HENTIKAN JERITAN ANAK ITU
- Ditulis oleh Rohidzir Rais
- Kategori Ibubapa
- Read 6496 times
‘BINATANG bangsat’ yang menculik, memperkosa dan membunuh dengan kejam Adik Nurin Jazlin Jazimin masih lagi bebas. Kita juga tidak dapat mengagak perasaan bapa Ang May Hong ketika menemui anak kecilnya sudah tidak bernyawa dalam keadaan lehernya dijerut serta sebatang kayu satu meter dengan tiga paku di hujungnya tertusuk ke kemaluan anak malang ini sehingga merobek pundi kencing, perut dan jantungnya.
Menakutkan, menyedihkan, marah, geram dan bimbang. Siapa sahaja yang membaca kisah-kisah menyayat hati ini tidak dapat lari daripada perasaan-perasaan ini. Lebih membimbangkan, tragedi ini masih terus berlaku sehingga dianggarkan 37 kes seperti ini berlaku dalam 7 bulan. Bererti seorang kanak-kanak hilang setiap minggu!
Pedofil (pedofilia) atau ‘binatang bangsat’ (istilah paling lembut yang mampu kita gunakan) yang menzalimi anak-anak tidak berdosa ini adalah golongan dewasa yang mempunyai kecenderungan seksual melampau terhadap kanak-kanak, sama ada lelaki atau perempuan. Menariknya kajian perubatan moden juga tidak dapat mengesan sebab terjadinya kecelaruan ini dan terapi untuk memulihkannya. Oleh itu, memulihkan golongan ini tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah kejam, sebaliknya kitalah sepatutnya mengambil langkah berhati-hati dan pencegahan.
Penderaan seksual terhadap kanak-kanak berlaku apabila seorang kanak-kanak dieksploitasi untuk kepuasan seksual oleh seorang dewasa atau seseorang yang umurnya lebih tua daripada mangsa. Jika seorang kanak-kanak itu disetubuhi oleh seorang ahli keluarganya, ia dikenali sebagai sumbang mahram.
Tip-tip mencegah serangan seksual mungkin telah banyak diperkatakan dalam tulisan lain. Tetapi penulis ingin menyentuh satu faktor yang menjadi penggalak kepada golongan pedofil ini untuk mendekati kanak-kanak, tapi sering diabaikan ibu bapa, aurat kanak-kanak.
Menarik untuk dicatatkan di sini bahawa 90% kes penderaan seksual ini dilakukan oleh orang yang hampir dengan mangsa seperti ibu bapa, abang, adik, bapa saudara, datuk, sepupu atau jiran. Ini terjadi lantaran kekeliruan di antara kemesraan dan syahwat yang ditunjukkan terhadap kanak-kanak.
Misalnya, jika seorang bapa saudara mendakap erat dan mencium seorang anak saudara perempuannya, dapatkah kita memastikan ia dilakukan kerana kasih sayang atau oleh nafsu syahwat?
Dalam Islam, seorang dewasa bertanggung jawab menghadkan belaian dan sentuhan mereka terhadap kanak-kanak, selain memastikan orang dewasa lain juga memelihara sempadan ini.
Apakah aurat kanak-kanak?
Sebahagian besar pembaca mungkin akan menjawab, kanak-kanak tiada aurat kerana belum baligh, atau aurat mereka memadai menutup dua kemaluan sahaja.
Menurut pendapat yang paling rajih (tepat), kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah tiada batasan aurat. Bererti seluruh tubuh mereka boleh dilihat dan dipegang untuk tujuan apa jua dan oleh siapa sahaja. Bagaimanapun, ulama sepakat menyatakan interaksi fizikal dan visual seperti ini haram sekiranya dilakukan dengan syahwat.
Seperti seorang lelaki meletakkan seorang kanak-kanak di atas ribaannya untuk merangsang dirinya serta memeluk dan menciumnya. Kanak-kanak kecil yang sangat naïf dan suka dipeluk, dicium, dan dibelai tidak mungkin dapat membezakan keadaan ini.
Kanak-kanak yang mencapai usia sepuluh tahun pula sudah dihukum seperti orang dewasa dari sudut auratnya. Oleh itu, Islam awal-awal lagi sudah memberikan langkah untuk menghalang penderaan seksual ini melalui tuntutan menutup aurat, tetapi sayangnya hikmah syariat Allah ini kurang diketahui atau diambil peduli.
Ulama menyamakan hukum kanak-kanak kecil seperti perempuan tua yang sudah tidak bernafsu dalam pertimbangan aurat mereka. Hal ini dijelaskan dalam surah al-Nuur:
Maksudnya: “Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) Allah maha mendengar, lagi maha mengetahui.” (Surah al-Nuur: 60)
Ini menunjukkan dengan jelas bahawa walaupun aurat kanak-kanak tidak wajib ditutup seperti orang dewasa, tetapi mengambil langkah berjaga-jaga dengan memelihara etika pakaian yang lebih sopan dan tidak terlalu seksi adalah lebih baik, sama seperti situasi perempuan tua dalam ayat di atas.
