Menu

 

A+ A A-

TELEFON BIMBIT MANFAATKAN SEBAIKNYA

Tidak dinafikan telefon bimbit memang memudahkan kita berhubung antara satu sama lain. Berbeza dengan zaman nenek semasa muda-muda dulu. Kala itu ada sebuah dua rumah sahaja yang ada telefon, iaitu rumah Tok Penghulu.

Kalau hendak menelefon daripada asrama misalnya, terpaksalah meminta jasa baik anak Tok Penghulu memanggil ibu. Rumah nenek pula jauh juga daripada rumah Tok Penghulu. Begitu payahnya hendak menelefon ibu. Itu pun nenek lakukan atas urusan yang sangat penting.

Berbeza keadaan sekarang, hampir semua orang, sama ada tua atau muda, sudah mampu memiliki telefon bimbit. Ke mana sahaja kita berada, kita boleh hubungi siap sahaja, dan di mana jua. Begitu mudah. Ditambah pula kemudahan SMS, pengiriman e-mel, kamera dan sebagainya.

Namun apakah kemudahan telefon ini benar-benar kita manfaatkan? Apakah asal tujuan alat ini dimiliki untuk merapatkanpersaudaraan benar-benar dilaksanakan atau disalahgunakan.

Cucu-cucu yang dikasihi,

Memang benar telefon bimbit menjadi satu keperluan masa kini. Namun perlu diingat bahawa secanggih-canggih teknologi tidak akan berguna jika manusia yang mengawal teknologi itu tidak canggih.

Siapa mereka? Iaitu manusia yang dihinggapi penyakit ego, malas, kedekut dan lain-lain lagi. Dan di tangan manusia yang sebegini, tidak ada gunanya alat perhubungan walau secanggih mana sekalipun.

Katalah, seorang individu itu telah ditimpa penyakit kedekut. Dia tidak akan menghubungi kawannya kerana takut membayar bil yang tinggi. Pada mereka ini nilai wang lebih tinggi daripada nilai persahabatan.

Begitu juga seseorang yang ego, dia akan menanti orang lain menghubunginya, bukan dia yang menghubungi orang lain. Dia merasakan kedudukannya lebih tinggi maka dia layak dihubungi. Dia sukar ‘memberi’, sebaliknya hanya menanti untuk ‘menerima’. Sikap yang begini bertentangan dengan prinsip asas perhubungan iaitu, “untuk menerima kita perlu terlebih dahulu memberi”. Maka untuk mendapat panggilan, kita terlebih dahulu mestilah membuat panggilan.

SOLUSI 8 - 107

Anak-anak Terdedah Gejala Buruk

Nenek ingin menegaskan, Teknologi telefon bimbit ini adalah alat. Alat walaupun penting tetapi tidaklah sepenting manusia yang “memperalatkannya. Lebih-lebih lagi jika manusia itu baru setahun jagung hidupnya. Atau baru menjadi remaja yang masih tercari-cari identiti sendiri.

Nenek kesal melihat remaja kini dalam menguruskan masa. Mereka lebih mengutamakan atau meluangkan banyak masa untuk menjawab SMS daripada masa belajar. Pernah seorang ibu tergerak hati untuk melihat telefon bimbit anak lelakinya yangbelajar di sekolah menengah. Apa yang memeranjatkan si ibu, banyak perbualan bentuk SMS mengandungi kata-kata lucah dan tidak bermoral.

Begitu juga beberapa video klip lakonan remaja sekolah melakukan hubungan intim terdapat dalam telefon bimbit anaknya. Apalagi, si ibu mengurut dada mengucap panjang. Semenjak hari itu, anak tidak dibenarkan memakai telefon kecuali jika membuat lawatan sekolah.

Sebenarnya ramai remaja yang terdedah kepada SMS dan video klip yang tidak bermoral ini. Hal ini demikian kerana ia mudah didapati dan mudah dimuat turunkan, tinggal kita mahu tak mahu sahaja. Namun kesannya amat besar pada masa hadapan anak-anak. Pada pandangan nenek, biar anak-anak tak ada telefon bimbit daripada ada. Banyak buruk daripada baiknya. Ada telefon, tetapi tidak kerap hubungi ibu ayah. Sebaliknya duit habis kerana hubungi kawan sana-sini. Ibu bapa terbeban dengan bil-bil yang banyak.

Suami Isteri Terdedah Fitnah

Nenek juga ada mendengar para suami atau isteri yang menyalahgunakan SMS. Ada antara suami yang senang berbual melalui SMS dengan anak dara atau isteri orang. Asalnya mengirim SMS atas tujuan kerja, akhirnya menyentuh hal-hal peribadi. Pintu syaitan terbuka luas. Silap haribulan, membawa perpecahan rumah tangga.

Sebaik-baiknya perkara ini dapat dielakkan demi kerukunan rumah tangga. Gunalah kemudahan untuk perkara bermanfaat sahaja. Letakkanlah syariat Allah s.w.t. di hadapan sebelum berbuat sesuatu.

Cucu-cucu yang nenek muliakan,

Dalam setiap perbuatan kita, hendaklah menjaga niat. Gunakanlah telefon bimbit untuk tujuan yang baik iaitu untuk merapatkan persaudaraan. Jika berbual, gunakanlah bahasa atau kata-kata yang baik-baik. Tinggalkan mengumpat, mencarut, mengata, menyebar fitnah dan sebagainya.

Jangan berlebih-lebihan menelefon hingga ke tahap membazir wang dan membuang masa. Janganlah kerana melayan telefon, kita mengabaikan tugas asasi seperti belajar, solat atau mentaati ibu bapa. Semoga setiap hasil perbualan membuahkan ukhuwah dan kebaikan.

Ingatlah, kebaikan sesebuah alat itu bukan terletak pada nilainya, tetapi kepada penggunaannya. Jika betul caranya, maka tinggilah nilai harganya, walaupun dibeli dengan harga yang murah

 

 

Oleh Majalah Solusi (Pesan Nenek)

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8

 


 

Solusi

Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.

 

Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Kembali ke atas