Menu

 

A+ A A-

TERUSKAN MERANCANG PUSAKA

SEMEMANGNYA hutang perlu dilunaskan. Semasa hidup, kita mesti berusaha untuk melunaskannya. Andai kata rezeki tidak menyebelahi kita, pendek umur kita kita… maka semasa hidup kita perlu merancang bagaimana waris dapat melunaskan hutang-hutang kita selepas ketiadaan kita.

Antaranya adalah dengan cara mengambil polisi takaful semasa hidup. Kerana persoalan hutang ialah persoalan yang panjang ceritanya. Walaupun kita sudah meninggal dunia, tetapi bahananya masih terasa hingga ke alam barzakh sana.

Rasulullah s.a.w. menegaskan dalam hadisnya yang bermaksud: ‘‘Jiwa seorang Mukmin itu disangkutkan dengan hutangnya sehingga hutangnya dilunaskan.’’ (Riwayat Ahmad, Ibn Hajar dan al-Tirmizi)

Antara langkah kedua untuk mudah kita merancang pusaka ialah semasa hidup kita perlu mengetahui nisbah faraid waris kita. Sebagai contoh saya tunjukkan nisbah faraid waris saya (rujuk jadual).

Capturep

Untuk apa kita perlu tahu nisbah faraid waris-waris kita? Untuk memudahkan pengurusan harta pusaka selepas kematian kita. Dengan cara kita beritahu nisbah faraid kepada waris kita, khususnya orang yang paling dekat dengan kita seperti isteri kita ataupun suami kita.

Sebagai contoh setelah saya tahu nisbah faraid waris-waris saya, maka saya akan beritahu isteri saya kerana dia ialah orang yang paling dekat dengan saya. Selain saya tuliskan nisbah faraid dalam Surat Wasiat Pentadbiran Pusaka, saya juga akan beritahu kepada isteri saya: ‘‘Sayang, kalau abang meninggal dunia nanti, bahagian ayang 1/8 ye. Pastikan bahagian emak dan ayah abang setiap seorang ialah 1/6. Jangan lupa berikan bahagian tersebut kepada mereka ye… Dan selebihnya ialah bahagian anak-anak kita. Anak lelaki dapat dua bahagian dan anak perempuan setiap seorang dapat satu bahagian. Ayang peganglah bahagian mereka… ayang jadi pemegang amanah (trustee) sampailah umur mereka 18 tahun nanti, barulah serahkan pada mereka!’’ Dengan cara ini akan membantu isteri kita menjadi pemegang amanah yang adil dan bertanggungjawab.

Tiba-tiba isteri kita berkata: ‘‘Abang! Kenapa pula bahagian saya cuma 1/8? Anak-anak punya bahagian lebih banyak daripada bahagian saya. Sedangkan nanti saya nak kena jaga mereka?’’

Kita pun bisikan ke telinga si isteri: ‘‘Ayang jangan risau! Memang ikut faraid, bahagian ayang cuma 1/8. Tetapi sebenarnya abang dah rancang nak beri ayang lebih. Abang dah isytiharkan harta sepencarian untuk ayang!’’

Itulah kelebihan kita mengetahui nisbah faraid semasa hidup. Daripada situ kita dapat mengemaskan perancangan pusaka kita. Bukan sekadar kita dapat merancang untuk melunaskan hutang-hutang, bahkan kita boleh mencari jalan agar waris kita mendapat bahagian bukan sekadar mengikut ketentuan. Bahkan nisbah faraid boleh kita gunakan untuk mencetuskan keadilan.

Demi menjamin keadilan dan keharmonian selepas kematian, maka Islam membenarkan kita menggunakan instrumen harta sepencarian sebagai bukti dan menghargai kasih sayang pasangan. Pengorbanan isteri hendaklah diambil kira. Walaupun mereka tinggal di rumah dan tidak keluar bekerja, sebenarnya mereka membantu kita mencari harta.

Buktinya kita boleh bekerja dengan tenang dan tidak perlu risau tentang anak-anak. Ini kerana anak-anak telah diuruskan oleh isteri kita. Segala harta yang kita miliki dapat diurus dan dijaga dengan baik. Segala urusan makan minum kita diurus dan dijaga dengan baik. Begitu juga dengan lain-lain keperluan kita, telah diurus dan dijaga dengan baik oleh isteri kita.

