Menu

 

A+ A A-

MENDIDIK ANAK BERPUASA

BILAKAH masa yang sesuai untuk menyuruh anak berpuasa?

RINGKAS: Umur yang sesuai adalah sekitar empat hingga Sembilan tahun.

HURAIAN: Mendidik anak-anak untuk berpuasa adalah menjadi kewajipan kepada kedua ibu-bapa. Umur yang sesuai juga bagi setiap kanak-kanak adalah berbeza antara satu sama lain. Ada kanak-kanak yang mampu seawal usia 4 atau 5 tahun dan ada yang tidak. Sekiranya tidak mampu pada usia yang awal, maka ajarlah mereka ketika berusia 7 tahun kerana terdapat sebuah hadis yang memerintahkan agar menyuruh anak-anak agar bersolat ketika berusia 7 tahun. Sebahagian ulama berpendapat ibadah yang lain juga boleh dianjurkan tatkala sampai usia 7 tahun.

Bagaimanakah kesungguhan para salaf terdahulu mendidik anak-anak mereka untuk berpuasa?

Imam al-Bukhari rhm. Ada meriwayatkan daripada al-Rubaiyyi’ binti Mu’awwiz r.ha. bahawa wanita-wanita Ansar akan berpuasa dan mendidik anak-anak kecil mereka untuk turut berpuasa. Apabila anak mereka menangis kerana lapar, maka mereka akan memberikan sejenis permainan untuk anak-anak mereka lalai bermain dengannya sehinggalah berbuka.

Apakah ada hadis kelebihan berpuasa ketika usia muda?

RINGKAS: Setiap perkara ibadah sudah pasti ada ganjarannya dan ganjaran di sisi Allah adalah sebesar-besar kelebihan.

HUJAH: Hadis yang khusus berkenaan kelebihan kanak-kanak berpuasa sukar untuk ditemukan. Namun ada hadis di atas yang menceritakan bahawa wanita-wanita Ansar bersungguh-sungguh mengajar anak-anak kecil mereka untuk berpuasa. Mengikut perbuatan para sahabat Nabi s.a.w adalah satu tuntutan dalam Islam.

Selain itu, hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim juga ada menyatakan bahawa antara tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada hari Kiamat antaranya “pemuda yang hidupnya sentiasa beribadah kepada Tuhannya”. Maka sudah tentu anak-anak yang dididik dari awal mempunyai potensi menjadi pemuda yang soleh dan mendapat ganjaran tersebut.

Bagi kanak-kanak yang belum baligh adakah sah puasanya dan adakah mendapat pahala ibadah?

RINGKAS: Sah dan mendapat pahala.

HUJAH: Imam al-Nawawi rhm. menyebutkan dalam kitabnya al-Majmu’ bahawa kanak-kanak akan mendapat ganjaran bagi setiap ketaatan yang dilakukan, dan tidak akan ditulis baginya dosa sekiranya melakukan maksiat.

Ada anak-anak yang hanya berpuasa separuh hari atau beberapa jam sahaja. Adakah mendapat pahala?

RINGKAS: Insya-Allah ada ganjaran daripada Allah s.w.t.

HURAIAN: Setiap perkara kebaikan walaupun sebesar zarah akan dilihat oleh Allah s.w.t. dan begitulah juga perkara keburukan. Anak-anak masih dalam proses pentarbiahan dan pendidikan. Maka tidak menjadi masalah bagi mereka untuk berbuka sekiranya tubuh mereka masih belum mampu.

HUJAH: Allah s.w.t. juga berfirman didalam surah al-Baqarah ayat ke-286 yang bermaksud, “ Allah tidak memberatkan seseorang melainkan dengan kemampuannya.” Selain itu, tidak memaksa anak-anak untuk menghabiskan seharian berpuasa adalah salah satu kaedah mendidik mereka berpuasa secara jujur. Ini kerana paksaan akan membuatkan mereka terarah untuk bersifat khianat dengan berbuka secara sembunyi. Hal ini sangat buruk untuk perkembangan anak-anak. Ini berbeza dengan golongan yang sudah baligh dan mampu berpuasa. Sekiranya mereka berpuasa beberapa jam sahaja lantas berbuka, maka ia menjadi satu dosa.

Apakah antara cara dan kaedah untuk mendidik anak-anak berpuasa?

RINGKAS: Ada beberapa kaedah untuk mendidik anak-anak berpuasa.

HURAIAN: Antaranya:

1. Ibu bapa perlu memberikan penerangan yang santai berkenaan puasa dan kebaikan orang yang berpuasa. Wujudkan perasaan untungnya berpuasa dalam hati anak-anak.

2. Bantu mereka untuk berpuasa dengan memastikan mereka bersahur pada awal pagi. Hidangan untuk bersahur juga hendaklah dapat memberikan tenaga dan kekuatan buat mereka untuk berpuasa. Ibu dan bapa seharusnya tidak bersikap “makan sahaja apa yang ada”.

3. Berikan pujian kepada anak-anak yang mampu berpuasa walaupun tidak sepenuhnya. Elakkan memarahi dan merendahkan mereka. Sebaliknya, berikan galakan dan dorongan yang lebih kepada mereka.

4. Jangan tunjukkan apa-apa makanan yang membuka selera hadapan mereka. Melihat makanan akan melemahkan keazaman anak-anak yang baru belajar berpuasa untuk menyempurnakan puasa.

5. Wujudkan suasana berlumba-lumba memperbanyakkan puasa dikalangan anak-anak.

6. Berikan ganjaran kepada anak-anak yang mampu berpuasa secara sempurna. Contohnya, berikan makanan yang mereka inginkan untuk juadah berbuka puasa.

7. Sekiranya anak anda sudah tidak mampu meneruskan puasa, janganlah memaksa dan memarahinya. Paksaan akan memburukkan keadaan.

8. Nasihatkan mereka agar mengurangkan aktiviti-aktiviti bermain yang meletihkan badan. Ibu bapa juga sewajarnya menyusun aktiviti yang berfaedah untuk anak-anak agar fokus kepada letih dan lapar tidak ada.

Ustazah Shahidatul Akma Bt Mohd.Sha'ary
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz isu No.4


Ustazah Shahidatul Akma Bt Mohd.Sha'ary

Kuliah Bahasa Arab Universiti Al-Azhar Kaherah Mesir. Pernah menjadi guru Bahasa Arab di Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi.

Terkini daripada Ustazah Shahidatul Akma Bt Mohd.Sha'ary

Kembali ke atas