Fakta ini perlu ditekankan dan dijelaskan dengan sebaik-baiknya kepada ibu bapa hari ini yang cenderung mengenakan fesyen melampau kepada anak-anak. Pakaian yang menjolok mata haram dipakaikan kepada anak-anak, terutamanya anak perempuan. Skirt singkat, singlet nampak pusat, bikini, pakaian ala penari Hawaii, baju bertali di belakang, sari ala Hindustan dan pelbagai fesyen ala selebriti Barat jangan sesekali dipakaikan kepada anak-anak lebih-lebih lagi untuk dipamerkan di khalayak ramai.
Sebaik-baiknya pakaian yang dipakai hendaklah tidak menampakkan peha, perut, dada, belakang dan punggung. Walau pun tidak bertudung, sekurang-kurangnya pakaian yang dipakai tidak mudah terbuka, terselak atau terlondeh kerana tabiat kanak-kanak yang lasak.
Adab Tidur
Selain itu, Rasulullah s.a.w. juga menetapkan etika agar anak-anak perempuan tidak dibenarkan tidur bersama dengan anak-anak lelaki.
Sabda baginda bermaksud: “Perintahkanlah anak-anak kamu mendirikan solat pada usia mereka tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika usia mereka sepuluh tahun (sekiranya mereka ingkar) dan pisahkan tempat tidur mereka.” (Riwayat Abu Daud dan Hakim)
Berdasarkan hadis ini dapat disimpulkan bahawa ibu bapa wajib memisahkan tempat tidur anak-anak lelaki dan perempuan apabila mencecah umur 10 tahun atau kurang jika perlu, kerana dibimbangi apabila mereka bercampur di atas katil atau di dalam bilik yang sama dalam usia yang hampir remaja, mereka mungkin terlihat aurat sesama mereka ketika tidur atau ketika jaga. Ini secara tidak sedar merangsang naluri seks mereka dan merosakkan akhlak.
Justeru, ini merupakan dalil yang muktamad (qatie) bahawa Islam memerintahkan para penjaga melaksanakan pengurusan secara positif, dan faktor-faktor pencegahan, dengan menjauhi anak-anak daripada gelora syahwat serta pengaruh seks sehinggalah anak-anak membesar dalam keadaan sejahtera dan dididik dengan kemuliaan dan budi yang terpuji.
Malah sejak awal lagi Allah s.w.t. telah memberikan garis panduan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak mereka demi tidak menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan. Anak-anak tidak dibenarkan tidur bersama ibu bapa apabila usia telah mencapai empat tahun ke atas. Malah anak-anak juga dilarang memasuki bilik tidur ibu bapa pada waktu-waktu tertentu sebagaimana firman Allah s.w.t:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nur: 58)
Tiga waktu yang ditetapkan ini adalah untuk memelihara anak-anak yang belum tahu apa-apa ini daripada terlihat aurat ibu bapa ketika di dalam bilik. Ketiga-tiga waktu ini juga adalah waktu kebiasaannya ibu bapa berehat-rehat, membuka baju, mandi, tidur atau bersalin pakaian.
Kebiasaan sesetengah ibu bapa yang berpakaian tidak sopan di hadapan anak-anak dan melakukan adegan keterlaluan antara suami isteri hendaklah dihentikan. Ini kerana, pandangan seperti ini memberikan impak negatif kepada pemikiran mereka.
Selain itu ibu bapa juga wajib menyekat anak-anak daripada melihat aksi lucah keterlaluan dalam televisyen dan Internet. Jangan sesekali memberikan kebebasan mutlak untuk mereka melihat apa sahaja yang diingini.
Akhirnya, kita mengharapkan ibu bapa yang kehilangan anak-anak secara tragis ini dikurniakan kekuatan oleh Allah untuk menghadapi situasi ini. Kita juga mendoakan anak-anak yang masih hilang dikembalikan kepada keluarga mereka dalam keadaan selamat.
Kita juga mengharapkan jeritan anak-anak tidak berdosa ini dapat dihentikan. ¤
Rohidzir Rais
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana
Rohidzir Rais
Lepasan Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah Islamiyyah. Kini berkhidmat sebagai editor dan penulis sepenuh masa di Telaga Biru Sdn. Bhd. Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej al-Azhar, Pulau Pinang. Aktif dan berpengalaman mengendalikan kursus-kursus fardu ain, al-Quran dan bahasa Arab di seluruh Malaysia. Telah berjaya menulis dan menterjemah 30 buah buku dalam pelbagai bidang. Layari blog beliau di www.al-zuhaily.blogspot.com.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.