Memang isteri kita tidak menyumbang harta dalam rumah tangga. Tetapi dia memberi sumbangan dalam mengurus dan menjaga harta benda serta kesejahteraan keluarga. Atas dasar itulah, para suami wajar memberikan harta sepencarian kepada para isteri. Harta sepencarian boleh kita berikan kepada isteri dengan cara kita mengisytiharkan satu jumlah daripada harta kepunyaan kita untuk isteri kita semasa kita masih hidup.

Seperti kita nyatakan secara bertulis: ‘‘Dengan ini saya isytiharkan 50% daripada keseluruhan harta yang saya miliki, ialah harta sepencarian kepada isteri saya.” Pernyataan tersebut hendaklah kita buat secara tepat dan sah semasa hidup. Bermakna selepas kematian kita, sebelum harta pusaka kita dibahagikan mengikut faraid. Maka, bahagian harta sepencarian kepada isteri kita akan dikeluarkan terlebih dahulu.

Sekiranya semasa hidup, kita tidak membuat pernyataan yang sah tentang harta sepencarian untuk isteri kita. Maka, isteri kita terpaksa turun naik mahkamah untuk menuntut hak harta sepencarian selepas kematian kita. Di sinilah indahnya Islam dan hebatnya ilmu faraid. Apabila kita tahu bahagian isteri hanya 1/8, daripada situ tercetus idea untuk merancang pusaka.

Mungkin 1/8 untuk seorang isteri tidak mengapa… tetapi bagaimana sekiranya seorang suami beristeri dua, tiga ataupun empat.

Kalau beristeri dua, bermakna isteri-isteri akan berkongsi 1/8 bahagian. Setiap seorang akan dapat 1/16 bahagian.

Kalau beristeri tiga, bermakna isteri-isteri akan berkongsi 1/8 bahagian. Setiap seorang akan dapat 1/24 bahagian.

Kalau beristeri empat, bermakna isteri-isteri akan berkongsi 1/8 bahagian. Setiap seorang akan dapat 1/32 bahagian.

Isteri pertama sudah berkahwin dengan si suami selama 30 tahun mendapat 1/32 bahagian. Tetapi isteri keempat berkahwin dengan si suami baru 3 bulan pun mendapat 1/32 bahagian.

Oleh sebab itulah kita dibolehkan merancang pusaka. Maka untuk isteri yang pertama, kita isytiharkan harta sepencarian atas sekian harta atau 50% daripada keseluruhan harta. Atau seumpamanya…

Bermakna apabila si suami meninggal dunia, sebelum isteri pertama dapat bahagian faraid 1/32, dia akan terlebih dahulu menerima bahagian harta sepencarian sebelum harta pusaka si suami dibahagi-bahagikan.

Maka, kelebihan kita ketahui nisbah faraid semasa hidup, adalah untuk memudahkan kita merancang pusaka. Antaranya kita boleh mengisytiharkan harta sepencarian untuk pasangan kita.

 

Ustaz Md Ghazali Ibrahim 

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5

_______________________________________________________________________

Ustaz Md Ghazali Ibrahim

Beliau memulakan kerjayanya di Pusat Zakat Selangor (MAIS) sejak tahun 1999 hingga 2004. Sekarang ini dikenali sebagai Lembaga Zakat Selangor (LZS). Antara jawatan yang pernah diamanahkan kepada beliau ialah Eksekutif Penyelidikan & Pembangunan Syarie dan Eksekutif Dakwah & Latihan. Beliau mendalami ilmu motivasi dengan beberapa buah syarikat antaranya ialah Fitrah Perkasa Sdn Bhd sekitar tahun 2005 . Sekitar tahun 2006, beliau mendalami ilmu faraidh & runding-pusaka dengan beberapa syarikat. Antaranya ialah Tetuan Jamilah Radzi & Co.

Beliau biasa muncul di kaca TV dalam rancangan Inspirasi Pagi (RTM1), Simfoni Alam (RTM1). Dan pernah beberapa kali muncul dalam rancangan Al Kulliyyah (TV3), Al Hidayah (TV3), Wanita Hari Ini (TV3), Tanyalah Ustaz (TV9) dan Astro Oasis dalam rancangan Khabar Haji & Liga Ilmu.

Sehingga kini beliau aktif memenuhi jemputan ceramah dan motivasi di dewan orang ramai, pejabat, universiti, sekolah, masjid dan surau.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas