Menu

 

A+ A A-

USAH MEREMEHKAN PAHALA MENDERMA DARAH

Hukum Menderma Darah

APA hukum menderma darah?

MUKADIMAH: Tidak terdapat nas al-Quran atau sunnah yang sarih (jelas) mahupun ijmak ulama yang melarang pemindahan darah seseorang manusia kepada manusia yang lain sama ada kedua-duanya menganuti agama yang sama atau berlainan.

RINGKASNYA: Boleh. Bahkan digalakkan menurut syarak.

HURAIAN: Firman Allah s.w.t. dalam al-Quran yang bermaksud:“…dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seseorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” (Surah al-Ma’idah 5: 32)

Berdasarkan mafhum ayat ini, penderma darah ialah orang yang mengutamakan kepentingan orang lain kerana berusaha untuk menyelamatkan seseorang yang amat memerlukan darah. Sikap ini selaras pula dengan kaedah fiqah, “Kepentingan awam mendahului kepentingan peribadi.”

Islam menggesa umatnya sentiasa mengamalkan sikap tolong menolong sesama saudaranya dalam apa jua ruang yang memberi maslahah kepada manusia, baik di dunia mahupun akhirat. Maslahah bermaksud menghasilkan kebaikan dan menolak keburukan. Jika dianalisis, kita akan bersetuju bahawa tindakan menderma darah mengandungi maslahah dari dua aspek:

1. Aspek menghasilkan kebaikan:

Dapat meringankan beban pesakit seterusnya dapat menyelamatkan nyawa pesakit.

2. Aspek menolak keburukan:

Dapat mengelak pesakit menanggung derita yang berpanjangan.

usah-meremehkan-pahala-derma-darah-1

Sedangkan dibolehkan berubat dengan sesuatu yang haram dan najis sekiranya tidak ada ubat yang harus untuk merawat sesuatu penyakit, maka lebih-lebih lagi dibolehkan dalam kes satu-satunya cara menyelamatkan nyawa hanya dengan pemindahan darah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidaklah dijadikan ke atas kamu sebarang kesukaran dalam agama.” (Surah al-Baqarah 2: 286)

Begitu juga ia bertepatan dengan kaedah fiqah “Keadaan darurat mengharuskan perkara yang dilarang.” Islam tidak mengehadkan derma hanya kepada harta sagaja, bahkan diluaskan skop pendermaan ini kepada ilmu, tenaga, buah fikiran dan seumpamanya. Oleh yang demikian, tidak syak lagi menderma darah dapat dikategorikan sebagai mengorbankan diri demi kepentingan orang lain seperti firman Allah yang bermaksud: “… dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat.” (Surah al-Hashr 59: 9)

TAMBAHAN: Bagaimanapun, keharusan perbuatan menderma darah wajib memenuhi syarat berikut:

1. Tidak mendatangkan kemudaratan kepada penderma darah.

2. Pemindahan darah itu pada had darurah dan qadar yang diperlukan sahaja. (Fatawa Syar›iyyah wa Buhuth Islamiyyah, Sheikh Hasanain Muhammad al-Makhluf, jil. 2, ms. 164)

Derma Darah Kepada Bukan Islam

Saya sudah beberapa kali menderma darah, namun saya kerap juga memikirkan tentang orang yang akan menerima darah saya sama ada Muslim atau tidak. Bolehkah darah orang Islam digunakan untuk pesakit bukan Islam?

RINGKASNYA: Boleh.

HURAIAN: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-4 yang bersidang pada 13-14 April 1982 memutuskan bahawa:

1. Menderma darah hukumnya harus.

2. Tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada darah orang bukan Islam.

3. Penghargaan dalam bentuk bayaran kepada penderma darah adalah tidak digalakkan (Portal e-fatwa islam.gov.my)

usah-meremehkan-pahala-derma-darah-2

Wuduk Si Penderma Darah

Semalam ada sesi menderma darah dibuat di masjid kami. Saya pun turut menderma darah selepas solat Asar. Cuma saya terfikir, adakah batal wuduk saya?

Tidak batal. Jumhur ulama berpendapat bahawa mengeluarkan darah dari badan sekalipun dalam kuantiti yang banyak tidak membatalkan wuduk.

Puasa Si Penderma Darah

Jika saya berpuasa, adakah batal puasa sekiranya ingin menderma darah?

Tidak batal menurut jumhur ulama. Antara hujah mereka:

1. Darah dikeluarkan bukan melalui rongga yang terbuka.

2. Mengeluarkan darah dari anggota badan juga sama dengan keluar sesuatu dari

tubuh badan seperti air kencing, najis, meludah air liur dan sebagainya.

3. Hukumnya makruh pada asalnya, tetapi sekiranya diperlukan untuk rawatan bagi orang yang memerlukan, maka hukumnya bertukar kepada harus bahkan boleh menjadi wajib.

4. Sekiranya menderma darah pada waktu siang hari menyebabkan penderma keletihan sehingga menjejaskan ibadah puasa penderma, maka disyorkan menderma pada waktu malam.

Penerima Darah Orang Berpuasa

Adakah batal puasa bagi orang yang menerima darah?

Tidak batal. Ini menurut pendapat rajih (lebih tepat dan kuat) pada pandangan saya. Ini kerana darah yang dimasukkan ke dalam badan tidak sama dengan makanan. Makanan masuk ke dalam perut serta mengenyangkan, manakala darah pula menyerap masuk ke seluruh badan.

RUMUSAN AKHIR: Sama-sama kita menyahut kempen menderma darah bagi meraih pahala daripada Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Berlumba-lumbalah dalam melakukan kebaikan.” (Surah al-Ma’idah 5: 48)

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, 2004. Mendapat Sijil Kemahiran Fatwa, Darul Ifta’ Mesir, 2008. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir, Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Kini sebagai Pegawai Perhubungan Korporat dan Penasihat Syariah Pelima Media Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas