Menu

 

A+ A A-

JANGAN TAKUT

SUDAH lumrah dalam hidup ini, kita terpaksa hadapi perkara yang tidak kita inginkan. Kita tidak mampu mengawal semua yang berlaku agar sentiasa cocok dengan keinginan dan kemampuan kita. Justeru, selalu berlaku perkara-perkara yang kita sendiri tidak inginkan berlaku. Lantas kita akan mengalami ketakutan seperti takut sakit, takut gagal, takut dicerca orang dan berbagai-bagai lagi rasa takut.

Kita tidak boleh lari daripada hakikat hidup ini. Rasa takut adalah realiti dan basahan dalam hidup yang terpaksa kita hadapi. Soalnya, bagaimana kita dapat menangani ketakutan itu dengan cara yang sebaik-baiknya? Hingga dengan itu bukan sahaja kita dapat mengatasinya, malah dapat memanfaatkannya untuk terus mencapai kejayaan.

Tegasnya, apa perlu dilakukan agar kita berani menghadapi ketakutan? Mari kita usahakan untuk menukar ketakutan kepada keberanian dan memanfaatkannya sebagai pelajaran untuk menambah kematangan dan pengalaman menghadapi hidup. Berikut adalah antara beberapa perkara yang harus kita sedari tentang ketakutan:

Kita bukan keseorangan

Jika kita sedang menghadapi ketakutan atas apa jua sebab dan keadaannya, percayalah kita bukan keseorangan. Semua manusia di atas muka bumi ini mengalami perkara yang sama. Bahkan tokoh-tokoh besar pun pernah mengalami rasa takut dalam hidup. Sayidina Abu Bakar al-Siddiq pernah merasa takut ketika berada di dalam gua Thur, lalu dia diingatkan oleh Rasulullah, ”jangan takut, Allah bersama kita.” Julius Ceaser, seorang penakluk tersohor, takut dengan halilintar. Sesetengah “orang besar” takut pada perkara-perkara yang kecil seperti takutkan lipas, kegelapan, ketinggian dan sebagainya. Jadi, apa hendak ditakutkan sangat? Kerana semua orang pun merasa takut juga.

Jangan cuba lari, hadapi ketakutan itu

Namun tidak cukup setakat itu sahaja. Kita mesti naik setingkat lagi, yakni bagaimana kita menghadapi dan menangani rasa takut itu. Ini membezakan antara orang “besar” dan orang “kecil” walaupun sama-sama mengalami ketakutan. Bagi orang “kecil” ketakutan menyekat dan menghalang mereka daripada bertindak. Apabila takut, mereka menghindar dan cuba lari daripadanya. Mereka bertangguh.

Tidak mahu bertindak kerana takut menanggung risiko. Lebih banyak rasa takut, lebih lama mereka bertangguh, pasif dan berdiam diri. Jika itulah tindakan kita, ertinya ketakutan itu telah berjaya menakluki kita. Tidak bertindak dan bertangguh-tangguh menyebabkan kita hilang pengalaman dalam menghadapi kegagalan, kesakitan dan perkara-perkara yang tidak kita ingini. Sedangkan pengalaman ini sangat penting. Apabila kita kurang pengalaman akibat tidak bertindak menghadapi ketakutan, kita akan terus “jahil” terus tidak tahu bagaimana hendak mengatasi ketakutan dalam hidup. Dan ini menyebabkan timbulnya satu demi satu lagi ketakutan dalam hidup. Ingat, manusia memusuhi apa yang tidak diketahuinya, justeru apabila banyak yang kita tidak tahu, semakin banyak musuh kita. Semakin banyak musuh kita, semakin banyak yang kita takuti dalam hidup.

Jangan berdiam diri atau bertangguh, bertindak segera

Justeru apabila berdepan dengan ketakutan, jangan sekali-kali berdiam diri. Jangan takut menanggung risiko akibat bertindak. Kajian pakar psikologi menunjukkan bahawa risiko tidak bertindak apabila menghadapi ketakutan lebih besar berbanding risiko jika kita mengambil tindakan. Memang, mungkin kita terdedah untuk tersalah kerana mengambil tindakan ini, tetapi itu tidak mengapa selama mana kita mendapat pengajaran dan ilmu daripadanya, berbanding jika kita tidak berbuat apa-apa sudah pasti kita tidak akan mendapat apa-apa!

Oleh kerana itulah orang yang berjaya dalam hidup selalunya tidak menamakan “kegagalan” sebagai satu kegagalan selepas mengambil sesuatu tindakan, sebaliknya mereka menamakannya sebagai “maklum balas” yang kemudiannya diterjemahkan sebagai ilmu dan pengalaman. Percayalah, tindakan kita menghadapi ketakutan dalam hidup, akan memutuskan rantai-rantai yang membelenggu kemajuan kita dalam penjara ketakutan itu. Putuskan rantai itu dengan bertindak supaya ketakutan yang sama tidak akan kita hadapi berulang-ulang, satu demi satu dalam episod hidup yang terus mendatang.

TIGA GOLONGAN

Baiklah, dalam berdepan dengan rasa takut, umumnya manusia terbahagi kepada tiga golongan. Mari kita lihat kita dalam golongan yang mana?

1. Orang yang lari dan menghindarkan diri

Mereka ini cuba sedaya upaya mungkin untuk lari daripada rasa takut dengan mengelakkan daripada tempat, manusia, peristiwa dan keadaan yang boleh mendedahkan mereka kepada rasa itu. Mereka adalah golongan yang rugi. Kenapa? Kerana lari daripada situasi-situasi yang mereka takuti merencatkan pertumbuhan dan kemajuan hidup mereka sendiri. Mereka ingin terus berada dalam “zon selesa” tanpa cabaran dan dugaan yang boleh mendedahkan mereka kepada rasa ketakutan. Sedangkan untuk berjaya, mereka perlu “hijrah” dari zon selesa ke zon mencabar, yang penuh dugaan dan cabaran walaupun risiko ketakutan sentiasa menanti. Di zon mencabar itulah letaknya kejayaan dan perkembangan dalam hidup. Ya, bagaimana agaknya tumbesaran seorang kanak-kanak yang mahu terus merangkak, tidak mahu belajar berjalan hanya kerana takut jatuh? Keadaan yang sama berlaku dalam hidup ini. Ramai orang yang terus “merangkak” dalam kerjaya, akhlak dan pencapaian dalam hidup kerana menghindarkan diri daripada rasa takut!

2. Orang yang pasrah dan menyerah

Golongan ini pasrah sahaja kepada rasa takut. Oleh kerana mereka yakin, takut adalah basahan dalam hidup, maka terimalah sahaja. Apa boleh buat. Mereka membina harapan kosong, mudah-mudahan ketakutan itu akan berlalu dan hidup pulih kembali seperti biasa. Ya, benar ketakutan itu akan berlalu. Tetapi ketakutan lain pula yang akan bertandang. Ketakutan yang datang daripada keadaan, manusia atau situasi yang kita hadapi hakikatnya daripada Allah jua. Tuhan mendatangkan ketakutan bukan untuk mendera tetapi supaya kita belajar daripadanya. Jadi, apakah kita sudah belajar daripada rasa takut kita? Jika belum, Tuhan akan mendatangkan ketakutan yang serupa berkali-kali (mungkin melalui keadaan, peristiwa dan manusia yang lain) kerana kita belum “lulus” dalam pelajaran tersebut. Sikap pasrah tanpa cuba belajar untuk menangani ketakutan bukanlah sikap terpuji. Pasrah secara membuta tuli seperti itu bukan bererti tabah. Ketabahan sebenar adalah apabila kita hadapi semuanya dengan tenang sekali gus belajar agar ketakutan yang sama tidak berulang.

3.Orang yang bijak dan sabar

Mereka ini bukan sahaja sabar tetapi bijak menangani ketakutan. Mereka menerima ketakutan dengan sabar, dan cuba menanganinya dengan mengambil tindakan dengan penuh kebijaksanaan. Kita ingin menjadi golongan yang ketiga ini. Baiklah, kita ingin menjadi golongan yang ketiga, yakni mereka yang bijak dan sabar dalam menghadapi ketakutan. Untuk itu berikut adalah beberapa panduan bagaimana untuk menangani rasa takut dengan penuh kebijaksanaan dan kesabaran.

pasrah

Mengetahui dan mengkaji fakta tentang sumber rasa takut

Menurut kajian pakar-pakar psikologi dan agama,kebanyakan rasa takut tidak mempunyai asas dan fakta yang jelas. ertinya, kebanyakan rasa takut yang dihadapi oleh manusia bukanlah sesuatu yang sebenar, tetapi sesuatu yang diandai-andaikan. Ia tidak berpijak kepada akal yang rasional sebaliknya “terawang-awang” dalam rasa yang emosional. 60% daripada perkara-perkara yang kita takuti dalam hidup adalah dalam kategori andaian, persepsi dan tanggapan yang tidak berasas. Lalu, apakah gunanya kita membuang masa dan tenaga untuk merasa takut kepada sesuatu yang tidak benar sama-sekali? Percayakah anda, bahawa ramai orang yang sihat sudah pun merasa takut mereka akan jatuh sakit!

