Menu

 

A+ A A-

AKAL MATI?

Bermulanya kelahiran dengan tangisan dan pengakhirannya juga demikian. Lingkaran hidup ini akan berputar sehingga terpisahnya roh dari jasad yang dipinjamkan. Segala-galanya pinjaman. Tiada sesuatu pun milik kita. Namun adakah kita sering beringat bahawa diri yang kita miliki ini sekadar pinjaman yang sampai tempohnya nanti harus dipulangkan semula kepada pemilik hakikinya?

Hakikatnya manusia adalah sebaik-baik ciptaan dalam kalangan makhluk ciptaan-Nya. Diberikan nafsu dan akal untuk berfikir, agar nanti nafsu tidak memandu akal. Akal bertindak memimpin nafsu yang sentiasa melulu dan terburu-buru. Anugerah yang paling agung ialah akal yang dapat menjadikan diri rasa bertuhan. Subhanallah, hebat sungguh anugerah-Mu kepada insan yang sering lalai.

akal-mati-1

Akal menjadi pembeza antara hak dan batil. Akal memandu ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Cuba bayangkan manusia tanpa akal? Sudah tentu dunia tiada pentadbir dan pengurusnya. Mungkin haiwan yang paling kuat akan bertakhta sedangkan kekuatan akal adalah kekuatan yang hakiki. Berpandukan akal, manusia dapat merancang dan mentadbir dunia. Lihatlah betapa besarnya nikmat kurniaan Allah. Manusia tidak akan mampu membayar segala nilaian pinjaman ini walaupun telah menjual seisi dunia.

Alhamdulillah dengan anugerah akal menjadikan insan sentiasa berfikir tentang kehebatan Allah. Segala isi dunia yang diciptakan Allah dapat dinilai menggunakan akal melalui panduan wahyu. Betapa besarnya nikmat ini berbanding makhluk lain yang diciptakan Allah.

akal-mati-2

Anugerah hebat ini mempunyai misi dalam mencari cinta hakiki. Berbekalkan ilmu dan wahyu yang menjadi penyuluh di jalanan suram, selamilah dan nilailah anugerah ini tika insan diberikan otak yang punyai akal fikiran. Jadikan ia untuk mencari kebenaran dan menghancurkan kebatilan agar hidup insan benar-benar dekat dengan Tuhan! Lafaz syukur yang tidak terhingga buat-Mu ya Allah Pencipta yang Maha Agung.

Noorjehan binti Baharudin

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2


Noorjehan binti Baharudin

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Universiti al-Azhar. Mempunyai pengalaman dalam bidang kepimpinan dan perguruan. Pernah terlibat dalam penulisan majalah. Kini berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Agama Nurul Iman di Selangor.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

Artikel berkaitan: « NOTA LEKAT KEJUTAN KUDRAT »
Kembali ke atas