NIKAH ITU INDAH
- Ditulis oleh Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)
- Kategori Perkahwinan
- Read 16251 times
SOALAN : Apakah erti perkahwinan dan hukumnya dalam Islam? Mohon ustaz jelaskan.
JAWAPAN
Perkahwinan menurut bahasa Arab ialah suatu kalimah yang bermakna bersama dan satu ikatan perjanjian (akad). Menurut istilah syariah, pernikahan ialah suatu ikatan yang menjadikan pasangan suami isteri itu (lelaki dan perempuan) halal antara satu sama lain dengan cara yang dibenarkan syarak. Terdapat banyak dalil tentang perkahwinan daripada nas al-Quran dan hadis. Antaranya firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi: dua, tiga atau empat.” (Surah al-Nisa’: 3)
Rasulullah s.a.w. bersabda,maksudnya: “Wahai orang muda, sesiapa antara kamu yang mampu, hendaklah dia berkahwin kerana ia dapat menolong kamu untuk menundukkan pandangan dan menjaga kesuciannya. Sesiapa yang tidak mampu pula hendaklah dia berpuasa kerana puasa dapat mengawal hawa nafsunya. ”(Riwayat al-Bukhari)
Hukum perkahwinan boleh berubah mengikut keadaan seseorang. Penjelasannya sebagaimana berikut:
Wajib: Bagi orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjatuhkannya ke lembah maksiat seperti zina sedangkan dia seorang yang mampu. Mampu di sini bermaksud dia mampu membayar mas kahwin dan memberi nafkah hidup dan perbelanjaan kepada bakal isterinya.
Sunat: Bagi orang yang mampu tetapi dapat mengawal nafsunya.
Harus: Bagi orang yang tidak ada padanya galakan dan bantahan untuk berkahwin. Ini merupakan hukum asal perkahwinan.
Makruh: Bagi orang yang tidak berkemampuan dari segi nafkah batin atau lahir tetapi tidak memberi kemudaratan kepada isteri jika berkahwin sama ada dia seorang kaya atau tiada nafsu yangkuat.
Haram: Bagi orang yang tidak berkemampuan untuk member nafkah batin dan lahir dan dia sendiri tidak berkuasa (lemah), tidak punya keinginan berkahwin serta akan menganiaya isteri jika dia berkahwin.
Promosikan Pernikahan
SOALAN : Kakak saya tidak begitu berminat untuk bernikah walaupun usia semakin meningkat tua. Mohon ustaz terangkan hikmah perkahwinan supaya dapat saya sampaikan kepadanya. Harapnya dia terbuka hati untuk berkahwin.
JAWAPAN :
Perkahwinan itu memang mempunyai banyak hikmah dan rahsia antaranya:
1.Untuk mengekalkan dan meneruskan zuriat manusia di muka bumi ini dan seterusnya meramaikan manusia. Di akhirat nanti, Rasulullah akan berbangga dengan umatnya yang ramai. Sabda Baginda yang bermaksud: “Berkahwinlah kamu dengan wanita yang pengasih dan subur kerana aku akan berbangga dengan jumlah kamu yang ramai. ”(Riwayat Abu Daud)
2.Untuk menjaga kehormatan diri. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Wahai orang muda, sesiapa antara kamu yang mampu, hendaklah dia berkahwin kerana ia dapat menolong kamu untuk menundukkan pandangan dan menjaga kesuciannya. Sesiapa yang tidak mampu pula hendaklah dia berpuasa, kerana puasa dapat mengawal hawa nafsunya.” (Riwayat al-Bukhari)
3.Punca keberkatan rezeki. Firman Allah yang bermaksud: “Dan kahwinilah janda-janda dalam kalangan kamu dan orang-orang yang layak daripada hamba-hambamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaanNya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.”(Surahal-Nur: 32)
4.Membawa kepada ketenangan hidup, kebahagiaan dengan berkasih sayang dan cinta mencintai antara satu sama lain. Firman Allah yang bermaksud: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatnya, Dia menciptakan untuk kamu isteri daripada jenis kamu sendiri. Supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya.
Dan dijadikannya antaramu perasaan kasih saying dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang yang berfikir.” (Surah alRum:21)
5.Untuk menambah kaum kerabat dan menghubungkan silaturahim melalui hubungan perkahwinan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Dia (pula) yang menciptakan manusia daripada air. Lalu Dia jadikan manusia itu mempunyai keturunan dan musaharah (saudara-saudara yang wujud disebabkan perkahwinan seperti menantu, ipar, mentua dan sebagainya).” (Surahal-Furqan: 54) Serta banyak lagi hikmah lain yang tidak sempat disebutkan di sini. Wallahu a‘lam.
Dr. Abdul Basit Abd Rahman
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08
Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)
Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.