Pakar-pakar juga menjelaskan bahawa 20% daripada perkara-perkara yang kita takuti ialah akibat daripada perkara atau peristiwa yang telah berlalu. Masa silam yang kelam, tragedi masa lalu, insiden tahun lalu yang menyedihkan, latar belakang keluarga yang kucar-kacir, penderaan pada zaman kanak-kanak. Kekadang semua ini terus ditakuti sedangkan segalanya sudah berlalu. Peristiwa itu memang pernah menyakitkan kita sekali, tetapi usah benarkan ia menyakitkan kita berulang-ulang kali dengan mengingati dan mengenangkannya. Ia sudah berada di luar kawalan kita. Kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi terhadap apa yang berlalu. Jadi mengapa kita harus membuang masa dan tenaga untuk merasa takut lagi kepadanya?

Manakala 10% baki ketakutan kita adalah bersumberkan perkara yang remeh-temeh. Yakni perkara yang sepatutnya tidak kita takuti langsung. Maksudnya, sama ada kita takut atau tidak perkara, peristiwa atau individu yang menjadi sumber ketakutan jenis ini tidak memberi impak langsung kepada kehidupan kita. Kita boleh bergerak ke hadapan tanpa berpaling sekalipun kepadanya. Ia umpama habuk-habuk atau kain buruk dalam perjalanan hidup kita, apa perlunya kita membuang masa ’membesarkan’ perkara-perkara kecil ini sedangkan kita ada perkara-perkara yang lebih besar untuk dihadapi? Belajarlah tersenyum, pada perkara-perkara yang remeh dan terimalah ketidaksempurnaan sebagai suatu yang “biasa-biasa” sahaja dalam hidup. Jadi, baki ketakutan kita hanya tinggal 10% sahaja. Berita baiknya lagi, kajian juga menunjukkan daripada baki 10% ketakutan itu, hanya 45% sahaja yang benar-benar perlu ditakuti dan dihadapi. Jadi di sinilah seharusnya tenaga dan masa kita seharusnya difokuskan (bukan pada 95% ketakutan sebelumnya).

Tegasnya, inilah ketakutan yang “berbaloi” untuk kita tangani dalam erti kata sebenar. Cuba bayangkan betapa ruginya hidup seseorang yang selama ini terbelenggu dalam lingkungan 95% ketakutan yang tidak seharusnya dia fikirkan, kenangkan, apalagi untuk dihadapi. Sesetengah orang tidak pernah tidur nyenyak pada setiap malam bertahun-tahun lamanya, hanya kerana takut “kalau-kalau”ada perompak akan memecah masuk ke dalam rumahnya. Lucunya, ada pula ibu bapa yang tidak pernah senang duduk, sejak anaknya dihantar belajar ke sekolah berasrama penuh, takut-takut anaknya tidak makan dengan kenyang. Itu belum dikira lagi betapa ramainya isteri yang sentiasa resah setiap kali menunggu suaminya pulang dari kerja kerana takut suaminya mendapat kemalangan dalam perjalanan.

kata2

Kata bijak pandai, takut umpama “bunga” (interest) yang kita bayar untuk sesuatu yang tidak pernah kita hutang. Tidak banyak sebab yang seharusnya membuat kita selalu merasa takut. Dan jika kita masih mempunyai banyak sebab, itu petanda sesuatu yang salah sedang berlaku dalam fikiran dan perasaan kita sendiri. Jika demikian, diri kitalah yang sepatutnya lebih kita takuti kerana “membenarkan” segala ketakutan menakutkan kita. Hasil daripada menganalisis sumber rasa takut kita (dengan membandingkan dengan fakta yang dikemukakan oleh para pakar), kita mengetahui di mana diri kita dalam menghadapi rasa takut ini. Jika kita takutkan perkara yang tidak berasas, itu bermakna kita membiarkan diri kita dalam kebodohan. Umpama cuba memegang bayang-bayang, Kita mesti menghentikannya segera. Jika ketakutan kita pada perkara-perkara yang lepas, bergeraklah ke hadapan. Kita tidak boleh menggergaji habuk kayu.

Yang lepas, tidak akan berubah lagi. Apa yang lebih penting adalah ubahlah diri kita kerana itu sahaja yang akan mengubah tanggapan atau perasaan kita pada perkara-perkara yang lalu. Dan satu cara untuk mengubah tanggapan kita adalah dengan menyoal, apakah yang telah kita pelajari hasil ketakutan yang telah berlalu itu? Manakala, jika kita dapati banyak daripada rasa takut itu bersumberkan perkara yang remeh-temeh, maka tanyakan diri kita apakah kita mahu terus menjadi “orang kecil” yang rela untuk terus dibelenggu oleh ketakutan-ketakutan kecil? Ingat, besar atau kecilnya kejayaan dalam hidup kita ditentukan oleh besar atau kecilnya ketakutan yang selalu kita hadapi. sebaiknya, fokuskan diri kita kepada perkara-perkara yang penting dan bermakna dalam hidup, nescaya secara automatik ketakutan-ketakutan yang kita hadapi juga akan menjadi lebih kecil.¤

 

Pahrol Mohd Juoi

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2


 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas