Menu

 

A+ A A-

MENJADI “KELUARGA” ALLAH

USIA TERAWAL

Bilakah usia yang sesuai mendidik anak membaca al-Quran?

Rata-rata rakyat di Malaysia mula mengajar anak-anak mereka membaca, mengira atau mengaji ketika berumur empat atau lima tahun. Sebab itu kita lihat ramai ibu bapa menghantar kanak-kanak bersekolah tadika sewaktu usia tersebut. Sebenarnya otak kanak-kanak sudah sangat bersedia untuk menerima apa-apa pelajaran sejak lahir lagi. Otaknya pada waktu ini amat mudah menyerap setiap apa yang berlaku. Mengikut satu kajian, pada umur dua tahun kapasiti otak kanak-kanak menyamai 80% otak orang dewasa. Kanak-kanak semuanya sama. Yang membuat mereka berbeza adalah didikan yang kita dedahkan pada mereka pada waktu usia kritikal ini.

KELEBIHAN MENGAJAR AL-QURAN

Bolehkah ustazah berikan motivasi untuk saya kekal semangat mengajar al-Quran kepada anak-anak?

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang dalam hatinya tidak terdapat sesuatu pun daripada al-Quran adalah ibarat rumah yang runtuh.” (Riwayat al-Tirmizi)

Sanggupkah kita melihat anak-anak gersang jiwanya daripada sinaran al-Quran? Tentu sekali kita tidak tergamak. Jika itulah jawapannya, maka bersegeralah kita mentransformasikan jiwa anak-anak kita kepada alur kehidupan yang sentiasa membaca dan menjadikan kitab al-Quran itu sebagai naskhah wajib yang mesti dibaca setiap hari.

Anas r.a. mengatakan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mempunyai ‘keluarga’ yang terdiri daripada kalangan manusia.” “Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?” “Mereka ialah ahli al- Quran (orang yang membaca atau menghafal al-Quran dan mengamalkan isinya).” (Riwayat Ibn Majah)

Mereka ialah keluarga Allah dan orang yang istimewa bagi Allah. Oleh sebab itu, kita sebagai ibu bapa hendaknya menjadikan diri dan anak-anak sebagai keluarga Allah sebagaimana yang dimaksudkan Nabi dengan memperbanyakkan aktiviti pembacaan al-Quran.

menjadi-keluarga-allah-1

SALAH BACAAN

Bukankah membaca al-Quran dengan salah itu berdosa. Kanak-kanak sudah pasti banyak salahnya?

Mari bersama kita hayati pesanan Nabi ini, maksudnya: “Mereka yang membaca al-Quran dan ia mahir dalam bacaannya adalah bersama malaikat yang mulia. Manakala mereka yang membaca al-Quran dan ia gagap dalam bacaannya dan penuh kesusahan, maka baginya dua ganjaran pahala.” (Riwayat al- Bukhari dan Muslim)

Maka ibu bapa tidak perlu risau akan hal ini kerana proses pembelajaran tidak akan sunyi daripada kesalahan. Tiada manusia yang dilahirkan sempurna.

TIP MENGAJAR AL-QURAN

Mohon ustazah kongsi tip atau panduan dalam mengajar al-Quran kepada anak-anak.

1 Disiplinkan anak mengaji sekerap mungkin. Contohnya lima hari seminggu. Waktu antara Maghrib dan Isyak adalah yang sesuai. Bagi anak-anak yang masih kecil, kerapkan bacaan setiap kali mendukung mereka.

2 Jangan cepat marah. Kalau perasaan marah datang, tarik nafas panjang-panjang dan bertenang. Ingat, jika kita selalu marah kanak-kanak waktu mereka mengaji, mereka tidak akan suka mengaji dan susah untuk disuruh mengaji kerana fobia dimarahi.

3 Disiplinkan diri kita sendiri dan anak kita untuk mengaji setiap hari. Jangan anggap anak-anak tidak melihat aktiviti harian kita.

4 Bacakan surah yang kita ingin anak kita hafal sebelum mereka tidur malam dan sebelum mereka bangun dari tempat tidur waktu pagi. Lama-kelamaan mereka boleh mengikut kita membacanya. Kalau ibu bapa tidak menghafalnya, bolehlah pasang CD bacaan ayat-ayat suci al-Quran

5 Sentiasa berdoa dan bertawakal kepada Allah untuk kebaikan yang terbaik buat anak-anak dan kita. Berdoalah ketika dalam dan luar solat. Doa boleh menimbul sikap positif pada diri kita dalam mendisiplinkan diri untuk mengajar mereka. Lebih bagus berdoa ketika kanak-kanak masih kecil dan tidak lagi banyak dosanya. Ramai yang lalai mendoakan untuk anak dan cuma mula berdoa ketika anak sudah dewasa dan melakukan perkara yang tidak disukai supaya dia boleh berubah. Ketika ini mungkin agak susah walaupun belum terlambat.

Wallahu a’lam.

Shahidatul Akma Mohd Sha’ary
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz isu No.5


Ustazah Shahidatul Akma Bt Mohd.Sha'ary

Kuliah Bahasa Arab Universiti Al-Azhar Kaherah Mesir. Pernah menjadi guru Bahasa Arab di Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi.

Terkini daripada Ustazah Shahidatul Akma Bt Mohd.Sha'ary

Kembali ke atas