Menu

 

A+ A A-

JADILAH PENDENGAR YANG HEBAT

Perpaduan memerlukan persefahaman. Persefahaman memerlukan perasaan saling memahami antara satu sama lain. Salah satu kemahiran penting untuk mencipta persefahaman ialah kemahiran mendengar.

Bagaimanakah untuk menjadi seorang pendengar yang berkesan? Di bawah ini saya kongsikan beberapa tip mudah yang mungkin boleh membantu anda untuk mendengar, memahami, dan mendalami hati budi orang di sekeliling anda:

1. Berhenti bercakap

Mulut dan telinga tidak boleh bekerja serentak. Pilih sama ada anda mendengar atau bercakap. Setiap kali anda terasa seperti hendak bercakap, tutup mulut rapat-rapat dan lemparkan senyuman kepada orang yang sedang bercakap dengan anda. Simpan idea yang hendak disampaikan itu. Tangguhkan, dan sampaikan kemudian nanti.

2. Selesa dan bebas berkata-kata

Buatkan orang yang bercakap itu berasa selesa dan bebas untuk berkata-kata. Elakkan perkataan yang mengancam. Ini akan menyebabkannya berasa takut dan gusar.

Elakkan gerak badan yang menunjukkan anda bosan. Ini menyebabkan dia berasa tidak dihargai.

3. Tunjukkan minat

Tunjukkan minat anda untuk mendengar. Pandang ke arahnya dan tonjolkan keprihatinan anda. Jangan sesekali mendengar sambil membaca surat khabar atau menaip SMS. Ia sungguh memeritkan hati orang yang bercakap. Berhadapan dengannya secara tenang dan sepenuhnya. Tunjukkan bahawa anda memang benar-benar memberikan seratus peratus perhatian buatnya.

4. Elakkan semua unsur gangguan

Jangan asyik menggoyang-goyangkan kaki, memusing-musingkan kunci kereta (walaupun anda baru membeli kereta idaman), mengetuk-ngetuk meja, atau menekan-nekan telefon bimbit kesayangan anda. Tunjukkan bahawa anda berusaha untuk mengelakkan sebarang gangguan dalam interaksi yang sedang berlaku itu.

5. Mendengarlah secara empati

Bayangkan anda berada di tempat orang yang bercakap. Fahami situasi dan keadaannya. Kenal pasti apakah emosi orang itu. Adakah dia sedang teruja? Gembira? Sedih? Keliru? Kecewa? Tidak pasti? Fokuskan kepada bahasa badan yang ditampilkan dan juga mimik muka yang diserlahkan. Cubalah untuk meneroka jauh ke dalam dirinya. Semakin dalam perasaan yang anda terokai, semakin empati anda terhadapnya.

pendengar yg hebat

6. Bersabar

Jangan terlalu ghairah untuk bercakap sehingga memotong percakapan orang lain. Berikan masa kepadanya untuk bercakap. Masa untuk anda pasti ada selepas itu. Jika ada sesuatu yang tersangat penting dan segera, mintalah kebenarannya terlebih dahulu. Namun, apa yang penting; belajar untuk menahan “nafsu bercakap” apabila mendengar orang lain bercakap.

7. Kawal emosi dan marah anda

Jika anda marah, jangan banyak bercakap. Sebaliknya cuba bertanya soalan dan senyum. Rasa marah hanya akan menjatuhkan maruah dan kredibiliti anda. Banyakkan istighfar dan mengingati Allah jika anda terasa marah dan tidak selesa. Ingatlah bahawa Allah yang paling hebat dan berkuasa. Segala kemuliaan adalah milikNya.

8. Elak perbahasan

Elakkan perbahasan dan kritikan yang tidak perlu. Ini hanya akan menyebabkan orang yang bercakap mula menjadi defensif dan mempertahankan diri. Ingat, kalau anda menang pun dalam perbahasan itu – anda sebenarnya telah kalah. Bukit tidak akan runtuh hanya dengan salakan anjing. Anda pilih; sama ada untuk menjadi bukit atau menjadi anjing!

9. Tanya soalan dan rentetan maklumat

Ini akan mendorong keinginan untuk meluahkan lagi maklumat yang dia tahu. Apa yang lebih penting, dia akan rasa benar-benar diberi tumpuan. Dengan kemahiran bertanyakan soalan, anda boleh membuatkan orang yang sedang bercakap berasa sungguh gembira dan mengagumi anda!

10. Kurangkan bercakap

Manusia dikurniakan dua mata, dua telinga, dan satu mulut. Oleh itu, banyakkan mendengar dan memandang; dan dalam masa yang sama, kurangkan bercakap. Jadilah seorang pendengar yang baik.

11. Mimik muka dan ekspresi

Belajarlah bagaimana untuk mengawal mimik muka dan ekspresi anda dalam keadaan yang berbeza. Anda boleh memandang cermin dan melakonkan perasaan anda. Anda juga boleh meminta rakan-rakan anda menerangkan tentang ekspresi anda selama ini. Walaupun nampak remeh, tetapi ini sangat penting untuk menjadi seorang pendengar yang baik.

12. Ingat

Cubalah ingat apa yang diluahkannya. Walaupun ada kalanya, apa yang diluahkan oleh orang lain itu bukanlah sesuatu yang penting untuk diingati, namun jika anda mampu mengingati beberapa perkara tertentu, pasti dia akan mengagumi dan menghormati anda nanti. Ia menunjukkan bahawa anda benarbenar mengiktiraf dan mengutamakan dirinya.

Buat akhirnya, saya teringat sepotong ayat alQuran yang bermaksud: ”Dan mereka mempunyai mata tetapi mereka tidak mahu melihat, mereka mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar, mereka mempunyai hati tetapi tidak mahu menghayati. Mereka adalah umpama haiwan ternakan, bahkan lebih sesat.” (Surah alA’raf 7: 179)

 

Selamat menjadi pendengar yang berkesan

 

Oleh Ahmad Fadzli Yusof

Sumber Artikel daripada Majalah Solusi Isu 7

 

 


 

Ahmad Fadzli Yusof

Professional Trainer/Speaker di RK Training & Management. Mendapat ijazah sarjana muda dan kemudian menyambung sarjana (Master) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kini sedang menyiapkan kajian PhD dalam bidang pembangunan insan Universiti Malaya. Beliau merupakan Certified NlP Practitioner dan mendapat tauliah daripada National Federation of Neuro Linguistic Programming yang berpusat di California, Amerika Syarikat. Beliau juga adalah kolumnis tetap majalah e-Siswa dan sering muncul di tv, antaranya TV3, TV9 dan RTM. Lawati laman web beliau di www.fadzliyusof.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas