tapi, apa itu? Nun di tepian tikar buluh yang hitam ini, ada seakan kerdipan halus berwarna putih kekuningan. Aku gamit dekat-dekat. subhanallah... semut rupanya. Sedang asyik melarikan sisa biskut yang dimamah anakku tadi, Hebat... diangkat cebisan itu satu-persatu, seragam dalam barisan yang teratur. Ada seekor yang sedikit tercicir ke belakang, mungkin kerana cebisan yang dipikulnya jauh lebih besar, tapi dengan izin Allah, semut kerdil ini mampu memikulnya sendirian.

Mereka tiada berakal, tapi ‘mind set’nya tinggi. Taat setia pada permaisuri (ketua) sedia berkhidmat untuk keluarga. Berusaha tanpa berkira siapa buat kerja lebih, tanpa riyak bangga, tanpa mengharap balasan yang lebih. Antara makhluk yang sentiasa di jalan yang ‘lurus’. Kita juga harus begitu.

‘Mind set’ kita harus tinggi dan sentiasa uji kemampuan kita. Sesungguhnya kekuatan luar biasa datang daripada akal, bukan dari fizikal. Lihat saja adik-adik kita pulang dari sekolah memikul suatu luar kemampuan usia mereka. Haruslah kita miliki sifat ihsan dan rasa belas kasih.

kejutan-kudrat-1

Ketika aku dalam Kelab Kembara zaman sekolah dulu pun Cikgu Cheng ada bagi tips perkemahan, katanya, “Berat beg ‘camping’ jangan melebihi 1/3 daripada berat badan individu.” Manusia bukan macam cimpanzi yang seekor dewasa kudratnya menyamai enam orang manusia dewasa.

Nak ‘spray’ (racun) ke kawanan semut tadi? Semut antara makhluk yang dilarang membunuhnya, tapi ada keharusannya di dalam rumah semata-mata selagi ia mengganggu kehidupan kita – luar rumah tak boleh! insya-Allah, menjelang pagi esok selesailah urusan si semut ini, biarkanlah. Ya Allah, rahmatilah makhluk-Mu, cukupkan kami dengan sedikit daripada nikmat-Mu…. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah s.w.t. mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu (perkara).” (Riwayat Muslim).

M. Shakariza Menhuri
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Gen Q

Terbitan majalah berkualiti daripada Telaga Biru Sdn Bhd. Kolumnis-kolumnisnya mempunyai latar belakang pendidikan Islam yang kuat dan mempunyai keazaman untuk membimbing generasi kini ke arah keredhaan-Nya.

Antara yang menarik – Hikmatun Balighah, kolum yang mendekatkan diri generasi baru dengan al-Quran yang disertai tafsir mudah dan padat. Taman Hadis, kolum untuk memahami isi sesuatu hadis Rasulullah s.a.w. Novel Bersiri, sudut penulisan sastera yang Islamik. Uswah, kolum pelajar cemerlang yang menuntut di luar negara. Tanyalah Cikgu dan Tanyalah Ustaz, soal-jawab tentang psikologi pelajar dan juga kekeliruan dalam bab agama.

Al-Quran dan Sains, kolum tentang rahsia sains yang terkandung dalam al-Quran. Salafus Soleh, kisah sahabat yang boleh dijadikan teladan dalam mengharungi kehidupan seharian. Tip-tip, doa-doa, pengetahuan am, fiqah, amalan harian, tazkirah, motivasi dan pelbagai rencah dan rempah ratus yang mengisi ruang dalam majalah Gen-Q yang menjadikannya sebagai penyebab untuk pembaca memilikinya.

Selain itu, majalah Islamik ini digarap dengan foto serta ilustrasi yang amat menarik, sesuai untuk pembaca memahami sesuatu isu yang diketengahkan. Juga, disusuli penulisan satira dan kartun yang menggeletek hati tetapi mempunyai pengajaran dan manfaat daripadanya. Persembahan reka bentuknya pula menepati cita rasa kini.

 

Dapatkan majalah Gen-Q keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Kembali ke atas