Menu

 

A+ A A-

KALAHKAN MUSUH BATINMU!

Orang Mukmin sentiasa diancam oleh lima musuhnya. Musuh-musuh itu ialah hawa nafsu, syaitan, orang kafir, orang munafik dan orang Islam yang hasad dengki. Kelima-lima musuh ini boleh dibahagikan kepada dua: musuh lahir dan musuh batin.

Musuh batin tidak kelihatan, serangannya dari dalam dan tipu dayanya sangat maknawi. Tipu daya nafsu dan syaitan sangat tersembunyi. Ia sangat sukar dikesan jika seseorang tidak mempunyai ilmu, didikan guru yang ikhlas dan kekuatan mujahadah yang tinggi.

Paling Berbahaya Tetapi Paling Dicintai

Nafsu, misalnya adalah sangat berbahaya sehingga dikatakan: “Musuh yang sangat berbahaya ialah nafsu yang di dada kamu.”

Nafsu ialah musuh yang paling sukar ditangani. Ini kerana ia bukan sahaja berada dalam diri kita sendiri bahkan adalah “diri” kita sendiri. Nafsu itu sebahagian daripada diri kita yang sentiasa hendak merosakkan diri kita sendiri.

Dalam al-Quran, Allah mengingatkan bahawa nafsu itu, jika tidak dikawal akan sentiasa mengajak kepada kejahatan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.” (Surah Yusuf: 53).

Ya, sukarnya menghadapi nafsu kerana ia adalah sebahagian diri kita sendiri. Jika musuh dalam selimut pun sudah bahaya, apatah lagi jika musuh sudah berada dalam diri?

Bahkan nafsu itu juga ialah musuh yang sangat kita cintai. Bayangkan perbuatan-perbuatan yang disukai nafsu seperti banyak makan, banyak cakap, banyak tidur, suka berhibur keterlaluan dan lain-lain lagi semuanya dicintai oleh diri kita.

Apabila Nafsu dan Syaitan Bergandingan

Begitu juga dengan syaitan. Tipu dayanya sangat licik. Bayangkan berapa ramai mujahid, ulama, dan orang kaya yang tertipu apabila segala yang dilakukannya tertolak dan tidak dikira amal soleh kerana tidak ikhlas.

Siapa di sebalik kegagalan ini jika bukan hasutan syaitan dan tipu daya nafsu? Syaitan sentiasa kreatif, inovatif dan konsisten untuk menyesatkan manusia. Dia ialah musuh yang tidak pernah tidur. Dia sentiasa siap siaga (siap sedia) dan tidak putus asa untuk merosakkan hati dan amalan umat Islam.

Hawa nafsu dan syaitan ialah musuh batin yang saling bekerjasama untuk menewaskan manusia dalam perjuangan menjadi hamba Allah sejati. Perang yang dilancarkan oleh kedua-dua musuh ini tidak pernah reda dan tidak akan ada gencatan senjata. Setiap masa, satu demi satu, ada sahaja taktik dan strateginya untuk menipu daya.

Yang alpa, digesanya agar tidak mengerjakan solat. Yang ingat, dilalaikannya pula ketika mengerjakan solat. Yang selesai mengerjakan solat, dihasut pula untuk ujub dan sum‘ah. Yang muda, ditipu dengan hasutan: “Masa masih ada”. Yang tua, disuntik rasa kecewa dan putus asa kerana sudah kesuntukan masa!

Peperangan Dalam Peperangan

Lihat pengajaran di medan Uhud. Bagaimana ketika tentera musyrikin hampir tewas, pasukan pemanah tentera Islam di bukit Rumat turun meninggalkan tempat strategic untuk mengambil harta rampasan. Akhirnya, tentera Islam diserang dari belakang dan mereka tewas. Bayangkan pula berapa ramai tentera Talut yang disaring oleh ujian demi ujian dan akhirnya bilangan mereka menjadi sedikit sahaja ketika bertembung dengan tentera Jalut.

