Menu

 

A+ A A-

MALU ~ IKTIBAR POKOK SEMALU

TERPANDANG pokok-pokok semalu yang berselirat dan terbiar di sebuah padang, mengingatkan saya kepada sebuah kisah Rasulullah s.a.w. Diceritakan suatu ketika pernah Baginda sedang berjalan-jalan dengan puteri kesayangan Baginda sayidatina Fatimah r.ha.

Ketika melintasi sepohon pokok tamar, kaki sayidatina Fatimah terpijak pokok semalu. Kakinya itu berasa sakit dan berdarah. Fatimah bertanya Baginda s.a.w., apa gunanya pokok seumpama itu tumbuh di situ?

Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa sifat fizikal pokok semalu amat berkait rapat dengan wanita. Terdapat empat aspek pengajaran yang boleh diambil daripada kejadian pokok tersebut.

Pertama, sifat pokok semalu yang menguncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu yang bertempat.

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Simboliknya, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruahnya.

Ketiga, akar tunjang pokok semalu kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keimanan yang berakar umbi dalam jiwanya.

Keempat, semalu menguncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Seolah-olah ciptaan Allah s.w.t. ini seperti mengingatkan kepada kaum wanita supaya pulang dan duduklah di rumah ketika hari hampir gelap.

Menurut riwayat al-Baihaqi, terdapat 99 bahagian tarikan pada diri wanita berbanding lelaki. Oleh itu Allah s.w.t. kurnia kan sifat malu pada kaum wanita. Apakah yang Allah s.w.t. kehendaki daripada hamba-hamba-Nya melalui sifat malu ini? Malu bermaksud sifat atau satu rasa yang akan menggerakkan hati seseorang itu supaya meninggalkan kejahatan. sifat malu dapat diistilahkan sebagai berasa aib (hina, rendah diri) kerana membuat sesuatu yang salah atau tidak sopan, berasa tidak senang melakukan perkara dilarang Allah. Rasa itu juga akan menghalang diri daripada menyusahkan orang lain. Namun kita dapati, ramai remaja wanita sudah semakin hilang rasa malunya.

Ini boleh dibuktikan antaranya remaja kini tidak memelihara pergaulan, mudah terjebak dalam pergaulan bebas lelaki perempuan, tidak menutup aurat dan sebagainya. Jika ketawa, sengaja dikuatkan untuk menarik perhatian lelaki. Oleh sebab itu, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak supaya mempunyai sifat malu sejak kecil lagi. Misalnya, tidak keluar dari bilik air tanpa pakaian. Malu bercakap bohong, malu jika berbuat dosa.

iktibar pokok semalu


Kekalkan rasa malu

Umat Islam mestilah ada rasa malu dalam keadaan-keadaan yang tertentu. Bagaimana untuk mengekalkan rasa malu? Menghadiri majlis ilmu. Misalnya belajar atau mengenali nama-nama Allah s.w.t. dapat menolong meyakinkan diri akan kehebatan-Nya. Meyakinkan diri akan ganjaran baik atau azab seksanya jika berbuat perkara yang memalukan agama. Jika tiada rasa malu kepada Allah dan Rasul-Nya, sekurang-kurangnya rasakan malu kepada diri sendiri. Semua anggota pada badan bakal menjadi saksi segala apa yang kita lakukan. Sekiranya masih juga tiada rasa malu, bersedialah dengan apa yang Nabi s.a.w. pernah bersabda: “Apabila kamu tidak malu, maka berbuatlah sesuka hatimu.” Rasulullah juga pernah bersabda bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. apabila hendak membinasakan seseorang, maka dicabutkan rasa malu orang itu. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini. ¤

 

Rashidah Mustafa

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2


 

 

Kembali ke atas