Menu

 

A+ A A-

BERMAIN DAN BERGURAU DENGAN ANAK-ANAK

Cuba tanya pada diri, berapa kerapkah anda bermain-main dan bergurau-gurau dengan anak-anak anda?

Dunia kanak-kanak ialah dunia yang sebenarnya kita belum mengerti secara mendalam tentangnya. Dunia mereka berwarna-warni, penuh dengan hilai tawa dan dihiasi unsur-unsur yang positif. Pasti semua tahu bahawa kanak-kanak gemar bermain dan bergurau. Oleh sebab itu, kanak-kanak boleh juga dididik melalui gurau senda dan permainan.

Seperti yang kita tahu bahawa terdapat pelbagai kaedah untuk kita bergurau mesra dengan anak-anak seperti ketika sedang bermain, berpiknik dan bersukan. Matlamat kita bergurau dengan anak-anak ini adalah untuk menggembirakan hati dan membantu perkembangan personaliti mereka. Mengikut kajian psikologi, apabila anak berasa gembira dan disayangi, mereka akan menjadi anak yang berdisiplin dan berakhlak baik.

CERDIK-1

Untuk melahirkan anak-anak yang cergas dan cemerlang, kaedah bermain dan bergurau ini wajar dilaksanakan. Tetapi jangan pula ibu atau bapa bermain-main dan bergurau dengan anak-anak sehingga melampaui batas seperti bermain-main dan bergurau berlarutan sehingga meninggalkan ibadah wajib, kerja dan tugas yang lebih penting. Melampaui batas juga boleh menyebabkan perselisihan faham, perkelahian dan hilang rasa hormat antara satu sama lain.

Bapa juga tidak manis bergurau dan bermain-main dengan anak perempuan yang telah dewasa. Perlakuan yang tidak manis ini jika tidak diikat oleh iman yang kuat, sering berlarutan hingga boleh menyebabkan berlakunya sumbang mahram.

Bermain dan bergurau dengan anak-anak...

Luangkan masa bermain dan bergurau dengan anakanak walaupun sekejap. Rancang, pelbagaikan aktiviti dan seimbangkan aktiviti indoor dan outdoor. Pilih aktiviti yang bermanfaat seperti bermain teka silang kata, melukis atau aktiviti bersukan yang elok untuk kesihatan. Elakkan permainan yang boleh merosakkan akhlak dan personaliti anak-anak seperti permainan video. Kadangkala kita perlu berkelakuan dan berfikir seperti kanak-kanak ketika bermain dan bergurau. Contohnya, kita mungkin perlu merangkak dan melompat seperti mereka. Selitkan unsur-unsur mendidik dan nilai-nilai positif ketika bermain dan bergurau.

CERDIK-2

Bagaimana Rasulullah bermain-main dan bergurau?

Rasulullah s.a.w. sendiri pun mencari masa untuk bermain, bergurau dan bermesra dengan isteri, anak-anak dan cucu Baginda. Rasulullah s.a.w. pernah membawa isterinya Sayidatina Aisyah r.ha. melihat orang Habsyi meraikan perayaan di dalam masjid sehingga Aisyah r.ha. berasa puas menonton barulah Baginda pulang. Baginda juga sering lumba lari dengan Aisyah r.ha. dan Baginda berpura-pura kalah supaya Aisyah r.ha. berasa gembira. Baginda juga sering bermain-main dengan cucu Baginda sehinggakan ketika Baginda solat, cucu Baginda iaitu Sayidina Hasan r.a. Baginda Sayidina Husin r.a. pernah memanjat tengkuk Baginda ketika Baginda sujud. Baginda membiarkannya sahaja. Baginda sujud dengan begitu lama sekali sehingga mereka turun.

Dato’ Dr Mohd Fadzilah Kamsah

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.6


Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah

Pakar motivasi yang tidak asing lagi, sering muncul di tv dan radio ini adalah anak kelahiran Sg. Pinang, Klang. Mendapat Ijazah Pertama di Universiti Malaya dalam bidang Agricultural Sciences, kemudian menyambung pengajian Sarjana dan Ph.D. di Wisconsin, USA dalam bidang Organizational Communication. Berpengalaman mengendalikan lebih 6,000 kursus dalam bidang motivasi. Kini beliau adalah Pengarah Urusan Excel Training & Consultancy Sdn. Bhd. dan Ketua Pengarah ETC Communications Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  


 

Kembali ke atas