Justeru, Sayidina Umar pernah mengingatkan jeneral perangnya Saad Ibn Waqqas agar berhati-hati dengan dosa. Jangan sampai tentera Islam (kerana bujukan nafsu dan hasutan syaitan) melakukan dosa. Ini kerana hakikatnya tentera Islam diberi kemenangan terhadap tentera musuh kerana mereka menahan diri daripada melakukan dosa. Namun sekiranya tentera Islam banyak melakukan dosa, kemenangan akan berpihak kepada tentera musuh yang lebih ampuh kekuatan senjata dan ramai pula bilangannya.

“Kalahkan musuh batinmu, nescaya akan mudah kau mengalahkan musuh lahirmu!”

Itulah kalimah yang diajar oleh sejarah perjuangan Islam sejak dahulu. Ini resepi kejayaan para sahabat Rasulullah, Sultan Salehuddin al-Ayubi dan Sultan Muhammad al-Fateh. Mereka mengalahkan musuh batin mereka bukan sahaja dengan menunaikan amalan-amalan wajib, bahkan dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Bacalah sejarah hidup mereka, bagaimana mereka bangun malam (qiamullail), membaca al-Quran, berpuasa sunat, bersedekah dan lain-lain.

Bendera Musuh dan Selimut Subuh

Namun kini malang sekali. Umat Islam kononnya sibuk menghadapi musuh lahirnya dengan hati dan diri yang masih dibelenggu oleh musuh batinnya. Berteriak dan bertempik serta mengutuk dan mengejek dengan jiwa yang masih jelas terjajah oleh hawa nafsu dan syaitan.

Marah ketika Nabi Muhammad dipersendakan, tanpa menyedari bahawa dengan mengamalkan cara hidup yang tidak Islamik, kita juga hakikatnya sedang “mempersendakan” sunnah Rasulullah dan syariat Allah.

Bayangkan betapa kini solat lima waktu telah dipinggirkan. Penutupan aurat masih diabaikan. Mungkin ada yang menganggap ini soal remeh, tetapi remehkah apabila sesuatu perkara itu dipentingkan oleh Rasulullah sendiri?

Solat itu tiang agama. Begitu maksud hadis. Pakaian menutup aurat itu merupakan pakaian isteri-isteri dan anak-anak perempuan Nabi yang diwajibkan untuk muslimah.

Sebaliknya, lihat pula betapa perbuatan fitnah memfitnah, umpat mengumpat, caci mencaci, rasuah, pembaziran, pergaulan bebas, hiburan yang melalaikan, semacam sudah menjadi budaya dalam masyarakat Islam sendiri.

Musuh kita kecam, tetapi cara hidup mereka kita amalkan. Nabi Muhammad kita sanjung, tetapi sunnahnya kita pinggirkan. Jika demikian, benarkah kita cintakan Rasulullah? Cinta itu tindakan (verb) bukan kata-kata (word). Tidak salah menunjukkan kemarahan dan kebencian menerusi kecaman dan tunjuk perasaan apabila Rasulullah dicaci, tetapi menegakkan sunnah sebagai membuktikan kecintaan terhadap baginda jauh lebih utama.

Apa gunanya jika kita hanya berani membakar bendera musuh, tetapi tidak berdaya mengangkat selimut untuk mendirikan solat Subuh! Sedangkan cara yang sebaik-baiknya untuk menunjukkan kebencian terhadap musuh Islam adalah dengan membuktikan kecintaan terhadap musuh kepada musuh Islam. Siapa lagi yang paling dimusuhi oleh musuh Islam jika bukan Rasulullah?

Jika ditanyakan mengapa semua ini terjadi? Sebab umat Islam masih tewas di tangan musuh batinnya! Belajarlah kata-kata hikmah seperti yang diucapkan oleh seorang tabiin bernama Ibrahim bin Abi Ablah iaitu, “Kita pulang dari jihad yang kecil (menghadapi musuh lahir) untuk menuju jihad yang besar (menghadapi musuh batin).”

Pahrol Mohamad Juoi

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas