Menu

 

A+ A A-

MENCIPTA KEHIDUPAN PENUH BERMAKNA

SAYA sangat meminati program radio dan televisyen yang disampaikan Prof. Saya dulu orang susah dan daripada keluarga susah. Namun sekarang saya telah senang, ada pangkat dan kekayaan. Ringkasnya semua yang saya kehendaki, telah saya miliki. Masalahnya Prof., saya masih belum merasai ketenangan dan kebahagiaan. Mohon nasihat Prof.

Jawapan:

Apakah perkara pertama yang mesti kita lakukan saat kita membuka mata setelah tersedar daripada tidur? Lafazkanlah “alhamdulillah”. Bersyukurlah kerana kita masih diberi nyawa! Anda akan berasa cukup bertuah kerana segala yang kita nikmati semalam masih lagi dapat dinikmati hari ini. Ada dua sebab seseorang itu berasa bahagia dan mencapai sesuatu:

1. Tahu tujuan hidup.

2. Memiliki “mastermind”.

Tidak kiralah sama ada secara bersendirian atau kumpulan individu yang kita kumpulkan yang mempunyai wawasan dan tujuan yang sama. Masing-masing dengan ilmu, kelemahan dan kekuatan yang berbeza namun saling melengkapi demi menuju ke arah matlamat yang sama. Ibarat sebuah kapal yang sedang belayar menuju ke daratan. Ia memerlukan kerjasama semua orang daripada kapten hinggalah kepada kelasi bawahan.

mencipta-kehidupan-bermakna-1

Jadi, di sinilah kita perlu menjadi seorang yang:

1. Menghargai dan mensyukuri diri kita.

2. Menghargai manusia lain.

3. Menghargai semua makhluk daripada tumbuh-tumbuhan hinggalah kepada haiwan sekecil semut sekalipun.

Apabila kita mempunyai sifat menghargai dan melihat keajaiban Allah, maka kita akan menemui makna kehidupan.

Formula Hidup Bermakna

Setiap hari, tanya diri anda: “Apakah kekayaan dalaman kita hari ini?” Maksudnya, jangan harap hendak kaya harta luaran selagi kita tidak “kaya hati”. Kekayaan bukan hanya pada wang ringgit sahaja. Kekayaan mempunyai pelbagai maksud, antaranya kaya ilmu dan kaya akhlak. Orang yang kaya dalam diri, dia akan menghargai dirinya. Dia yakin dan bersyukur dengan nikmat Allah sama ada yang nampak atau tidak. Dia juga akan menghargai makhluk lain.

Jika setiap hari kita tanya soalan ini, maka hidup kita akan bermakna. Ini kerana kita akan merasai “hidup”. Dengan sendirinya akan terbit rasa bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana masih memberi peluang untuk menjalani kehidupan. Hidup yang bermakna ialah hidup untuk memberi (great givers). Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Kekayaan itu bukanlah diukur dengan banyaknya harta benda, akan tetapi kekayaan yang sebenar ialah kaya hati.” (Riwayat Muslim)

Oleh sebab itu, lihat hari ini, adakah kita fokus kepada masalah atau tidak? Sebenarnya masalah dihasilkan oleh fikiran kita. Orang yang bijak, apabila berlakunya apa-apa masalah, dia akan menjadikan masalah itu sebagai batu loncatan, bukannya halangan. Dengan masalah itu, dia akan mengatasinya dengan bijak. Oleh sebab itu, untuk mengatasi masalah, kita perlu membina diri. Jika hubungan dengan Allah tidak kuat, masalah kita akan bertambah banyak. Lihat diri sendiri, jika berjumpa dengan orang lain, apakah yang kita lihat? Adakah hal yang baik atau yang buruk?

Lihat suasana, baik atau jahat? Suasana dicipta oleh manusia. Oleh sebab itu, janganlah kita mencipta suasana yang tidak baik. Kitalah yang menentukan corak kehidupan sendiri. Jika kita membiarkan suasana di luar mempengaruhi suasana dalaman, kita akan menghasilkan kehidupan yang sama sahaja iaitu tiada perubahan. Sebenarnya kita boleh mengubah kehidupan dalam satu saat sahaja iaitu melalui cara kita berfikir. Justeru, berfikirlah dengan positif dalam setiap tindakan.

Formula untuk kehidupan yang bermakna:

1. Mengisi keperluan orang lain.

2. Menguasai bidang yang diceburi dengan penuh mahir.

3. Memberi sumbangan di luar jangkaan orang lain sehingga seolah-olah tiada sesiapa yang dapat menggantikan kita.

Tiga formula di atas melayakkan anda untuk mendapat upah yang setimpal dengan kualiti diri yang anda miliki. Selain itu, formula untuk hidup yang bermakna juga ialah kita akan dibayar berdasarkan nilai yang kita berikan kepada sesuatu yang kita buat. Jika kita menjalankan perniagaan, apabila nilai diri kita rendah tetapi meniagakan barang dengan harga yang tinggi, maka perniagaan kita akan mati. Kalau nilai kita tinggi, tetapi bayaran sedikit tidak mengapa. Jangan jadikan wang sebagai fokus kita dahulu. Fokuskan kepada apa yang kita beri, bukan apa yang kita dapat.

mencipta-kehidupan-bermakna-2

Mencungkil Nilai-Nilai Positif Diri

Sebenarnya kita semua sudah ada nilai-nilai positif, tetapi terbenam oleh persekitaran. Lihat sahaja budak kecil. Mereka mempunyai nilai-nilai yang baik. Kita pula bagaimana? Nilai yang baik perlu dibentuk supaya ia kekal sebagai tabiat. Selain itu, kita perlu mewujudkan contoh yang baik untuk ditiru, di samping niat dan mencari nilai murni seperti melalui pembelajaran atau pembacaan. Bacalah buku seperti kitab Riyad al Salihin (Taman Orang Soleh) karangan Imam al-Nawawi. Kitab hadis ini banyak mengajar kita nilai-nilai yang baik seperti husn al-zan (bersangka baik), lemah lembut, murah hati dan sebagainya.

Setiap hari, ambil salah satu daripada perkara yang baik itu dan lakukan. Jadilah ia sebagai rutin. Lama- kelamaan ia akan menjadi satu tabiat dan kita akan berfikiran positif. Sebagai manusia, kita perlu tahu makna dan tujuan hidup. Ingatlah suatu hari nanti kita akan bangkit dari alam barzakh. Hidup ini untuk mencari bekalan akhirat seperti mendapat anak yang soleh, ilmu bermanfaat dan sebagainya.

Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu no.4


Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad

Pakar Mata dan personaliti dakwah tanah air ini memegang PhD dalam bidang Ocular Immunology, University of London, 1998. Antara jawatan sekarang ialah Profesor Oftalmologi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Adjung Oftalmologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Menerima anugerah Tokoh Ilmuwan Selangor 2010.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas