Menu

 

A+ A A-

APA BERLAKU SELEPAS BALIGH?

ALHAMDULILLAH, SETELAH KITA MEMAHAMI SERBA-SEDIKIT TENTANG BALIGH, KALI INI UMMI SENTUH PULA APA YANG BERLAKU SELEPAS SESEORANG ITU BALIGH. MENURUT AJARAN ISLAM, BALIGH MENJADI SEMPADAN ANTARA ZAMAN KANAK-KANAK YANG PUTIH BERSIH TANPA DOSA DENGAN HIDUP DEWASA YANG PENUH GELORA DAN PANCAROBA!

Sebelum baligh, anak-anak tumpang ‘buku’ amalan emak dan ayah. Kalau buat baik, emak ayah yang dapat pahala kerana berjaya mendidik anak yang berakhlak mulia. sebaliknya, kalau kita buat jahat, emak ayah kitalah yang terpaksa tanggung dosa sebab tak beri tunjuk ajar yang sepatutnya kepada kita. Tapi selepas baligh, anak-anak ada ‘akaun’ atau ‘buku’ amalan sendiri – yang mencatatkan segala tindak tanduk yang baik atau buruk, biarpun sekecil atom.

Mulai saat itu, setiap tingkah laku anak-anak dalam pemerhatian Allah s.w.t. Dua malaikat ditugaskan Allah untuk berada di sebelah kanan dan kiri, mengawasi dan mencatitkan semua amalan yang kita lakukan. Cuba anak-anak semak rujukan teragung kita – al-Quran dalam surah Qaf ayat 16-18 yang bermaksud:
“Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. (ingatlah) ketika dua malaikat mencatat (perbuatannya), yang satu duduk di sebelah kanan dan yang lain di sebelah kiri.

Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat).” Anak-anak tentu dah tahu apa jadi dengan buku amalan kita tu nanti, kan? Ya, masa kita semua berada di muka pengadilan Allah s.w.t. di Padang Mahsyar nanti, barulah buku itu diberikan balik pada kita. sekali lagi, jom kita tengok apa yang al-Quran ceritakan mengenai peristiwa ini (mafhum ayat):
BALIGH“Maka adapun orang yang buku catatannya diberikan dari sebelah kanan, maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah. Dan kembalilah dia kepada keluarganya dengan gembiranya. Dan adapun orang yang buku catatannya diberikan dari sebelah belakang, maka dia akan berteriak, ‘Celakalah aku!’ Dan dia akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).” ummi bukannya hendak menakutnakutkan anak-anak dengan momokan kepanasan dan azabnya api neraka semata-mata. Bukan juga ummi nak cuba pancing anak-anak dengan keindahan dan kenikmatan hidup di syurga. Mungkin masa anak-anak di sekolah rendah dulu, bolehlah ummi pakai teknik sebegitu.

Tapi bila dah remaja, rasa macam hilang dah gerun kepada api neraka yang tak nampak wujud di depan mata. Keindahan syurga pula, macam dah tenggelam serinya bila dibandingkan dengan syurga dunia – ‘port’ tempat remaja belia melepak di panggung wayang, tempat hiburan, ‘shopping malls’ dan ‘theme parks’ yang tumbuh macam cendawan hari ini.

Ummi sekadar nak mengingatkan anak-anak ummi yang dikasihi sekelian, mengenai peranan dan tanggungjawab menjadi seorang remaja belia yang sudah mencapai usia baligh. Memang kurang ‘best’ sikit bila kita sentuh bab tanggungjawab ni! Maklumlah, perkataan itu pun terbit daripada dua perbuatan: ‘tanggung’ – seolah-olah memikul dan menampung sesuatu di atas bahu atau kepala; dan ‘jawab’ – maknanya, kena bersedia memberikan jawapan atau penyelesaian kepada apa yang berlaku kepada sesuatu yang kita ‘tanggung’ tadi. Maknanya, apabila kita diberikan satu tanggungjawab, kita mesti laksanakan perkara itu semampu yang boleh. Selepas itu, apa saja hasil atau akibat daripada apa yang kita buat, terpaksalah kita sendiri yang menghadapinya.

Mahu tak mahu, anak-anak ummi yang dah baligh, terpaksa membuat satu keputusan besar – nak penuhkan buku amalan dengan cacatan amalan baik, terpuji dan cemerlang atau sebaliknya diisikan dengan perbuatan keji, cela dan buruk? Pendek kata, dayung sudah di tangan, perahu sudah di air, anak-anaklah yang memilih ke mana hala perahu kehidupan ini hendak dituju. semoga Allah s.w.t. mengurniakan anak-anak kekuatan untuk mengatur kehidupan menjadi insan yang berguna. Amin.

BALIGH 2


 

Oleh Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu 6

 


 

Prof Madya Harlina Halizah

Ketua Unit Perkembangan Kendiri & Profesionalisme UKM

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Terkini daripada Prof Madya Harlina Halizah

Kembali ke atas