Menu

 

A+ A A-

MUSAFIR: UNIVERSITI DALAM PENGEMBARAAN

JAUH berjalan luas pemandangan. Sememangnya setiap perjalanan atau pengembaraan dapat mencambahkan ilmu pengetahuan kita. Perspektif kita pula lebih luas dan matang. Peluang berinteraksi dengan bangsa-bangsa asing yang pelbagai, memberikan kesempatan untuk mengenali dan memahami budaya berbeza dan memupuk sikap toleransi yang tinggi.

Di kesempatan sesebuah pengembaraan itu sebenarnya adalah universiti bagi kita. Apakan tidak, di situlah kita mempelajari dan mempraktikkan ilmu, baik dalam ibadah mahupun pengetahuan am. Walau apapun, dengan disedari, kita perlu memahami asas sesebuah perjalanan itu.

HUKUM PERJALANAN

Perjalanan yang diharamkan:

Perjalanan untuk melakukan perkara yang dilarang Allah s.w.t. Antara perjalanan yang haram adalah perjalanan untuk melakukan maksiat, menyaksikan konsert hiburan yang melibatkan percampuran lelaki dan perempuan, atau berurusan dengan pihak yang melalaikan, atau perjalanan untuk melakukan kerosakan ke atas diri manusia, harta benda atau maruah.

Begitu juga perjalanan yang boleh menimbulkan fitnah seperti seorang perempuan bermusafir tanpa mahram atau memakai pakaian yang tidak menutup aurat yang mendedahkannya kepada anggapan serong orang ramai.

Perjalanan yang wajib:

Perjalanan yang dilakukan semata-mata memenuhi tuntutan agama seperti menuntut ilmu, menunaikan haji atau umrah di Makkah, atau berjihad di jalan Allah.

Perjalanan yang disunatkan:

Perjalanan untuk mengerjakan ibadah-ibadah sunat seperti umrah atau haji untuk kali kedua, atau berjihad di tempat yang tidak diwajibkannya berjihad seperti berperang melawan penjajahan negara Islam lain.

Perjalanan yang mubah (harus):

Perjalanan untuk mengerjakan sesuatu yang dibenarkan dalam Islam. Antaranya perjalanan untuk menguruskan perniagaan, bercuti ke tempat-tempat peranginan yang baik, menziarahi sanak saudara dan rakan taulan untuk mengeratkan silaturahim.

Perjalanan yang dimakruhkan:

Perjalanan yang dilakukan seorang diri melainkan untuk perkara-perkara yang mendesak. Ini kerana Rasulullah s.a.w. tidak menggalakkan seorang itu bermusafir sendirian, sebagaimana sabdanya dalam riwayat al-Bukhari yang bermaksud: “Seandainya mereka mengetahui apa yang ada pada berjalan sendirian yang saya ketahui pasti tidak ada siapa pun yang akan berjalan seorang diri pada waktu malam.”…

musafir-universiti-1

ADAB-ADAB MUSAFIR

Mencari teman yang beriman untuk bersama dalam perjalanan

Teman yang baik akan mengingatkan kita apabila tersasar dan sesat, di samping menghindari kita daripada melangkah ke tempat-tempat yang tidak baik.

Mengucapkan selamat tinggal

Perbuatan ini sebenarnya mengeratkan lagi tali persaudaraan dan persahabatan dengan golongan yang sangat penting dalam hidup kita. Selain itu, pohonlah doa untuk mereka, juga disunatkan untuk kita berwasiat dengan pesanan takwa dan iman.

Memulakan perjalanan dengan doa

Memulakan perjalanan dengan berdoa kepada Allah ketika keluar rumah. Doa riwayat Abu Daud yang bermaksud: “Dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada tersesat atau disesatkan, atau tergelincir atau digelincirkan, daripada menzalimi atau dizalimi, atau bodoh atau diperbodohkan.”

Membaca doa safar ketika menaiki kenderaan

Disunatkan membaca ketika menaiki kereta, motosikal, bas, kapal terbang, kapal laut atau apa saja pengangkutan sama ada dekat atau jauh: “Allahu akbar. Allahu akbar. Allahu akbar. Maha Suci Allah yang menguasainya untuk kami sedangkan kami tidak mampu melakukannya. Hanya kepada Allah kami akan kembali.”

Membawa teman dan tidak musafir sendirian

Digalakkan untuk membawa teman, sekurang-kurangnya dua orang. Sabda Rasulullah daripada riwayat al-Tirmizi yang bermaksud: “Pengembara berseorangan akan terpengaruh dengan syaitan. Dua orang pengembara juga akan terpengaruh dengan syaitan. Tetapi tiga orang pengembara akan selamat.”

Wallahualam.  


Generasi Al-Quran
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2


Gen Q

Terbitan majalah berkualiti daripada Telaga Biru Sdn Bhd. Kolumnis-kolumnisnya mempunyai latar belakang pendidikan Islam yang kuat dan mempunyai keazaman untuk membimbing generasi kini ke arah keredhaan-Nya.

Antara yang menarik – Hikmatun Balighah, kolum yang mendekatkan diri generasi baru dengan al-Quran yang disertai tafsir mudah dan padat. Taman Hadis, kolum untuk memahami isi sesuatu hadis Rasulullah s.a.w. Novel Bersiri, sudut penulisan sastera yang Islamik. Uswah, kolum pelajar cemerlang yang menuntut di luar negara. Tanyalah Cikgu dan Tanyalah Ustaz, soal-jawab tentang psikologi pelajar dan juga kekeliruan dalam bab agama.

Al-Quran dan Sains, kolum tentang rahsia sains yang terkandung dalam al-Quran. Salafus Soleh, kisah sahabat yang boleh dijadikan teladan dalam mengharungi kehidupan seharian. Tip-tip, doa-doa, pengetahuan am, fiqah, amalan harian, tazkirah, motivasi dan pelbagai rencah dan rempah ratus yang mengisi ruang dalam majalah Gen-Q yang menjadikannya sebagai penyebab untuk pembaca memilikinya.

Selain itu, majalah Islamik ini digarap dengan foto serta ilustrasi yang amat menarik, sesuai untuk pembaca memahami sesuatu isu yang diketengahkan. Juga, disusuli penulisan satira dan kartun yang menggeletek hati tetapi mempunyai pengajaran dan manfaat daripadanya. Persembahan reka bentuknya pula menepati cita rasa kini.

 

Dapatkan majalah Gen-Q keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Kembali ke atas