Menu

 

A+ A A-

TAWAN DIRIMU

JIKA kita dapat menguasai diri sendiri, kita akan dapat menguasai dunia. Begitu yang sering diungkapkan oleh orang bijaksana. Ertinya, dengan menguasai diri, pengaruh kita untuk menguasai orang lain, merubah keadaan dan mencorak suasana, akan bertambah.

Percayalah, tidak ada sesiapapun atau keadaan apa sekalipun, boleh menggugat diri kita tanpa keizinan daripada diri kita sendiri. Orang membuat kita marah? Kita boleh memilih untuk sabar dan berlalu tanpa terkesan oleh sikap mereka. Ya, kita bebas membuat pilihan mengikut keyakinan dan pendirian kita tanpa diganggu-gugat oleh orang lain.

Apabila Hati Terikat...

Inilah sebenarnya sifat orang beriman. Apabila hati mereka terikat dengan Allah, mereka dapat menguasai fikiran, nafsu dan perasaan. Tindakan mereka dari ‘dalam ke luar’ bukan dari ‘luar ke dalam’. Bukan soal apa yang mereka alami di luar, tetapi apa yang mereka rasai dalam hati lebih penting. Apabila rasa takut dan cinta Allah menguasai hati, seseorang akan mampu menguasai diri.

Orang yang menguasai diri umpama ikan yang tidak akan masin dengan kemasinan laut. Mereka bukan sesumpah, yang akan bertukar warna setiap kali warna persekitaran berubah. Mereka pun bukan individu yang rela ‘mengembek di kandang kambing’ atau ‘mengembuk di kandang lembu’. Mereka merubah suasana bukan sebaliknya.

Ketika ditanya siapakah orang yang paling kuat, Nabi Muhammad s.a.w. telah menjawab: “Orang yang dapat menguasai marahnya.” Sayidina Umar Ibn Khattab pernah berkata: “Kalau meminum segelas air yang dingin ketika kehausan yang amat sangat boleh menjatuhkan maruahku, nescaya aku tidak akan meminumnya.” Umar Ibn Aziz pernah berkata: “Aku tidak akan bercakap ketika aku terlalu ingin bercakap. Sebaliknya, aku bercakap apabila aku terlalu berat untuk bercakap.”

Justeru, ingin ditegaskan bahawa kekuatan diri sangat berkait dengan keyakinan kepada Allah. Maksudnya, sesiapa yang lebih kuat keyakinan kepada Allah, maka dialah yang paling mampu mengwuasai dirinya!

Sebelum Menawan yang Lain

tawan dirimu1Edmud Hilary, orang pertama menawan puncak Everest juga pernah berkata:

“Ketika aku sampai ke kemucak Everest sebenarnya bukan gunung itu yang aku tawan, tetapi diriku sendiri.” Ya, mungkin Edmund Hilary, melihat dari perspektif yang berbeza, tetapi prinsipnya sama, yakni untuk berjaya menawan apa sahaja, bermulalah dengan menawan diri sendiri terlebih dahulu! Cuma dalam ajaran Islam cara menawan diri sendiri itu adalah dengan beriman kepada Allah.

Steven Covey, menerusi ‘Seven Habit’nya pula menyatakan bahawa keberkesanan seseorang terletak kepada ‘circle of infl unce’ berbanding ‘circle of concern’. Manusia, kata Covey, mesti menggunakan kuasa dalam kawalannya (yakni dirinya sendiri) daripada cuba menggunakan kuasa yang tidak dapat dikawalnya (yakni perkara yang di luar dirinya). Inilah cara berfi kir dan bertindak orang yang berjaya dalam hidup. Rahsia kejayaan ‘orang besar’ itu terletak pada kemampuan mereka menguasai diri sendiri. Dengan itu, barulah mereka berjaya mengubah, mempengaruhi dan memimpin orang lain.

“Jangan kamu marah jika orang lain tidak berubah sepertimana yang kamu kehendaki jika kamu sendiri tidak berubah seperti yang kamu kehendaki,” jelas hukama kepada kita. Kata pepatah lama, “Ibu ketam tidak sepatutnya marah jika anaknya tidak berjalan betul!” Maksudnya, sekiranya kita tidak mampu merubah diri sendiri, jangan harap kita akan mampu mengubah orang lain. Pimpin diri sendiri dahulu sebelum memimpin orang lain.

Rahsia Orang Berjaya

Antara petunjuk kita telah mampu menguasai diri ialah apabila kita mampu melakukan sesuatu yang perlu dilakukan walaupun kita tidak suka melakukannya. Inilah antara rahsia orang yang berjaya. Dalam hidup, kita dihadapkan dua pilihan. Satu perkara yang perlu kita lakukan, satu lagi perkara yang kita suka lakukan. Perkara yang kita perlu lakukan ialah perkara yang boleh membawa kejayaan dan peningkatan dalam kehidupan kita – selalunya susah, pahit dan menguji kesabaran. Manakala perkara yang kita suka lakukan, kebanyakannya tidak menyumbang apaapa kepada kejayaaan kita – selalunya seronok, asyik dan melekakan.

Orang yang menguasai diri mampu melakukan perkara yang perlu dilakukannya walaupun tidak disukainya demi mengharapkan kejayaan. Kesusahan, kepahitan dan keperitan itu suatu yang sangat perlu kerana itulah yang akan menempa kekuatan diri. Sanggup menempuh kesusahan itulah yang akan membina kekuatan diri. Semakin banyak kesusahan yang ditempuh, maka semakin kuatlah diri.

Maksud kekuatan di sini ialah sanggup menanggung risiko. Kuat untuk berhijrah dari ‘zon selesa’ tetapi penuh kebekuan untuk menuju ‘zon mencabar’ yang penuh dugaan, tetapi di situlah letaknya kejayaan dan kecemerlangan. Kita bagaimana? Ingin terus dalam zon selesa? Tidak mungkin. Justeru, keluarlah menuju zon yang mencabar – dan bersiap sedialah menghadapi kesusahan. Tawanlah diri. Insya Allah, kita akan ‘menguasai’ dunia!

tawan dirimu

Ustaz Pahrol Mohamad Juoi
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.9


Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas