Menu

 

A+ A A-

MENGAJAR ANAK SOLAT YANG BERKESAN

BAGAIMANAKAH cara yang terbaik untuk saya mentarbiah anak-anak saya menunaikan solat sehingga mereka benar-benar menunaikannya walaupun tanpa disuruh?

Solat merupakan perkara pertama yang akan dipertanggungjawabkan atas seorang hamba di hadapan Allah s.w.t. dalam pengadilan pada hari Kiamat kelak. Dalam sebuah hadis riwayat al-Tabarani, daripada Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Perkara pertama yang akan dihisab daripada seorang hamba pada hari Kiamat kelak ialah solat. Jika solatnya baik, maka baiklah seluruh amalnya. Jika solatnya rosak, maka rosaklah seluruh amalnya.”

Selain itu, solat juga berada di kedudukan tersendiri dalam Islam yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana ibadah lain. Ia merupakan tiang agama yang menjadi paksi utama Islam seseorang. Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sebuah hadis bermaksud: “Bahagian utama sesuatu perkara ialah Islam; tiangnya ialah solat dan yang paling tinggi ialah jihad di jalan Allah.” (Riwayat al- Tirmizi)

Allah telah menetapkan kewajipan solat bagi setiap hamba-Nya yang mukalaf. Namun bagi kanak-kanak, terdapat saranan Baginda s.a.w. menyuruh mereka supaya bersolat apabila mencapai umur tujuh tahun sebagaimana hadis riwayat Abu Daud, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Perintahkanlah anak-anak kamu untuk bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun dan pukullah mereka (sekiranya lalai daripada menunaikan solat) ketika berumur 10 tahun serta asingkanlah tempat tidur antara mereka.” Walaupun begitu, ada baiknya ibu bapa mengajar mereka sebelum mencapai usia tersebut. Ini bagi memberi kefahaman, mendidik serta membiasakan agar apabila memasuki usia tujuh tahun, mereka sudah terbiasa menunaikan solat sebagai pengabdian dan melahirkan rasa syukur seorang hamba terhadap Yang Maha Pencipta.‘’

Sejak bila boleh mengajar anak bersolat?

Pendidikan solat bermula seawal usia bayi lagi. Pendidikan ini bukan bermaksud mengajar bayi cara dan kaifiat menunaikan solat secara praktikal, tetapi lebih kepada penekanan bagi memupuk budaya solat, menanam rasa seronok menunaikan solat dan membuatkan mereka peka dengan waktu solat.

Perkara yang lebih penting adalah memberikan mereka pengalaman awal tentang kepentingan ibadah solat melalui pemerhatian mereka kepada aktiviti ibadah ibu bapa. Pendidikan solat untuk anak-anak pada peringkat usia anak bawah satu tahun hingga enam tahun lebih fokus kepada pendedahan ibadah solat. Solat perlu ditonjolkan sebagai perkara yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan seorang Muslim. Oleh itu, anak-anak di peringkat umur ini perlu sentiasa melihat ibadah solat yang dilakukan setiap hari. Maka, ini adalah tanggungjawab utama kepada kedua-dua ibu bapa.

Bagaimanakah praktikal yang boleh dilakukan?

Terdapat beberapa kaedah yang boleh dilakukan oleh kedua-dua ibu bapa. Cadangan ini adalah mengikut kesesuaian dan keadaan keluarga masing-masing. Perlu juga diingat, ia memerlukan kesabaran yang tinggi. Perdengarkan kepada mereka laungan azan sama ada dari masjid, surau, televisyen atau radio. Pastikan setiap kali azan dilaungkan, mereka dapat melihat segala aktiviti dihentikan. Sekiranya bagi bayi yang masih kecil, ibu bapa boleh mendukung mereka dan sama-sama membaca doa selepas azan sekira-kira didengari olehnya. Dengan cara ini anak-anak akan menghormati azan dan mengetahui kedudukan solat yang amat tinggi.

Perkenalkan kepada mereka anggota wuduk dan cara membasuhnya. Ini dapat dilakukan apabila anda memandikan mereka. Ketika memandikan mereka, jangan lepaskan peluang untuk berbicara bersama-sama mereka berkaitan anggota wuduk walaupun masih bayi lagi. Solatlah bersama-sama mereka dan jangan biarkan mereka solat bersendirian. Ajak mereka solat bersama dan pesanlah kepada mereka supaya memerhatikan betul-betul pergerakan solat dan ikuti.

Bagi bayi yang masih kecil, anda boleh meletakkannya di sisi anda dalam keadaan dia boleh melihat pergerakan solat anda. Sebelum memulakan solat, berkomunikasilah dengannya seperti: “Sayang, tengok ibu solat ya.” Bagi anak yang sudah memahami perkataan, apabila salah seorang daripada ibu bapa menunaikan solat, ajak mereka melihat perbuatan solat tersebut sambil menerangkan kepada mereka. Contohnya, apabila si ayah rukuk, jelaskan kepada mereka: “Lihat, Abi sedang rukuk.” Begitulah seterusnya bagi setiap pergerakan solat.

Tingkatkan semangat mereka untuk menunaikan solat dengan menghadiahkan mereka sejadah khusus untuk mereka bersolat contohnya. Kegembiraan anak-anak yang suka menggunakan barangan yang dihadiahkan kepada mereka akan memupuk kesukaan mereka untuk menunaikan solat apabila menggunakannya. Bawa anak-anak ke masjid dengan lebih kerap. Anak-anak anda akan mengenal serba sedikit berkaitan solat jemaah. Mereka akan memahami bahawa solat jemaah akan diketuai oleh seorang imam dan perlu mengikutnya. Sentiasalah mutaba‘ah (membuat pantauan) atas mereka sama ada mereka sudah menunaikan solat atau tidak. Sekiranya mereka sudah menunaikannya, maka berikan pujian kepadanya atau berbentuk hadiah.

mengajar-anak-cara-solat-1

Bagaimana cara untuk bersabar dalam mendidik anak-anak?

Buat para ibu bapa, bersabarlah dalam mendidik anak-anak ke jalan yang benar ini. Tidak dapat dinafikan kesusahan dan cabaran yang bakal dihadapi amatlah besar. Namun begitu suburkanlah kesabaran, ketabahan dan istiqamah dalam diri agar generasi akan datang adalah generasi yang mantap keislamannya. Semuanya bergantung kepada solat. Benarlah firman Allah s.w.t. dalam surah Taha ayat 132 yang bermaksud: “Perintahkanlah keluargamu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar mengerjakannya.”

 Ustazah Shahidatul Akma Bt Mohd Sha’ary

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 2

 


 

Ustazah Shahidatul Akma Bt Mohd.Sha'ary

Kuliah Bahasa Arab Universiti Al-Azhar Kaherah Mesir. Pernah menjadi guru Bahasa Arab di Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi.

Terkini daripada Ustazah Shahidatul Akma Bt Mohd.Sha'ary

Kembali ke atas