Menu

 

A+ A A-

BEREBUT SAYAP NYAMUK

SABAN waktu media dan segala wacana global mempromosikan kepentingan mencari kekayaan dunia, menjadikan wacana masyarakat kita terkepung dalam pola materialistik. Kehidupan yang disusun dengan rigid dan berdisiplin, semata-mata untuk menggapai kejayaan dunia.

Bukan sedikit kesungguhan saudara kita meletakkan cita-cita untuk memiliki kekayaan dan harta. Bahkan majoritinya menjadikan objektif kehidupan untuk mengisi kekayaan dunia, sehingga ruang untuk akhirat menjadi sempit dan terabai. Adakah kita juga tertipu dan terlalai dengan dakyah yang cuba disebarluaskan menerusi media ini? Tidak salah kita mengambil dunia dan menggunakannya untuk keperluan, tetapi jangan sampai menjadikan dunia itu tuhan dan pujaan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tuntutlah dengan kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia” (Surah al- Qasas 28: 77)

Allah menyebut dengan lafaz, tuntutlah kebahagiaan di akhirat dengan menjadikan dunia sebagai perantaraan. Kita perlu meletakkan akhirat sebagai impian terbesar yang memenuhi ruang cita-cita dalam hati, langsung menjadikan dunia sebagai alat yang akan kita tunggang untuk menuju matlamat akhirat. Pada realitinya, ramai mengetahui hal ini tetapi ramai yang bertindak sebaliknya tanpa disedari. Ini kerana ramai yang mudah terbuai dan terlalai. Mereka sudah terlupa bahawa wang yang laku di sisi Allah adalah pahala. Mata wang yang diterima setelah kita imigran ke dunia seberang “sana” hanyalah pahala dan dosa. Jika kita melupakan hakikat ini, bererti kita benar-benar sudah tersasar jauh.

berebut-sayap-nyamuk-1

Inilah dunia, medan ujian dan tempat manipulasi iblis untuk menjadikan saudara yang sepatutnya menjadi tulang belakang kepada agama akhirnya tertipu dengan misi-misi kosong. Mereka meletakkan sasaran dan matlamat yang membawa pulangan yang defisit di akhirat. Masing-masing sibuk membina tapak perniagaan dan mengatur perancangan untuk mengkayakan diri. Tetapi, mereka tidak berusaha untuk membawa keuntungan dan menjadi jutawan di negeri abadi. Nauzubillah min zalik.

Saudara dan pembaca sekalian, sekali-sekala melakukan kebaikan bukanlah suatu kerja yang sukar. Tetapi, untuk membudayakan kebaikan itu amat payah dan merupakan mujahadah yang besar. Betapa hebatnya dunia sehingga sentiasa menggelincirkan iman kita dari landasan setiap waktu. Jika terus-terusan kita digelincirkan dari landasan iman, dibimbangi kita tidak akan mampu bangkit dan berdiri lagi. Berapa ramai saudara dalam kalangan kita yang benar-benar beriman dan mampu beristiqamah?

Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: ‘Tuhan kami ialah Allah’, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Surah al-Ahqaf 46: 13)

Inilah suatu kerisauan yang perlu difikirkan bersama. Kerana kebutaan menjadi jutawan di akhirat, menyebabkan manusia bertelagah dalam medan sia-sia. Perebutan dan ketamakan harta dunia ini menjadikan manusia rakus dan haloba. Sedangkan pulangannya sangat sedikit.

Dalam satu sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Seandainya dunia itu bernilai di sisi Allah seperti sayap nyamuk, maka orang kafir tidak akan diberi minum walaupun seteguk air daripadanya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Lihatlah nilai dunia di sisi Allah. Ia langsung tidak punya nilai di sisi-Nya, kerana itu Allah masih memberikan kekayaan kepada orang yang tidak beriman.Bahkan orang yang mencintai dan memuja dunia ibarat lalat yang menghurung najis-najis. Yang tidak akan memberikan kebaikan untuknya di akhirat. Sesungguhnya Allah sudah memberitahu sebaik baik jalan pulang kepada-Nya adalah dengan berbekalkan ketakwaan. Manakala kekayaan yang sebenar adalah amal soleh. Dan harta yang bernilai di sisinya adalah pahala-pahala yang dikutip semasa kehidupan. Hanya jutawan-jutawan pahala akan mampu membeli syurga Allah yang amat mahal. Tanpa wang pahala yang cukup, kita diibaratkan mereka yang telah tertipu dan merugi.

Saudaraku, bilakah lagi masa yang sesuai untuk memburu kekayaan akhirat jika bukan sewaktu usia muda dan gagah ini? Jangan kita melepaskan peluang perniagaan yang menguntungkan ini kerana peluang sedang terbuka luas. Ayuh, kita menjadi jutawan akhirat!

A.Ubaidillah b Alias
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 2

 


 

A. Ubaidillah Alias

Lulusan BA (Hons) Usuluddin, syukbah tafsir dari Universiti al-Azhar, Kaherah. Pernah berforum di Radio Kelantan dan menjadi tetamu di tv al Hijrah. Telah menulis banyak buku kreatif seperti novel, majalah dan buku-buku ilmiah untuk bacaan umum. Aktif dalam berceramah masjid dan sekolah. Kini bertugas sepenuh masa di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan(PKINK) sebagai pegawai latihan sumber manusia. Antara guru-guru beliau Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

Kembali ke atas